SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

SIFAT REDHA


Islam adalah agama yang sempurna yang membimbing dan mendidik umatnya supaya melakukan kebaikan agar hidup sempurna dan bahagia serta selamat baik di dunia mahupun di akhirat. Bagi mencapai tujuan tersebut, seseorang itu perlulah bersifat redha terhadap ketetapan dan ketentuan Allah swt.

Redha merupakan antara sifat mulia yang amat dituntut dalam Islam. Kita sebagai umat Islam hendaklah redha dalam menerima hukum-hukum Allah iaitu menerima segala yang telah ditetapkan dalam Islam dengan penuh ikhlas, tunduk dan patuh terhadap perintah-perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya dengan senang hati, tanpa merasa terpaksa atau dipaksa. Inilah tanda cinta dan mahabbah hamba-hamba-Nya yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wataala. Itulah yang dapat melahirkan keimanan dan ketakwaan dalam diri seseorang.

Sifat redha pada kelazimannya hanya dimiliki oleh orang yang beriman dan tidak dimiliki oleh orang-orang munafik kerana orang munafik menentang ketetapan Allah Subhanahu Wataala. Jika mereka beribadat, maka mereka melakukan ibadat itu bukan kerana Allah Subhanahu Wataala, tetapi dilakukan hanya kerana terpaksa dan berpura-pura serta menunjuk-nunjuk, bukan benar-benar ikhlas dan redha kerana Allah Subhanahu Wataala. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisaa' ayat 142 yang maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap agama Allah dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka hanya bertujuan riyak memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali."

Percaya kepada qadak dan qadar adalah salah satu dari Rukun Iman yang ke enam yang wajib diimani, dan beriman dengannya itu termasuklah redha yakni rela menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah Subhanahu Wataala baik berupa nikmat mahupun berupa musibah. Tetapi lain halnya dengan manusia yang tidak beriman, kehidupannya tidak seimbang, hanya bersyukur di kala senang dan menerima nikmat tetapi akan kecewa dan tidak sabar ketika dalam kesusahan dan menerima musibah, sedangkan mukmin sejati tetap menerima qadak dan qadar Allah Subhanahu Wataala dengan lapang dada dan senang hati. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:

"Dari Suhibul Raumi Radiallahuanhu ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Betapa ajaibnya orang-orang yang beriman itu. Sesungguhnya semua perkara adalah baik bagi mereka. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya dan jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya."

Jika seseorang menghadapi kebimbangan dalam sesuatu urusan atau pekerjaan kerana hatinya merasa ragu-ragu sama ada mahu melakukannya atau tidak dan merasa bimbang terhadap hasil yang akan diperolehinya adakah bermanfaat ataupun tidak, maka agama Islam telah memberikan kita jalan mengatasinya iaitu dengan mengerjakan Sembahyang Istiharah bagi mendapat pertolongan dan petunjuk dari Allah Subhanahu Wataala. Setelah melakukannya, kita hendaklah redha terhadap apa jua hasil yang kita dapat, kerana itulah yang ditakdirkan oleh Allah untuk kita, janganlah berkata sesuatu yang menandakan rasa tidak puas hati dan tidak redha jika yang diharapkan tidak tercapai dan dimakbulkan.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda yang bermaksud:

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Jikalau engkau terkena oleh sesuatu musibah, maka janganlah engkau berkata: Andai kata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu. Tetapi berkatalah: Ini adalah takdir Allah dan apa sahaja yang dikehendaki oleh-Nya tentu Dia melaksanakan-Nya, sebab sesungguhnya ucapan andai kata itu membuka pintu godaan syaitan."

(Hadis riwayat Muslim).

Rezeki yang dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-Nya adalah ditentukan oleh Allah sendiri, ada yang banyak dan mewah dan ada yang sedikit dan susah yang perlu disyukuri dan diredhai dan diterima dengan hati terbuka. Itulah kekayaan rohani yang tinggi nilai dan harganya. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang tafsirannya:

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta. Akan tetapi kekayaan yang sebenar ialah kekayaan jiwa."

Sesungguhnya jika kita bersikap redha terhadap apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala, maka kita juga akan memperolehi keredhaan dari Allah. Dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala itulah sebenar-benar nikmat yang agung dan mulia dan merupakan kunci kebahagiaan sejati. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30 yang maksudnya:

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang. Kembalilah kepada Tuhan- mu dengan keadaan engkau berpuas hati dengan segala nikmat yang diberikan, lagi reda di sisi Tuhanmu. Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku."

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Dari Anas Radiallahuanhu ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Bila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka diuji. Barangsiapa reda menerima ujian itu, Allah reda pula kepadanya. Dan barangsiapa yang marah (tidak reda), maka Allah pun murka kepadanya."

(Hadis riwayat At-Tarmizi).

Akhirnya marilah kita sama-sama membersihkan jiwa kita dengan sentiasa redha dalam apa jua keadaan apatah lagi terhadap ketentuan yang telah ditetapkan Allah Subhanahu Wataala. Jadikanlah diri kita insan yang benar-benar beriman dan bertakwa, patuh dan tunduk ke atas perintah dan larangan-Nya, mudah-mudahan kita mendapat ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Bayyinah ayat 7 - 8 tafsirannya:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah Syurga Adnin (tempat tinggal yang tetap) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pun reda (serta syukur) akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut melanggar perintah Tuhannya."

No comments:

Post a Comment