SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

PERSEDIAAN MENJELANG RAMADHAN

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala di atas nikmatnya yang tidak terkira banyaknya yang dikurniakan kepada kita, termasuk nikmat dipanjangkan umur, nikmat kesihatan rohani dan jasmani, dan juga nikmat diberikan peluang untuk meningkatkan amal ibadat yang berkebajikan demi mendapatkan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah Subhanahu Wataala.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan berada di bulan yang penuh dengan keberkatan dan banyak kelebihan, iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak, bulan yang pada permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas daripada api neraka. Maka kita sebagai umat islam sudah semestinyalah menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini dengan penuh rasa gembira, iaitu dengan membuat persediaan zahiriah dan batiniah, serta menguatkan azam untuk beramal ibadat dan merebut fadhilatnya, pahala dan ganjaran yang dijanjikan Allah Subhanahu Wataala yang bermaksud :

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

“Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Raiyan, orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada hari kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorang pun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman : Dimanakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut, tidak masuk bersama mereka seorang pun selain mereka, setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali, tiada lagi orang lain yang akan memasukinya".

Bagi mereka yang meninggalkan atau melalaikan kewajipan berpuasa dengan sengaja, maka mereka akan beroleh dosa besar dan ianya tidak dapat ditebus dengan apa jua cara, sekalipun ia berpuasa seumur hidupnya. Hal ini ada ditegaskan dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi yang bermaksud :

"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu berkata : Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".

Kewajipan berpuasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan hendaklah juga menitikberatkan adab-adab berpuasa. Sebagai panduan untuk kita beroleh ganjaran pahala dan kesempurnaan ibadat puasa itu, eloklah kita mengetahui adab-adab yang perlu dijaga ketika seseorang menjalani ibadat puasa, iaitu:

Pertama:

Menutup pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak dan boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah Subhanahu Wataala.

Kedua:

Menutup telinga daripada mendengar perkara-perkara yang diharamkan supaya tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang di firmankan oleh Allah Subhanahu Wataala, Tafsirnya :

Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong.


Ketiga:

Menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah apatah lagi mengeluarkan perkataan yang diharamkan seperti mengumpat, berdusta, menfitnah dan sebagainya, kerana hal ini akan mengurangkan pahala puasa.

Keempat:

Memelihara seluruh anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan diharamkan.

Termasuk juga antara lain adab berpuasa itu ialah tidak berlebih-lebihan dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa lebih-lebih lagi jika berlaku pembaziran. Pembaziran hukumnya adalah haram. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Begitu juga, tidak boleh berlebih-lebihan ketika menikmati juadah berbuka puasa. Seseorang yang makan berlebihan boleh menyebabkan lalai dan malas untuk mengerjakan sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 31 yang tafsirnya :

"Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas".

Di samping kita menjaga adab-adab dalam menunaikan ibadat puasa itu, perlulah di ingat wahai kaum muslimin akan perkara niat berpuasa, kerana niat itu adalah merupakan salah satu rukun dalam ibadat puasa yang jika kita tidak melakukannya, ibadat puasa yang di kerjakan itu tidak sah malah tidak diterima.

Walau bagaimanapun sebagai langkah berhati-hati dan berjaga-jaga kita bolehlah bertaklid kepada Mazhab Imam Malik dengan berniat puasa sebulan pada malam pertama bulan Ramadan.

Akhirnya, tingkatkanlah amalan beribadat, gandakanlah amalan-amalan serta perbanyakkanlah doa dan zikir lebih-lebih lagi apabila kita berada di sepanjang bulan Ramadhan nanti. Perbanyakkanlah berdoa kerana doa orang yang berpuasa terutamanya ketika dia berbuka adalah sangat mustajab dan tidak tertolak oleh Allah Subhanahu Wataala, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Ibnu Sunni yang maksudnya :

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka itu adalah waktu berdoa yang tidak akan tertolak.”

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa".

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

No comments:

Post a Comment