Islam amat mengambil berat tentang kesejahteraan penganut-penganutnya baik dari segi fizikal iaitu melalui penjagaan dan amalan hidup yang bersih dan sihat mengikut pandangan dan ajaran Islam, bahkan juga dari segi kesejahteraan mental dan jiwa seseorang itu pun diberi perhatian oleh ajaran Islam, supaya setiap orang Islam itu jangan sampai setiap masa dalam keadaan fikiran yang runsing, kusut dan resah-gelisah, sehingga mengganggu bukan sahaja ketenangan hidup bahkan ketenangan dan kekhusyukan beribadat khasnya dalam ibadat sembahyangnya.
Mengikut ajaran Islam di antara perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit runsing atau tekanan jiwa (stress) ialah akibat dari menanggung beban hutang yang banyak.
Apa yang diistilahkan banyak menanggung beban hutang itu ialah bila mana seseorang itu berhutang melebihi dari pendapatan dan kemampuan untuk membayar balik hutangnya itu.
Seseorang yang menanggung beban hutang yang berlebihan adalah tidak akan dapat ketenteraman jiwa dan ketenangan fikiran kerana ia akan memikirkannya, bukan sahaja bagaimana untuk membayar atau melangsaikan hutangnya akan tetapi merasa risau dan takut bilamana ia tidak dapat melunaskan hutang-hutangnya, maka tindakan undang-undang dan mahkamah akan sentiasa menghantuinya. Keadaan yang demikian itulah yang dikatakan oleh syarak sebagai 'alhamm' iaitu keadaan runsing dan risau yang ada di dalam diri dan fikiran seseorang sehingga menyebabkan hidupnya tidak merasa tenteram dan tenang.
Perlu diambil perhatian bahawa walaupun perbuatan berhutang itu tidaklah ditegah sekeras-kerasnya oleh Islam, akan tetapi apabila sampai kepada sikap cuba lari dari hutang iaitu dengan pengertian lain tidak mahu membayar hutang, maka perbuatan itu adalah suatu perbuatan zalim menurut Islam sebagaimana hadis Nabi saw yang bermaksud:
"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, nabi saw bersabda: Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman."
(Riwayat Al-Bukhari.)
Salah satu kesan yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan ialah apabila orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan dan ahli-ahli waris tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut sebuah hadis Nabi saw bahawa orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, maka rohnya tidak akan sampai naik ke langit, ia hanya akan terapung-apung di antara langit dan bumi, sedangkan roh orang mukmin yang lain dapat naik ke langit untuk kembali ke tempat asalnya sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."
(Riwayat Al-Tarmizi).
Bahkan pernah berlaku satu peristiwa, di mana Rasulullah saw pada mulanya tidak mahu menyembahyangkan jenazah seorang lelaki dari golongan Ansar apabila Baginda tahu bahawa lelaki itu masih ada berhutang dua dinar, lalu hutang lelaki itu dibayar oleh seorang sahabat bernama Fataadatal Ansari, maka barulah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyembahyangkan jenazahnya.
Di dalam satu kejadian lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah suatu hari telah duduk bersama para sahabat Baginda di tempat satu jenazah, maka Baginda mendongak atau mengangkat kepala Baginda ke langit kemudian meletakkan tapak tangan Baginda di atas dahi Baginda dan berkata:
"Maha Suci Allah yang telah menurunkan suatu yang sangat dahsyat."
Pada keesokan harinya seorang sahabat telah bertanya kepada Baginda:
“Wahai Rasulullah apakah yang sangat dahsyat yang telah turun itu”
Baginda bersabda yang bermaksud:
"(Yang turun dahsyat itu) ialah mengenai hutang maka demi diri Muhammad di tangan-Nya (Allah Subhanahu Wataala), kalaulah seorang itu mati di dalam perang Sabilillah kemudian dihidupkan semula kemudian mati lagi dalam perang Sabilillah, kemudian dihidupkan semula akan tetapi ia ada mempunyai hutang yang belum dibayar maka ia tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga sehinggalah hutangnya itu dibayarkan atau diselesaikan."
(Riwayat Al-Imam Ahmad).
Demikianlah akibat buruk orang yang menanggung hutang yang sengaja lari dari tanggungjawab membayar dan menyelesaikan hutang-hutangnya. Oleh itu jangan sampai ada yang menganggap kalau tidak membayar hutang dan ia mati maka hutang-hutangnya itu tidak akan mengejar di akhirat nanti. Ingatlah apa jua bentuk hutang dan walau di mana-mana jua pun semuanya itu akan menjadi penghalang untuk memasuki Syurga Allah di akhirat nanti. Siapakah yang tidak mahu Syurga Allah, kecuali mereka yang sombong dan takbur dengan perintah dan larangan-larangan Allah Subhanahu Wataala.
Walaupun Islam tidak menghalang kita berhutang, tetapi adalah elok jika kita dapat mengelakkan diri dari berhutang, apatah lagi jika berhutang kepada pemberi hutang yang mengambil kesempatan. Perlu diingat, bahawa berhutang memanglah senang tetapi membayarnya sangatlah susah. Rasulullah ada mengajarkan doa hutang yang dibaca pada waktu pagi dan waktu petang, doanya ialah memohon kepada Allah akan memberikan perlindungan daripada hutang, doa tersebut ialah yang bermaksud:
"Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kesusahan dan kedukaan dan aku berlindung dari lemah dan tidak berdaya dan rasa malas dan aku berlindung dari sifat pengecut dan bakhil dan aku berlindung dari tenggelam dalam hutang dan tekanan (kezaliman) orang."
Apa yang menyebabkan seseorang itu menanggung hutang yang banyak ialah disebabkan biasanya kerana tidak tahu mengurus pendapatan atau wang yang diperolehinya, terutama sikap berbelanja yang berlebihan dan ingin hidup bermewah-mewah dan bergaya.
Sebenarnya Islam telah mengajar kita dalam soal berbelanja dan cara mengurus pendapatan ini. Andainya kita menghayati ajaran-ajaran Islam, sudah pasti kita tidak terjebak dalam masalah hutang yang membelenggu kehidupan kita. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Furqan ayat 67 yang tafsirannya:
"Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara itu (boros dan bakhil)."
Ayat tersebut mengajar cara mengurus pendapatan atau kewangan kita, iaitu bagaimana sewajarnya kita membelanjakannya antaranya iaitu tidak bersikap bakhil terutama untuk memberi nafkah ke atas tanggungan kita. Begitu juga jangan berbelanja dengan cara membazir sehingga mendedahkan diri kepada hutang yang banyak, ini juga mengakibatkan diri sentiasa dibelenggu kerisauan apatah lagi jika sampai diisytiharkan 'muflis' atau bankrap yang mendatangkan kehinaan diri di mata masyarakat.
Oleh itu sebagai seorang Islam biarlah kita hidup dengan sifat kanaah iaitu sifat hidup berpada dan bersederhana dalam memenuhi keperluan hidup seharian. Ukurlah baju di badan sendiri, ingatlah kekayaan sebenar seseorang itu bukan terletak pada hartanya akan tetapi adalah di dalam hidup yang bersifat kanaah iaitu yang bersederhana dalam hidup.
Firman Allah dalam Surah Al-Israa' ayat 26 - 27 yang tafsirannya:
"Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
No comments:
Post a Comment