SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

ROKOK



Agama Islam sangat menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan umatnya, tepat dengan Islam iaitu agama selamat. Oleh yang demikian, agama Islam tidak mahu umatnya terdedah kepada kecelakaan dan kebinasaan. Di antara perkara yang boleh memudaratkan dan membinasakan manusia sebagaimana penyelidikan dan kajian pakar-pakar perubatan ialah amalan merokok.

Ke arah menyedarkan masyarakat tentang kesan dan bahaya merokok ini telah banyak kali diperdengarkan dan dipaparkan melalui buku-buku, media-media massa, ceramah-ceramah bahkan juga melalui khutbah di masjid-masjid secara berulang kali. Tetapi sejauh manakah penerimaan dan penghayatannya terhadap saranan dan nasihat berkenaan?Apa yang pasti masih juga kelihatan orang merokok di sana sini, bahkan juga di tempat-tempat larangan merokok pun orang masih merokok tanpa mempedulikan orang yang berdekatan dengan mereka, walaupun meyedari perbuatan yang mereka lakukan memudarat dan membahayakan orang lain.


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisaa' ayat 93 tafsirnya:

"Dan siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat serta menyediakan baginya seksa azab yang besar".

Allah Subhanahu Wataala memerintahkan khususnya umat Islam supaya tolong-menolong ke arah kebaikan, nasihat-menasihati antara satu sama lain, bukan membiarkan. Maka dalam hal ini sepatutnya orang yang ditegur dan dinasihati berterima kasih kerana masih disayangi oleh masyarakat, sahabat handai, sanak saudara dan keluarga. Kita perlu ingat bahawa kita makhluk dan milik Allah Subhanahu Wataala yang diikat dengan peraturan dan hukum Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 maksudnya:

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan".

Kita juga perlu sedar bahawa hidup dan kesihatan adalah kurnia dan nikmat dari Allah Subhanahu Wataala yang sepatutnya disyukuri dan dipelihara serta dihargai bukan dirosakkan. Merokok memang tidak membunuh secara serta- merta tetapi memudaratkan kerana ia mengandungi berbagai-bagai racun.

Perbuatan membunuh diri tidak ada bezanya dilakukan cepat ataupun perlahan-perlahan kerana yang pasti natijahnya ialah kematian yang dilakukan oleh perbuatan diri sendiri, kedua-dua perbuatan ini diharamkan oleh Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa' ayat 29 tafsirnya:

"Dan janganlah berbunuh-bunuhan sesama kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu".

Kadang-kadang ada orang beralasan: "Bapa saudara saya meninggal disebabkan kanser tetapi tidak pernah merokok". Ada pula yang berkata: "Nenek saya merokok tetapi masih sihat hingga ke hari ini".

Harus diingat kanser itu bermacam-macam jenis dan adalah diakui bukanlah semuanya disebabkan merokok, tetapi berdasarkan kajian dan penemuan pakar-pakar perubatan menyatakan bahawa yang pasti kebanyakan berpunca daripada tabiat merokok di mana sembilan daripada sepuluh orang yang menghidap kanser paru-paru adalah perokok atau bekas perokok. Maka ini amat jelas dan membuktikan rokok itu memudaratkan dan membahayakan.

Ada orang beralasan bahawa rokok boleh memberi semangat melakukan sesuatu pekerjaan dan boleh membantu menumpukan perhatian, tetapi apakah sebabnya boleh berlaku demikian? Sebenarnya inilah dia kesan narkotin dalam rokok yang meningkatkan denyutan jantung dan tekanan darah yang lambat-laun akan mendatangkan kemudaratan. Bahkan merokok juga menyekat bekalan oksigen ke otak dan meningkatkan tahap karbon monoksida dalam darah.

Adalah tidak dapat dinafikan dan kita hendaklah akur terhadap hasil kajian dan penemuan pakar-pakar dalam bidang berkenaan yang menyatakan merokok memudarat dan menjejaskan kesihatan, dan kita sendiri mengetahui bahawa merokok merupakan pembaziran wang kepada sesuatu yang tidak bermanfaat. Agama Islam melarang perbuatan membazir, apatah lagi jika ternyata wang tersebut diperlukan oleh diri sendiri dan keluarga. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Israa' ayat 26 - 27 tafsirnya:

"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itulah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".


Majlis fatwa Negara Malaysia juga mengeluarkan fatwa bahawa merokok itu adalah haram. Jadi sebagai umat islam kita haruslah mengambil berat akan fatwa ini. Kita tidak boleh melanggar peraturan dan fatwa yang telah dikeluarkan, ini kerana kita harus menjauhi sifat menghalalkan sesuatu yang haram kerana hendak melakukannya.

Begitu juga menurut Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam buku yang bertajuk 'Rokok dan Merokok' ada menjelaskan seperti berikut:

"Islam sebagai agama sejahtera, agama yang sangat menghargai nyawa dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan bagi beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala, telah menyediakan kawalan-kawalan yang boleh menjamin dan memelihara semua itu melalui hukum halal haramnya. Ia telah menetapkan satu kaedah menolak mudarat. Jika suatu benda itu nyata mendatangkan mudarat, kerosakan dan kebinasaan, maka memakan termasuk menghisapnya dihukumkan haram".

Hukum merokok adalah seperti juga hukum benda-benda yang memabukkan dan mengkhayalkan berdasarkan nas dan kias, benda-benda yang memabukkan, mengkhayalkan dan merosakkan akal adalah diharamkan dengan dalil daripada nas dan ijmak. Maka demikian pula dengan merokok, hukumnya juga berdasarkan nas-nas syarak yang umum dengan kias dan berdasarkan bahayanya yang lebih besar daripada benda-benda lain yang memabukkan.

Maka berdasarkan pengesahan pakar-pakar bahawa rokok itu membahayakan dan membinasakan serta jelas kepada kita perbuatan merokok itu melakukan pembaziran, maka adalah tidak diragukan lagi bahawa hukum membahayakan dan pembaziran itu adalah haram dari segi hukum syarak.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-'Araaf ayat 157, ertinya:

"Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji dan buruk)".

Jadi marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

No comments:

Post a Comment