SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

AMALAN BERZIARAH KE TANAH PERKUBURAN


Agama Islam adalah agama yang sangat indah, menggalakkan umatnya berbuat baik kepada sesiapa sahaja baik yang masih hidup mahupun yang sudah tiada yakni meninggal dunia. Tetapi bagaimanakah cara berbuat baik dengan orang yang sudah meninggal dunia itu?. Di antara cara yang diajarkan oleh Islam ialah melakukan ziarah ke tanah perkuburan.

Dalam masyarakat di negara kita, amalan berziarah ke tanah perkuburan telah sekian lama dilakukan bahkan sudah menjadi adat khususnya apabila menjelang bulan Ramadan dan lebih ketara lagi apabila di bulan Syawal yakni Hari Raya dan tidak terkecuali amalan ini juga dilakukan di bulan-bulan yang lain. Amalan berziarah perlulah dikekalkan kerana dengan berbuat demikian kita akan memperolehi banyak pengajaran dan manfaat daripadanya kerana dengan menziarahi kubur akan mengingatkan kita asal usul kejadian kita daripada tanah dan kepada tanah pula kita dikembalikan, menyedarkan kita bahawa setiap yang hidup pasti akan mati bila tiba masa dan ketikanya dan supaya kita bersifat zuhud iaitu tidak rakus dan tamak akan harta dunia kerana harta benda itu tidak dapat dibawa mati. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka ziarahilah perkuburan kerana perbuatan demikian akan mengingatkan kamu kepada kematian".

(Riwayat Muslim).

Di Negara kita, amalan melakukan siarah ke tanah perkuburan dilakukan tidak mengira lelaki atau perempuan, dewasa atau kanak-kanak. Apa yang perlu kita ketahui ialah dalam Islam terdapat adab-adab ziarah kubur yang elok diikuti dan diamalkan. Antaranya orang yang hendak melakukan ziarah kubur itu disunatkan berwuduk terlebih dahulu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, bagi lelaki ataupun perempuan. Dan apabila kita sampai ke tanah perkuburan, kita disunatkan memberi salam kepada ahli kubur terlebih dahulu yang berbunyi:

Ini dijelaskan oleh hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Sulaiman bin Buraidah dari ayahnya : Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengajarkan mereka sekiranya menziarahi kubur supaya mengucapkan yang bererti :

“Mudah-mudahan Allah melimpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian wahai penghuni kampung-kampung (kubur-kubur) orang-orang mukmin dan Muslimin, dan sesungguhnya kami insya-Allah akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah afiat untuk kami dan untuk kamu sekalian".

(Riwayat Muslim).

Perbuatan memberi salam itu afdalnya dilakukan dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi. Kemudian kita disunatkan membaca Al-Quran seperti Surah Al-Ikhlas sebanyak sebelas kali atau membaca Surah Yaasiin dan pahala bacaan itu dihadiahkan kepada ahli kubur.

Selain itu, kita juga disunatkan untuk berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan, keafiatan dan sebagainya. Setelah itu barulah merenjiskan air ke kubur berkenaan. Inilah yang dilakukan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke atas kubur anaknya Ibrahim. Dan kita juga disunatkan bersedekah dan pahala sedekah itu dihadiahkan kepada ahli kubur yang berkenaan.

Dalam kita melakukan amalan ziarah kubur, kita juga perlu mengetahui larangan-larangannya, antaranya ialah dilarang untuk meratap ataupun memekik serta memukul pipi disebabkan oleh perasaan yang amat berdukacita di atas pemergian orang yang disayangi. Kita juga dilarang untuk bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah dan adalah makruh hukumnya jika kita duduk di atas kubur yakni bertepatan dengan kedudukan mayat di dalam kubur. Tetapi tidaklah dilarang jika duduk di sekitar atau di sekeliling kubur tersebut. Larangan duduk di atas kubur adalah berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur".

(Riwayat Muslim).

Selain itu, kita juga dilarang memijak kubur dengan sengaja tanpa keperluan atau hajat, tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika tiada jalan lain dan terpaksa.

Perlu diingat bahawa melakukan perkara-perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram. Dan sebagai orang Islam, janganlah kita melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan akidah hanya semata-mata kerana menurut adat kebiasaan atau menurut rasa hati yang sedang bersedih.

Sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya supaya saling hormat-menghormati sesama manusia dan tidak terkecuali dengan orang yang telah meninggal dunia. Kerana itulah Islam menganjurkan umatnya supaya menghormati ahli kubur serta menjaga kehormatan persekitaran kubur. Oleh itu marilah kita sama-sama menjaga adab-adab ziarah kubur dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang apatah lagi yang boleh merosakkan akidah dan keimanan kita. Mudah-mudahan kesan dari amalan ziarah yang kita lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita dengan sentiasa mengingati mati dan segera bertaubat kepada Allah.

Mudah-mudahan juga ahli kubur yang kita ziarahi itu turut juga gembira dan memperolehi rahmat dari Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Mulk ayat 2 yang tafsirnya:

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan Ia Maha Berkuasa membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat".

POHON CINTA

tanamlah sepohon cinta,

yang berakarkan kesetiaan,

berdaunkan kepercayaan,

berbungakan pengorbanan,

berbuah pengertian,

rawatlah selalu dengan kasih sayang,

siramilah dengan ketulusan,

dan pupuklah dengan kejujuran

maka kita pasti akan menemui kejayaan dan kebahagiaan.......

ADAB BERHARI RAYA


Sekarang kita berada di penghujung bulan Ramadan. Ini bererti hanya beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut kedatangan 1 Syawal, iaitu hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya melawan hawa nafsu menunaikan ibadat puasa selama sebulan. Itulah dia hari yang dinamakan Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu Wataala menghalalkan kita untuk berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Pada kelazimannya kedatangan Hari Raya akan disambut dan diraikan oleh umat Islam seluruh dunia, tidak terkecuali oleh umat Islam di negara ini. Apa yang menjadi tradisi umat Islam di Negara kita apabila menyambut Hari Raya ialah membuat bermacam-macam persiapan yang berbentuk material seperti membuat pakaian baru, juadah dan barangan rumah. Itulah yang dititikberatkan sehingga menyebabkan kesibukan apabila menjelang malam Hari Raya sehingga kita lupa perkara yang lebih afdal dilakukan ketika meraikan malam Hari Raya itu.

Sesungguhnya Islam telah menetapkan adab-adab yang sunat dilakukan bagi kita menyambut kedatangan Hari Raya antaranya :

Pertama :

Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah nampak. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-hamba-Nya. Dan takbir itu ialah merupakan ibadat.

Kedua :

Menurut Syeikh Qulyubi di dalam Kitab Hasyiah telah menyebutkan bahawa menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama Sembahyang Sunat Tasbih hukumnya adalah sunat.

Ketiga :

Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.

Keempat :

Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

Kelima :

Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud :

"Dari Anas ia berkata :

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga makan terlebih dahulu beberapa biji tamar.

dan berkata Murajja' bin Raja' telah diceritakan kepada Ubaidullah ia berkata :

Telah menceritakan Anas dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : Dan Baginda memakan tamar itu dalam bilangan ganjil".

Keenam :

Menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain, sebagaimana hadis yang maksudnya:

"Dari Al-Baraa' ia berkata : Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang".

Ketujuh :

Sunat berdoa dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya : Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadan.

Begitulah indah dan telitinya agama Islam sehingga dalam menyambut hari kegembiraan sekali pun terdapat adab-adab dan garis panduan yang memimpin umatnya agar tidak terpesong dari tujuan sebenar sambutan diadakan iaitu sebagai melahirkan rasa syukur terhadap Allah Subhanahu Wataala. Itulah perbezaan agama Islam dengan agama-agama lain yang mengadakan sambutan hanya untuk bergembira dan bersuka ria.

Sebagaimana kelazimannya yang diamalkan oleh orang-orang kita dalam menyambut, bagi memeriahkan suasana Hari Raya ialah ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi antara satu sama lain khususnya keluarga dan tidak dilupakan jiran tetangga dan sahabat handai, menghulurkan tangan memohon kemaafan demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama Islam.

Tapi apa yang perlu kita ingat ialah jangan sampai dalam kegembiraan itu kita lupa peringatan agama kita supaya perkara baik itu dijaga dan jangan dicemari oleh perkara-perkara yang tidak elok dan berdosa yang bertentangan dengan hukum syarak seperti bersalaman dengan bukan muhrim, pesta tari-menari dan menjamu dengan benda-benda haram seperti arak dan sebagainya. Orang Islam bukan demikian cara sambutannya kerana perbuatan sedemikian tidak memberi berkat tetapi sebaliknya mendatangkan bala dan laknat Allah Subhanahu Wataala.

Akhirnya marilah kita sama-sama merayakan Hari Raya yang akan menjelang ini mengikut apa yang diajarkan oleh agama Islam, mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan berkat dari Allah Subhanahu Wataala pada hari tersebut.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 100 yang tafsirnya:

"Katakanlah wahai Muhammad : Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu berjaya".

ADAB MENGUNDANG DAN MENERIMA UNDANGAN


Islam adalah agama yang mencintai keharmonian dan keamanan, kerana itulah islam mengambil berat tentang hubungan baik antara sesama manusia khususnya dalam mengeratkan hubungan silaturahim, baik sesama kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai mahupun masyarakat global. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka sambunglah hubungan silaturahim".

(Riwayat Al-Bukhari)

Dalam usaha mengeratkan dan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan itu, agama Islam telah menunjukkan jalan atau amalan yang patut dilakukan bagi mencapai tujuan yang dihasratkan itu, antaranya mengundang atau menjemput saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai ke pelbagai majlis atau kenduri yang diadakan. Amalan mengundang dan memenuhi undangan itu adalah merupakan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bahkan Baginda menggalakkan para sahabat untuk mengadakan dan menghadiri kenduri. Amalan inilah yang menjadi tradisi orang-orang islam, menjemput atau mengundang saudara mara, jiran dan kawan-kawan untuk menghadiri majlis yang diadakan, baik secara formal atau tidak, seperti Majlis Perkahwinan, Majlis Rumah terbuka sempena Hari Raya, Majlis membaca Doa Selamat, Bertahlil dan Doa Arwah, Majlis Aqiqah dan sebagainya.

Bagi orang-orang yang hendak menjemput dan menerima jemputan, maka perlulah mengetahui bahawa agama Islam ada memberikan panduan dan adab-adab yang perlu di ikuti oleh mereka. Antara adab-adab itu ialah orang yang mengundang itu hendaklah tidak membezakan kedudukan mereka yang diundang sama ada golongan kaya atau golongan miskin. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menyatakan dalam sabda Baginda maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu ia berkata : Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang dijemput orang-orang kaya sahaja dan ditinggalkan orang-orang miskin:.

Sementara itu, niat menjemput pula hendaklah semata-mata untuk merapatkan hubungan silaturahim, bukan untuk lain-lainnya seperti hendak berbangga-bangga dan bermegah-megah, dan hendaklah jangan mengundang orang yang memang sukar untuk menerima undangan, begitu juga orang yang diketahui kehadirannya akan merosakkan dan menghuruharakan majlis yang diadakan.

Manakala adab bagi orang yang menerima undangan pula ada lima iaitu :

Pertama: Tidak membezakan undangan, baik undangan tersebut datangnya daripada orang kaya ataupun orang miskin, kerana perbuatan itu namanya takbur yang dilarang dalam Islam.

Kedua: Tidak menolak sesuatu undangan hanya disebabkan alasan jauh.

Ketiga: Tidak menolak sesuatu undangan hanya kerana ia berpuasa, tetapi adalah lebih baik ia menghadirinya. Jika ia hanya berpuasa sunat, ia dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala jika niatnya berbuka itu untuk menyenangkan hati dan menggembirakan tuan rumah. Tetapi jika ia berpuasa wajib seperti puasa qada, maka tidaklah boleh ia berbuka.

Keempat: Menolak undangan jika diketahui makanan yang dihidangkan dari barang yang subahat dan haram, ataupun di majlis itu diadakan berbagai-bagai kemungkaran seperti hiburan yang diharamkan oleh syarak, ataupun orang yang mengundang itu bersifat zalim atau fasik atau suka bermegah dan membesar diri.

Kelima: Janganlah hendaknya menerima undangan itu dengan niat untuk memuaskan kehendak perut, bahkan hendaklah ia memperbaiki niatnya dengan tujuan yang baik seperti mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, memuliakan tuan rumah, menjaga hati serta perasaan saudaranya dan sebagainya.

Dalam kita menghormati tetamu, setentunya kita tidak akan lupa memberikannya hidangan atau jamuan walaupun secara ala kadar sahaja. Itulah peribahasa yang kita lakukan sebagai penghormatan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya".

(Riwayat Al-Bukhari)

Amalan memberikan jamuan ini juga ada adab-adabnya ialah menyegerakan untuk menikmati hidangan jika jemputan telah ramai dan tetamu yang belum hadir hanya sedikit sedangkan waktu yang telah ditetapkan telah berlalu.

Makanan yang dihidangkan pula hendaklah sekadar mencukupi, jangan sampai membazir, kerana perbuatan sedemikian boleh dikategorikan sebagai riyak, dan jangan pula sampai tidak mencukupi kerana ia merupakan perbuatan kurang sopan, hidangan yang dihidang janganlah diangkat atau dikemas melainkan setelah semua jemputan selesai makan.

Bagi orang yang hadir menerima undangan adalah dilarang memilih tempat duduk seperti duduk di tempat yang ditetapkan oleh tuan rumah untuk orang yang tertentu, tetapi hendaklah merendah diri dan duduk di tempat yang disediakan dengan memberi salam serta bertanya khabar pada orang-orang yang duduk berhampiran dengannya, kerana dengan itu kemesraan boleh terjalin. Jangan duduk terlalu lama sedangkan majlis telah selesai, dan jangan pula bersegera hendak pulang sehingga tuan rumah tergesa-gesa untuk menghidangkan jamuan.

Apabila telah dijamu untuk makan, hendaklah mendahulukan orang yang lebih utama serta orang-orang tua. Dan apabila mengambil makanan itu mengikut giliran dan janganlah mengambilnya terlalu lama sehingga orang lain tertunggu-tunggu. Dan apabila makan hendaklah bersederhana tidak berlebihan sehingga tidak mencukupi untuk orang lain, di samping itu janganlah menyebut-nyebut atau melakukan sesuatu yang boleh menjijikkan orang lain sehingga menyebabkan orang lain tidak ada selera untuk makan.

Sebagaimana kebiasaan orang di negara kita, terutama di Majlis rumah terbuka sempena hari raya, Perkahwinan dan Bertahlil, Membaca Doa Arwah, apabila selesai sahaja majlis, jika hidangan berlebihan tuan rumah akan mengizinkan dan menyuruh tetamu mereka membawa balik lebihan itu. Amalan tersebut adalah amalan yang sangat mulia dan baik, di mana tuan rumah akan mendapat pahala daripada Allah Subhanahu Wataala diatas sedekah tersebut apatah lagi perbuatan itu boleh mengelakkan daripada berlakunya pembaziran, tetapi apa yang perlu diingat bagi umat islam ialah mempastikan ianya benar-benar lebih dan semua orang telah makan dan tuan rumah telah memberi izin kepada kita untuk membawa balik makanan yang lebih itu.

Ketahuilah bahawa adab-adab atau cara yang diajarkan dalam Islam mempunyai kelebihan dan kebaikan jika dihayati dan diamalkan. Di situlah menunjukkan Islam itu agama yang lengkap ,meliputi semua aspek kehidupan. Oleh itu marilah kita sama-sama saling ingat-mengingati, nasihat-menasihati dan mematuhi adab-adab yang telah diajarkan oleh Islam. Mudah-mudahan cara baik yang kita praktikkan dan amalan itu akan menjadikan majlis yang diadakan diberkati Allah Subhanahu Wataala, dan hubungan silaturahim menjadi lebih erat dan kuat. Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 172 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya".

BAGI WANITA


Keayuan wanita solehah itu,tidak terletak pada kecantikan wajahnya.

Kemanisan wanita solehah,tidak terletak pada kemanjaannya.

Daya penarik wanita solehah itu, Bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu,Bukan dan tidak sama sekali.

Kepetahan wanita solehah,Bukan pada barang kemas atau perihal orang lain,Tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama.

BAGAIMANA CINTA


Bagaimana cinta kerana Allah ?

Menurut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin,

kecintaan seseorang yang hakiki kepada insan lain kerana Allah bukanlah bermaksud mencintai insan itu kerana dzatnya (sifatnya).

sebaliknya adalah kerana insan itu dapat mendekatkan diri sendiri dengan akhirat.

Menurut beliau lagi, bahawa seorang lelaki mengahwini seorang wanita solehah supaya terpelihara dari gangguan syaitan, supaya terjaga agamanya, supaya memperolehi anak-anak yang soleh dari wanita itu dan seterusnya anak-anak itu mendoakan untuknya.

Lalu apabila lelaki berkenaan mencintai wanita itu kerana semua sebab-sebab di atas, maka dia adalah tergolong sebagai salah seorang pencinta kerana Allah.