SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

PERBUATAN ZINA


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 32 yang tafsirnya:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan".

Perbuatan zina adalah perbuatan yang sangat keji dan dosa besar yang hukumnya adalah haram. Perbuatan zina merupakan jenayah dalam Islam yang banyak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan negara. Zina boleh menyebabkan masyarakat porak-peranda dan berpecah-belah, merosakkan keturunan, membawa bermacam-macam penyakit, merosakkan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian Islam. Bahkan merupakan salah satu penyebab turunnya bala.

Perlu disedari bahawa di samping zina itu perbuatan terkutuk, dosa besar dan haram, ianya pula kadang-kadang diertikan dengan perbuatan dosa yang lain kerana ada di antara mereka yang mengandungkan anak hasil perbuatan zina itu berusaha untuk mengugurkan anak dalam kandungan tersebut. Dan kadang-kadang jika tidak dapat digugurkan, maka anak yang baru dilahirkan itu pula akan dibuang di merata tempat seperti tempat pembuangan sampah, dalam semak dan ada kalanya ditinggalkan di tempat umum dengan tiada rasa kasih sayang dan belas kasihan. Hasil perbuatan kejam itu menyebabkan anak berkenaan terdedah kepada bahaya yang ada, dan adakalanya menyebabkan kematian.

Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab zaman jahiliyah membunuh anak-anak perempuan mereka dengan menanamnya hidup-hidup kerana berasa malu beroleh anak perempuan. Kisah ini diceritakan di dalam Al-Quran melalui firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nahl ayat 58-59 yang tafsirnya:

"Dan apabila di khabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari kerana menanggung dukacita, sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana merasa malu disebabkan berita buruk yang disampaikan kepadanya tentang ia beroleh anak perempuan sambil ia berfikir apakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah?. Ketahuilah sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu".

Sebagaimana yang diceritakan oleh Al-Quran dan kitab sejarah bahawa orang Arab di zaman jahiliyah membunuh anak perempuan mereka dengan menanamnya hidup-hidup. Lain halnya dengan perbuatan segelintir orang zaman sekarang di mana mereka tergamak membuang anak yang tidak berdosa baik perempuan mahupun lelaki dan meninggalkan atau membiarkannya di tempat-tempat yang terdedah kepada bahaya dan tidak selamat, bahkan sehingga menyebabkan kematian. Perbuatan ini tidak jauh bezanya dengan perbuatan di zaman jahiliyah.

Melakukan pembuangan anak apatah lagi sampai menyebabkan kematian adalah perbuatan zalim yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wataala, dan termasuk dalam dosa besar yang mengakibatkan pelakunya akan mendapat seksa yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 165, tafsirnya:

"Dan Kami tempatkan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat disebabkan mereka berlaku paksa (derhaka)".

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Dari Anas bin Malik Radiallahuanhu ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyebut tentang dosa-dosa besar (atau Baginda ditanya tentang dosa-dosa besar), maka Baginda bersabda : Menyekutukan Allah, membunuh manusia dan derhaka kepada kedua ibu bapa".

(Hadis riwayat Muslim).

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala menciptakan manusia ini dengan sebaik-baik kejadian. Dengan mengurniakannya akal dan fikiran supaya dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan sempurna dan teratur. Tetapi apa yang mendukacitakan, terdapat segelintir manusia yang bertindak di luar batas kemanusiaan sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk dan berlaku kejam dan zalim dengan membuang anak yang dilahirkan sendiri. Bayangkan binatang pun tidak melakukan perbuatan sedemikian.

Ketahuilah bahawa anak itu adalah amanah daripada Allah Subhanahu Wataala dan dipertanggungjawabkan untuk dipelihara dan dijaga, bukan diabaikan kerana merekalah generasi yang akan menyambung keturunan dan merekalah juga yang akan menjadi khalifah di muka bumi ini selepas kita yang akan meneruskan perjuangan, menyebarluaskan risalah Islam kepada generasi akan datang.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 33 yang tafsirnya:

"Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak)".

No comments:

Post a Comment