Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala itu amat pengasih dan penyayang, memberikan bermacam-macam nikmat seperti nikmat kemewahan, nikmat kemudahan dan nikmat kesenangan dan bermacam-macam lagi sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An Nahl ayat 18 yang tafsirnya :
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu : Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".
Memang tidak siapa pun dapat menafikan bahawa nikmat-nikmat Allah Subhanahu Wataala itu amat banyak dan kita tidak akan mampu mengiranya walaupun kita cuba menghitungnya. Walau bagaimanapun semua kenikmatan itu tidak akan mendatangkan faedah jika kita tidak dikurniakan nikmat masa, nikmat umur, nikmat sihat, nikmat akal dan sebagainya. Akan tetapi nikmat-nikmat itulah yang selalu manusia mudah lupa dan lalai menggunakannya disebabkan keindahan dan kemewahan hidup di dunia ini.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ankabuut ayat 64 yang bermaksud:
"Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan : Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat".
Nikmat Allah Subhanahu Wataala memang tidak terkira dan nikmat umur salah satu nikmat yang amat penting dalam kehidupan kita kerana tanpanya kita tidak akan ada di dunia ini dan jika nikmat umur ditarik oleh Allah Subhanahu Wataala maka hilanglah peluang bersama keluarga, bersama sahabat dan masyarakat bahkan tidak ada lagi peluang untuk beramal ibadat kepada Allah Subhanahu Wataala. Oleh itu janganlah kita mempersia-siakan nikmat umur selagi ada.
Sebagai tanda syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala kerana mengurniakan kita umur sehingga kita hidup sampai ke hari ini, maka gunakanlah umur itu dengan sebaik-baiknya dengan mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wataala dalam mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa, agama, negara dan masyarakat sama ada dengan harta, tenaga dan fikiran semata-mata ikhlas dengan niat mendapat keredaan Allah Subhanahu Wataala.
Kita perlulah ingat bahawa setiap permulaan ada akhirnya dan setiap yang hidup akan mati. Sesungguhnya saat kematian tiada siapa pun mengetahui tetapi yang pasti ajal tetap tiba.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-'Araaf ayat 34 yang tafsirnya:
"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan, maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan".
Oleh itu sebelum tiba masanya gunakanlah nikmat yang ada untuk mengingati Allah Subhanahu Wataala dan melakukan amal kebajikan sebagai bekalan menuju akhirat.
"Dari Abdul Rahman bin Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki telah berkata : Wahai Rasulullah siapakah sebaik-baik manusia? Berkata Rasululullah : Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi : Siapakah sejahat-jahat manusia? Berkata Rasulullah : Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan".
Ketahuilah yang segala perbuatan yang kita lakukan di dunia ini akan dihakimkan di hari kiamat kelak. Pada ketika itu seluruh anggota menjadi saksi dan berkata-kata terhadap apa yang kita lakukan. Oleh itu hendaklah kita bersikap menyesal dahulu kerana menyesal kemudian tidak ada ertinya. Ibarat kata pepatah 'nasi sudah menjadi bubur'.
Sebagai hamba Allah Subhanahu Wataala yang beriman dan percaya adanya seksaan kubur dan Hari Kiamat, maka bersedialah selagi umur masih ada dan gunakanlah sebaik-baiknya untuk mencapai kesudahan yang baik iaitu husnul khatimah dan bukan kesudahan yang tidak baik iaitu suul khatimah, sebagaimana yang biasa kita pohonkan dalam doa kita:
"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab Neraka".
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Faathir ayat 37 yang bermaksud:
"Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu sambil merayu : Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari azab ini : Kami akan mengerjakan amal-amal yang salih yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. Lalu Allah menempelak mereka, bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul Kami yang memberi amaran. Oleh itu, rasalah azab seksa kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan".
Kesimpulannya, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment