Islam adalah agama yang mencintai keharmonian dan keamanan, kerana itulah islam mengambil berat tentang hubungan baik antara sesama manusia khususnya dalam mengeratkan hubungan silaturahim, baik sesama kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai mahupun masyarakat global. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka sambunglah hubungan silaturahim".
(Riwayat Al-Bukhari)
Dalam usaha mengeratkan dan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan itu, agama Islam telah menunjukkan jalan atau amalan yang patut dilakukan bagi mencapai tujuan yang dihasratkan itu, antaranya mengundang atau menjemput saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai ke pelbagai majlis atau kenduri yang diadakan. Amalan mengundang dan memenuhi undangan itu adalah merupakan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bahkan Baginda menggalakkan para sahabat untuk mengadakan dan menghadiri kenduri. Amalan inilah yang menjadi tradisi orang-orang islam, menjemput atau mengundang saudara mara, jiran dan kawan-kawan untuk menghadiri majlis yang diadakan, baik secara formal atau tidak, seperti Majlis Perkahwinan, Majlis Rumah terbuka sempena Hari Raya, Majlis membaca Doa Selamat, Bertahlil dan Doa Arwah, Majlis Aqiqah dan sebagainya.
Bagi orang-orang yang hendak menjemput dan menerima jemputan, maka perlulah mengetahui bahawa agama Islam ada memberikan panduan dan adab-adab yang perlu di ikuti oleh mereka. Antara adab-adab itu ialah orang yang mengundang itu hendaklah tidak membezakan kedudukan mereka yang diundang sama ada golongan kaya atau golongan miskin. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menyatakan dalam sabda Baginda maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu ia berkata : Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang dijemput orang-orang kaya sahaja dan ditinggalkan orang-orang miskin:.
Sementara itu, niat menjemput pula hendaklah semata-mata untuk merapatkan hubungan silaturahim, bukan untuk lain-lainnya seperti hendak berbangga-bangga dan bermegah-megah, dan hendaklah jangan mengundang orang yang memang sukar untuk menerima undangan, begitu juga orang yang diketahui kehadirannya akan merosakkan dan menghuruharakan majlis yang diadakan.
Manakala adab bagi orang yang menerima undangan pula ada lima iaitu :
Pertama: Tidak membezakan undangan, baik undangan tersebut datangnya daripada orang kaya ataupun orang miskin, kerana perbuatan itu namanya takbur yang dilarang dalam Islam.
Kedua: Tidak menolak sesuatu undangan hanya disebabkan alasan jauh.
Ketiga: Tidak menolak sesuatu undangan hanya kerana ia berpuasa, tetapi adalah lebih baik ia menghadirinya. Jika ia hanya berpuasa sunat, ia dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala jika niatnya berbuka itu untuk menyenangkan hati dan menggembirakan tuan rumah. Tetapi jika ia berpuasa wajib seperti puasa qada, maka tidaklah boleh ia berbuka.
Keempat: Menolak undangan jika diketahui makanan yang dihidangkan dari barang yang subahat dan haram, ataupun di majlis itu diadakan berbagai-bagai kemungkaran seperti hiburan yang diharamkan oleh syarak, ataupun orang yang mengundang itu bersifat zalim atau fasik atau suka bermegah dan membesar diri.
Kelima: Janganlah hendaknya menerima undangan itu dengan niat untuk memuaskan kehendak perut, bahkan hendaklah ia memperbaiki niatnya dengan tujuan yang baik seperti mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, memuliakan tuan rumah, menjaga hati serta perasaan saudaranya dan sebagainya.
Dalam kita menghormati tetamu, setentunya kita tidak akan lupa memberikannya hidangan atau jamuan walaupun secara ala kadar sahaja. Itulah peribahasa yang kita lakukan sebagai penghormatan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :
Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya".
(Riwayat Al-Bukhari)
Amalan memberikan jamuan ini juga ada adab-adabnya ialah menyegerakan untuk menikmati hidangan jika jemputan telah ramai dan tetamu yang belum hadir hanya sedikit sedangkan waktu yang telah ditetapkan telah berlalu.
Makanan yang dihidangkan pula hendaklah sekadar mencukupi, jangan sampai membazir, kerana perbuatan sedemikian boleh dikategorikan sebagai riyak, dan jangan pula sampai tidak mencukupi kerana ia merupakan perbuatan kurang sopan, hidangan yang dihidang janganlah diangkat atau dikemas melainkan setelah semua jemputan selesai makan.
Bagi orang yang hadir menerima undangan adalah dilarang memilih tempat duduk seperti duduk di tempat yang ditetapkan oleh tuan rumah untuk orang yang tertentu, tetapi hendaklah merendah diri dan duduk di tempat yang disediakan dengan memberi salam serta bertanya khabar pada orang-orang yang duduk berhampiran dengannya, kerana dengan itu kemesraan boleh terjalin. Jangan duduk terlalu lama sedangkan majlis telah selesai, dan jangan pula bersegera hendak pulang sehingga tuan rumah tergesa-gesa untuk menghidangkan jamuan.
Apabila telah dijamu untuk makan, hendaklah mendahulukan orang yang lebih utama serta orang-orang tua. Dan apabila mengambil makanan itu mengikut giliran dan janganlah mengambilnya terlalu lama sehingga orang lain tertunggu-tunggu. Dan apabila makan hendaklah bersederhana tidak berlebihan sehingga tidak mencukupi untuk orang lain, di samping itu janganlah menyebut-nyebut atau melakukan sesuatu yang boleh menjijikkan orang lain sehingga menyebabkan orang lain tidak ada selera untuk makan.
Sebagaimana kebiasaan orang di negara kita, terutama di Majlis rumah terbuka sempena hari raya, Perkahwinan dan Bertahlil, Membaca Doa Arwah, apabila selesai sahaja majlis, jika hidangan berlebihan tuan rumah akan mengizinkan dan menyuruh tetamu mereka membawa balik lebihan itu. Amalan tersebut adalah amalan yang sangat mulia dan baik, di mana tuan rumah akan mendapat pahala daripada Allah Subhanahu Wataala diatas sedekah tersebut apatah lagi perbuatan itu boleh mengelakkan daripada berlakunya pembaziran, tetapi apa yang perlu diingat bagi umat islam ialah mempastikan ianya benar-benar lebih dan semua orang telah makan dan tuan rumah telah memberi izin kepada kita untuk membawa balik makanan yang lebih itu.
Ketahuilah bahawa adab-adab atau cara yang diajarkan dalam Islam mempunyai kelebihan dan kebaikan jika dihayati dan diamalkan. Di situlah menunjukkan Islam itu agama yang lengkap ,meliputi semua aspek kehidupan. Oleh itu marilah kita sama-sama saling ingat-mengingati, nasihat-menasihati dan mematuhi adab-adab yang telah diajarkan oleh Islam. Mudah-mudahan cara baik yang kita praktikkan dan amalan itu akan menjadikan majlis yang diadakan diberkati Allah Subhanahu Wataala, dan hubungan silaturahim menjadi lebih erat dan kuat. Amin Yarabbalalamin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 172 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya".
No comments:
Post a Comment