SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

FAKTOR PERSEKITARAN BENTUK PERIBADI

PERSEKITARAN yang baik mampu membentuk kehidupan diredai Allah dan oleh itu, melakukan kebaikan harus menjadi agenda utama. Ibu bapa yang baik budi pekerti akan menunjukkan contoh baik terhadap anak seterusnya membentuk sebuah keluarga bahagia. Begitu juga apabila seluruh komuniti masyarakat sentiasa berada dalam kebaikan, pasti seluruh kehidupan manusia berada di landasan yang baik juga. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan jika penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu Kami bertindak ke atas mereka dengan sebab yang mereka telah usahakan.”

(Surah al-A’raf, ayat 96)

Kebaikan yang sentiasa menjadi perhiasan diri mukmin bukan sekadar untuk kepentingan peribadi dan keuntungan pahala bersifat individu semata-mata, tetapi kesannya turut dirasai mereka dalam persekitarannya juga. Hakikat yang perlu diakui setiap individu Muslim, mempunyai sahabat yang baik, hidup dalam persekitaran baik adalah jaminan daripada Allah SWT bagi penghasilan sebuah kejayaan. Hayati hadis Nabi SAW mengenai sejarah pembukaan Kota Constantinople. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:

“Kota Constantinople (Istambul sekarang) akan jatuh ke tangan orang Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Hanya selepas 800 tahun ia menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan dan membuka kota itu daripada tangan kerajaan Rom. Pengkaji sejarah mendapati antara faktor penting yang membawa kepada kejayaan pembukaan kota itu ialah kebaikan akhlak dan perilaku bukan setakat pemimpin saja, malah rakyat secara keseluruhannya.

Bayangkan dalam puluhan ribu tentera, tidak seorang pun pernah meninggalkan solat fardu sejak usia baligh, sebahagian saja yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib dan dalam kalangan yang ramai itu, hanya Sultan Muhammad tidak pernah meninggalkan solat malam sejak baligh. Fenomena ini seharusnya membuka mata kita bahawa kebaikan mesti menjadi syarat utama yang membebaskan diri manusia daripada kezaliman dan kejahatan yang melingkungi persekitaran hidup manusia pada masa kini.


Sesungguhnya persekitaran baik dicorakkan oleh ahli masyarakat yang baik, begitu juga sebaliknya. Rosak akhlak masyarakat kerana tidak wujud suasana sekeliling yang membantu untuk kebaikan dijelmakan dalam bentuk lebih meluas. Bagaimana mungkin seorang gadis muslimah memastikan maruahnya terlindung dan terpelihara jika di sekelilingnya penuh dengan remaja mendedahkan aurat, menjunjung hedonisme sebagai budaya serta tontonan media massa yang merosakkan akal dan minda.

Membentuk suasana sekeliling yang baik adalah satu cabaran besar dalam dunia semakin maju dan membangun ini. Amalan mulia ini perlu disokong dan didukung kerana Allah SWT menggalakkan supaya manusia sentiasa mendampingkan diri dengan golongan baik serta berakhlak mulia.
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata.”

(Surah al-Kahfi, ayat 28)

Dalam kisah taubat, seorang lelaki telah membunuh 99 orang dan akhirnya seorang mangsa lagi sehingga menggenapkan kepada 100 orang semuanya, beliau dinasihatkan seorang ilmuwan keluar dari negeri didiaminya untuk mencari tempat lain yang lebih soleh dan baik persekitarannya. Lelaki itu akhirnya meninggal dunia dan rohnya diambil Malaikat Rahmat menandakan keazamannya untuk menjadi baik dan mencari tempat baik juga adalah suatu yang diredai Allah SWT.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: “Hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang melazimi kehidupannya dengan kebenaran, nescaya kamu akan hidup aman di sisinya, berwaspadalah terhadap sahabat kecuali mereka yang amanah kerana amanah tidak wujud kecuali bagi mereka yang takutkan Allah SWT, jangan bersahabat dengan mereka yang jahat kerana kamu nescaya akan belajar daripada kejahatannya.”

ANTARA AIR MATA YANG TIDAK DITUNTUT

Antara air mata yang tidak dituntut :

* Janganlah menangis jika cita-citamu tidak tercapai. Bukankah Tuhan yang telah menentukannya?

* Janganlah menangis ketika menonton filem Hindustan. Bukankah itu cuma lakonan?

* Janganlah menangis kerana cinta tidak berbalas. Mungkin dia bukan jodoh yang telah Tuhan tetapkan.

* Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan. Mungkin kita kurang buat persediaan.

* Janganlah menangis kalau wang kita hilang dalam perjalanan. Mungkin kita kurang bersedekah.

* Janganlah menangis kalau tidak dinaikkan pangkat. Yakinlah, rezeki itu merupakan pemberian Tuhan. Maka simpanlah semua air mata tangisan itu buat bekalan untuk menginsafi atas segala kesedihan yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik-bintik hitam yang telah menggelapkan hati hingga sukar menerima hidayah daripada ALLAH SWT..

KEPIMPINAN

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.”

(Riwayat Muslim)

Huraian

  1. Sekurang-kurangnya setiap manusia itu menjadi pemimpin kepada dirinya sendiri. Oleh itu ia bertanggungjawab menjaga dirinya dan orang yang diamanahkan kepadanya seperti anak, isteri, keluarga, para pekerja dan sebagainya agar hidup mereka berjalan dengan baik dan sempurna.
  2. Setiap amanah mestilah diterima secara hak dan penuh kefahaman tentang tugas-tugas dan kewajipan yang terkandung di dalamnya. Seterusnya dipikul dengan ikhlas dan jujur serta berusaha sedaya upaya agar tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan.
  3. Sebaliknya sesuatu amanah itu jika dijadikan batu loncatan untuk kepentingan diri, bermegah dan berseronok maka kepimpinan itulah yang bakal menjadi punca penyesalan dan kehinaan di akhirat. Bahkan ketika di dunia lagi ia akan merasai kehinaannya terutama apabila kepimpinannya itu terlucut daripadanya.
  4. Oleh itu bagi orang yang benar-benar menyedari tentang hakikat sesuatu tanggungjawab kepimpinan, tidak mungkin akan meminta atau terlalu ghairah merebut sesuatu jawatan kerana setiap amanah itu perlu dipikul dengan berhati-hati kerana setiap kepimpinan adalah amanah dan setiap amanah adalah tanggungjawab yang akan disoal pada hari akhirat kelak.

BADAN BERBAU BUSUK

Lebih memalukan jika rembesan peluh mengganggu orang lain.

MASALAH ketiak dan kaki berbau memang merisaukan. Lebih memalukan apabila ia mengganggu orang lain. Hakikatnya semua orang punyai bau badan yang tersendiri kerana ia berpunca daripada proses perpeluhan. Berpeluh adalah sebahagian daripada proses tubuh dan kita perlu faham mengapa tubuh menghasilkan peluh. Ada dua jenis kelenjar menghasilkan peluh, pertama kelenjar Eccrine dan kedua kelenjar Apocrine. Kelenjar Eccrine bertanggungjawab terhadap proses berpeluh di mana ia bersambung terus hingga permukaan kulit untuk menghasilkan peluh. Ia bertujuan mengawal suhu badan selain membuang bahan-bahan buangan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit.

Pakar Perubatan dan Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani, menjelaskan peluh melalui kelenjar Eccrine sifatnya tulen, jernih seperti air dan tidak menghasilkan bau kerana akan terus keluar ke permukaan kulit dan meluap. Kelenjar Apocrine pula merembeskan cecair yang lebih likat dan agak keruh serta menimbulkan masalah jika ia lebih banyak dari kelenjar Eccrine.

Kelenjar Apocrine ada pada bahagian tubuh yang banyak folikel rambut seperti ketiak serta tempat sulit seperti kemaluan. Kelenjar ini mengandungi sebum, bahan berlemak di mana peluh dirembeskan. Sebum pula bahan organik yang tersimpan dalam kelenjar Apocrine. Di sini lebih mudah untuk bakteria memecah masuk protein dalam rembesan peluh, tidak seperti kelenjar Eccrine. Apabila protin dipecah masuk dalam peluh oleh bakteria, ketiak atau kaki akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Punca bau badan boleh disebabkan bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan tidak sempurna. Pengambilan pelbagai jenis makanan, majoritinya digunakan untuk tubuh sementara selebihnya ditukar ke dalam bentuk sisa buangan atau toksin. Toksin ini disingkirkan sekiranya ginjal, hati dan saluran penghadaman usus berfungsi dengan baik.

Atas sebab tertentu seperti sembelit, sekiranya sistem pencernaan tubuh tidak berfungsi dengan betul, toksin ini boleh kekal dalam tubuh. Individu yang mempunyai masalah ini dan makan banyak daging, telur, ikan dan kekacang khususnya akan mempunyai bau badan yang busuk. Makanan ini mengandungi banyak Choline yang tidak mudah melalui proses metabolisme.

Banyak minum kopi atau minuman berkafein dan makanan berempah yang mengandungi bawang dan bawang putih juga berpotensi menyebabkan bau pada ketiak, tidak kira lelaki atau wanita. Punca lain bau badan termasuk masalah ginjal, hati, hypoglycemia (kurang gula dalam darah), jangkitan kuman, kencing manis dan tiroid. Ia dikesan apabila individu yang pada mulanya tidak punya masalah bau, tiba-tiba mengalami perubahan bau badan yang mengganggu. Bau badan juga disebabkan oleh faktor genetik dan kelenjar yang sangat aktif.

Punca kaki berbau tidak banyak beza dengan bau badan. Selain kaki yang kuat berpeluh, bau kaki juga disebabkan memakai kasut atau sarung kaki yang tiada pengalihan udara sempurna dalam tempoh yang lama. Memandangkan kaki manusia dilitupi kelenjar peluh tebal, peluh pada kaki boleh bercampur dengan bakteria pada permukaan dan menghasilkan bau.

Bulu pada kaki terutama pada ibu jari mampu menyumbang kepada bau yang lebih pekat dengan menambah jumlah permukaan di mana bakteria boleh membiak. Bau kaki boleh dirawat dengan memilih kasut terbuka dan stokin dari bahan semula jadi seperti kapas dan bulu biri-biri.

Pastikan kaki sentiasa kering, guna talkum untuk kaki, jangan guna kasut yang sama dan elakkan tekanan emosi dengan melakukan senaman meditasi. Antara cara merawat dan mengawal masalah bau ketiak pula ialah penggunaan cecair pencuci mengandungi 3 peratus hidrogen peroksida, menyembur pewangi dan penyembur anti peluh. Jika terlalu serius, pembedahan membuang kelenjar Apocrine pada tempat bermasalah boleh dilakukan selain laser.

Info: Cara mengawal bau badan

  1. Kerap mandi
  2. Pilih pakaian fabrik kapas dan longgar
  3. Elak pengambilan makanan tinggi choline (bawang putih, daging, rempah, kafein dan kekacang)
  4. Berhenti merokok.

Sumber : BH

SABAR MENCERMINKAN KEIMANAN


Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Allah berfirman dalam hadis kudsi yang bermaksud, “Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.”
(Riwayat Bukhari)
huraian
  1. Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.
  2. Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian ahli keluarga kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Maksud al-Baqarah :156)
  3. Sentiasa sabar menghadapi bala dan kesusahan kerana ganjarannya ialah dihapuskan dosa-dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.
  4. Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, keimanannya akan diuji dan sekiranya berjaya menghadapi dugaan tersebut ia akan mendapat balasan yang besar di dunia dan akhirat iaitu balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.
  5. Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

KEPENTINGAN MENJAGA SOLAT



Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang daripada sembahyang fardunya sesuatu, Allah berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.

(Riwayat at-Tirmidzi)

Huraian;

1. Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.

2. Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah SWT. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.

3. Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, sebagaimana maksud sabda Nabi SAW: Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhirat mu seolah-olah engkau akan mati esok hari.

MENTELADANI SIFAT RASULULLAH DALAM MENENTUKAN AZAM TAHUN BARU


MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sememangnya sudah menjadi lumrah alam setiap yang datang akan pergi, setiap yang hidup akan mati dan setiap yang bermula akan berakhir. Begitulah juga dengan peredaran masa di mana tahun 2011 berlalu dan tahun 2012 tiba, ini menandakan musim persekolahan tahun 2012 juga akan bermula. Para ibu bapa, anak-anak dan guru-guru juga semuanya sibuk dengan urusan masing-masing. Pada waktu inilah ibu bapa berbelanja besar dari kebiasaan kerana membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka dan inilah salah satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh ibu bapa dengan harapan akan melihat anak-anak mereka berjaya dan menjadi orang pandai dan berilmu, seterusnya menjadi insan yang sempurna dan berguna di kemudian hari.

Itulah azam dan harapan serta cita-cita ibu bapa, semuanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mempunyai azam dan cita-cita merupakan suatu perkara yang mesti ada pada diri seseorang kerana ia merupakan motivasi dan pendorong kepada individu tersebut melakukan sesuatu perkara ke arah yang lebih baik. Seperti pelajar, sudah setentunya berazam mahu menjadi pelajar cemerlang dan berjaya, guru berazam mendidik anak murid mereka secara terbaik, pekerja berazam meningkatkan daya usaha dan produktiviti kerja mereka, boleh dikatakan semua orang berazam untuk menjadi manusia yang berguna dan dihormati. Untuk menjadi manusia yang berguna dan dihormati memerlukan kepada perubahan sikap dan azam yang tinggi ke arah penghayatan ajaran Islam kerana agama Islam sahajalah yang dapat menunjukkan ke jalan yang lurus dan berakhlak mulia.

Agama Islam sangat mementingkan akhlak yang mulia kerana itulah para Rasul-rasul diutuskan bukan sahaja untuk menyebarkan syariat agama Islam yang benar dan betul, tetapi mendidik manusia supaya berakhlak mulia dan terpuji. Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan contoh terbaik untuk diteladani kerana Baginda memiliki keperibadian dan akhlak yang sangat mulia, sebagaimana dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 tafsirnya :

"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik".

Dan firman Allah Subhanahu Wataala lagi dalam Surah Al-Qalam ayat 4 tafsirnya :

"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia".

Keperibadian tinggi serta akhlak mulia Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan hasil didikan dan pengajaran dari Al-Quran. Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha pernah berkata maksudnya :

"Sesungguhnya akhlak Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah Al-Quran".

(Hadis riwayat Imam Muslim)

Al-Quran mendidik Baginda supaya bersifat mulia, pemaaf, sabar, adil, amanah, suka mengajak orang ke jalan kebaikan, melarang melakukan segala macam kemungkaran dan sebagainya.

Akhlak mulia sangat dituntut dalam Islam kerana itu Baginda turut mendidik umatnya supaya berakhlak mulia. Baginda menunjuk ajar dan memberikan bimbingan akhlak bukan hanya setakat teori atau cakap sahaja, tetapi Baginda sendiri melakukannya. Itulah cara pendidikan terbaik dan mendatangkan kesan mendalam. Amalan itulah yang menarik perhatian dan menjadi kepercayaan orang ramai, sekaligus mencontohi akhlak Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Yang sebenarnya kunci utama kearah pembentukan akhlak yang mulia itu sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah lahir daripada mempraktikkan sifat yang wajib bagi Rasul-rasul iaitu :

  1. Siddiq yang bermaksud benar dalam semua perkataan dan perbuatannya.
  2. Amanah yang bermaksud jujur dan dipercayai.
  3. Tabligh iaitu menyebarkan dan menerangkan apa jua yang diterimanya dari Allah Subhanahu Wataala.
  4. Fatanah iaitu cerdik, bijaksana, pandai dan cerdas.

Itulah sifat-sifat yang menjadi kunci kejayaan Baginda Rasululla Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh dunia. Sifat inilah yang sepatutnya menjadi pakaian umat Islam jika mahu berjaya dan disegani serta dihormati. Kita lihat kejujuran dan sifat amanah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sehingga Baginda digelar Al-Amin iaitu orang yang dipercayai. Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan perasaan orang lain. Baginda seorang yang tawaduk yakni merendah diri, tidak sombong dan tidak riyak baik dari segi pertuturan dan perbuatan, bersifat belas kasihan dan suka memberikan pertolongan. Baginda tidak bersifat mungkir janji, mencela, memfitnah, berbohong, menipu, mengadu domba dan sebagainya. Memang benar dan tepatlah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diutus ke dunia ini untuk menyempurnakan akhlak yang mulia sebagaimana sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Baihaqqi maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu ia berkata sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Sesungguhnya bahawa aku ini diutus hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak".

Ketahuilah bahawa umat Islam yang dipandang mulia dan baik di sisi Allah Subhanahu Wataala ialah mereka yang baik akhlaknya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari maksudnya :

"Daripada Masruq ia berkata : Sesungguhnya kami duduk bersama Abdullah bin Amru, ia menceritakan kepada kami dan berkata : Tidak pernah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melakukan perkara-perkara buruk dan tidak juga perkara-perkara yang keji. Dan sesungguhnya ia berkata : Sebaik-baik kamu ialah yang terbaik akhlaknya di kalangan kamu".

Perlu disedari bahawa buruk akhlak itu merugikan dan menjadi racun yang membunuh, perbuatan yang memalukan dan menandakan moral yang rendah, bahkan sebagai penyebab jauhnya manusia dari sisi Allah Subhanahu Wataala dan memudahkannya terperangkap ke dalam hasutan syaitan yang kesudahannya menjadi penghuni Neraka. Oleh itu ingatlah bahawa akhlak buruk dan budi pekerti yang jahat itu merupakan penyakit yang bersarang dalam hati dan racun yang membelenggu jiwa yang tidak boleh dibiarkan, jangan sampai menjadi tabiat yang sukar untuk dibuang sehingga tidak ada rasa malu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

Rawatlah sebelum terlambat dengan membuang sifat-sifat buruk yang ada dalam diri kita dan menggantikannya dengan sifat baik dan terpuji. Jika kita seorang yang bakhil gantikanlah dengan bermurah hati, jika kita seorang yang sombong jadilah seorang yang merendah diri, jika kita seorang pendendam jadilah seorang yang pemaaf, begitulah seterusnya. Yang sebenarnya semua ini boleh dilakukan jika ada azam dan tekad untuk mengubahnya. Apa yang penting kemahuan diri dan melazimkan diri mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dan menjauhi larangan-Nya. Bukankah Allah Subhanahu Wataala telah berfirman dalam Surah Al-Ankabuut ayat 45 tafsirnya :

"Dan dirikanlah sembahyang dengan tekun. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar".

Ingatlah bahawa akhlak buruk dan keji itu selalu mengganggu kehidupan, fikiran menjadi kacau, tiada ketenangan, menimbulkan berbagai masalah dan penyakit sosial, menghilangkan sifat perpaduan, kedamaian dan kasih sayang dalam berkeluarga, bermasyarakat, beragama dan bernegara.

Oleh itu elakkanlah diri kita bersifat keji yang dibenci Allah Subhanahu Wataala. Mohonlah kepada-Nya supaya kita dapat menteladani Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan sebaik-baiknya, baik zahir mahupun batin, ibadat-ibadatnya dan amal-amal solehnya, percakapan atau perbuatannya dalam apa jua hal dan keadaannya. Semoga dengan demikian kita akan selamat di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nahl ayat 90 tafsirnya :

"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu dengan suruhan dan melarang-Nya ini supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya".