SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

SOLAT LIMA WAKTU


Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 238 yang tafsirannya:

"Peliharalah oleh kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang wasti (Sembahyang Asar) dan berdirilah kerana Allah dalam sembahyang kamu dengan taat dan khusyuk."

Sebagaimana yang kita maklum, solat lima waktu adalah salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dikerjakan seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Di dalam kitab fikah pula ada mengingatkan bahawa anak yang cukup umurnya tujuh tahun, maka wajiblah atas ibu bapanya menyuruhnya belajar dan mengerjakan sembahyang dan jika telah cukup umurnya sepuluh tahun tetapi masih meninggalkan sembahyang, maka wajiblah ke atas ibu bapa memukulnya dengan pukulan yang tidak menyakitkan.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Dari Umar bin Shuib dari bapanya dari neneknya berkata ia: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Suruhlah anak-anak kamu itu mengerjakan sembahyang ketika anak-anak itu berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka bila meninggalkan sembahyang ketika anak-anak itu berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka."

(Riwayat Abu Daud).

Dari firman Allah Subhanahu Wataala dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu jelas menunjukkan bahawa Allah dan Rasul-Nya memerintahkan umat Islam untuk mengerjakan sembahyang dan ibu bapa dipertanggung-jawabkan dan wajib mendidik anak-anak mereka untuk bersembahyang. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memberikan contoh terlebih dahulu kepada anak-anak mereka dengan melakukan sembahyang, kerana adalah tidak wajar jika anak-anak disuruh sembahyang sedangkan ibu bapa tidak sembahyang.

Sembahyang merupakan tiang agama, barangsiapa yang mengerjakannya bererti ia telah menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya bererti ia telah meruntuhkan agamanya, justeru itu, kita wajib mengerjakannya. Sembahyang juga merupakan amalan (persoalan) yang pertama sekali akan dihisab pada Hari Kiamat nanti, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya persoalan pertama yang akan ditanya (dipertanggungjawabkan) ke atas manusia pada Hari Kiamat adalah sembahyangnya. Jika sembahyangnya baik, maka dia termasuk orang yang bahagia dan berjaya. Namun jika sembahyangnya rosak, maka dia termasuk orang yang kecewa dan rugi."

(Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Mengerjakan sembahyang itu mempunyai banyak kelebihan seperti mana yang termaktub dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Di antaranya ialah sembahyang merupakan penghubung di antara manusia dengan Allah Subhanahu Wataala. Sembahyang boleh memantapkan akidah dan iman dalam diri seseorang dan mencegah dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ankabuut ayat 45 yang tafsirannya:

"Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar."

Sembahyang juga boleh menghapus dan membawa keampunan kepada segala dosa dan kesalahan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Daripada Abi Hurairah Radiallahuanhu: Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sembahyang lima waktu dan Sembahyang Jumaat sehingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa yang terjadi di antara sembahyang-sembahyang tadi selagi dia tidak melakukan dosa besar."

(Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi yang bermaksud:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Bagaimana pendapat kamu kalau ada sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu, dia mandi di dalamnya lima kali tiap-tiap hari? Adakah masih tinggal kotoran pada tubuhnya? Para sahabat menjawab: Sudah tentu tidak tinggal sesuatu pun daripada kotoran. Baginda menyambung: Maka begitulah juga perumpamaan sembahyang lima waktu. Allah menghapuskan dosa-dosa kecil dengan sebabnya."

Perlulah diingat, sembahyang lima waktu itu tidak boleh ditinggalkan sama sekali oleh orang Islam yang mukalaf (baligh) dan suci daripada haid dan nifas. Jika tidak mampu mengerjakannya dengan sebab ada sesuatu keuzuran seperti tidak boleh berdiri, maka diharuskan dengan cara duduk dan kalau tidak mampu duduk, diharuskan pula cara berbaring dan jika semua anggota tidak berdaya, diharuskan dengan mengisyaratkan dengan kelopak mata, hatta kalau lemah juga berbuat demikian, maka dibolehkan dengan cara meniatkan sembahyang di dalam hati. Oleh itu tidak ada alasan untuk kita lari dari mengerjakan sembahyang, walau dalam keadaan apa pun kita tetap diwajibkan mengerjakannya.

Ketahuilah bahwa meninggalkan sembahyang lima waktu dengan senghaja itu adalah melakukan suatu maksiat dan dosa yang paling besar dan bagi mereka azab seksa daripada Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al- Muddatstsir ayat 42 - 43 yang tafsiranya:

"Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu mereka berkata apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam Neraka Sakar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab, kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang."

Apa yang ingin diperingatkan ini ialah tentang keingkaran dan kecuaian segelintir umat Islam untuk menunaikan sembahyang lima waktu dan juga sifat setengah para ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang perintah untuk menyuruh anak-anak mereka sembahyang. Di samping itu pula sebahagian daripada kita yang mencuaikan waktu sembahyang seperti melengah-lengahkannya sehingga luput waktunya. Perkara ini bertentangan dengan peringatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang maksudnya:

"Daripada Ibnu Mas'ud Radiallahuanhu katanya, aku pernah bertanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, apakah amalan yang paling disukai oleh Allah Taala? Baginda menjawab, sembahyang pada waktunya, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan berjihad."

Ketahuilah bahawa pada masa ini tidak ada lagi alasan untuk kita berdalih mengatakan tidak tahu atau tidak pandai sembahyang kerana pihak kerajaan telah menyediakan sekolah-sekolah, masjid-masjid, kelas-kelas tempat belajar dan lain-lain kemudahan untuk belajar sembahyang, terpulanglah kepada kita untuk memilihnya, yang penting hati dan kemahuan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Kita umat Islam sangat beruntung di mana pada setiap Jumaat diberi peringatan dan nasihat. Apa yang perlu bagi kita ialah mendengar nasihat tersebut dan mempraktikkan dan menyampaikan nasihat tersebut kepada ahli keluarga kita dan kepada masyarakat keseluruhannya mengikut keupayaan masing-masing. Sememangnya ada di antara kita yang mempersoalkan kenapa teguran, peringatan dan nasihat diberikan kepada kita yang menghadirkan diri ke masjid beramal ibadat ini, bukan pula kepada mereka yang tidak datang atau hadir ke masjid. Maka di sinilah kehalusan dan betapa berhemahnya agama Islam itu dalam menyeru umatnya supaya sama-sama turut mengambil bahagian dalam berdakwah, ingat-mengingati dan nasihat-menasihati kepada mereka yang masih lalai dan leka akan perintah Allah Subhanahu Wataala.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Ibnu Umar Radiallahuanhuma yang bermaksud:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya."

Marilah kita sama-sama mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dengan menunaikan sembahyang agar kehidupan seharian kita akan sentiasa aman bahagia kerana dapat menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara maksiat dan mungkar. Mudah-mudahan segala amal ibadat kita diterima Allah Subhanahu Wataala. Ingatlah kepada Allah Subhanahu Wataala di mana jua berada dengan harapan beroleh pengampunan dan rahmat daripada-Nya jua. Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 45 - 46 yang tafsirannya:

"Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. Iaitu mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya."

No comments:

Post a Comment