Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nahl ayat 18 yang bermaksud:
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".
Dari ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah telah mengurniakan berbagai-bagai kenikmatan kepada hamba-hamba-Nya di dunia ini, seperti nikmat kesenangan, nikmat kemakmuran, nikmat umur, nikmat keselamatan, nikmat kesejahteraan dan bermacam-macam lagi nikmat yang tidak terkira banyaknya. Tetapi apakah kita mensyukuri nikmat tersebut? Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 114 yang bermaksud:
"Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata".
Syukur adalah merupakan pujian, ingatan dan terima kasih kepada Allah Subhanahu Wataala terhadap pengurniaan nikmat kepada hamba-hamba-Nya. Sebagai tanda syukur, seseorang hamba itu hendaklah taat mengerjakan segala suruhan dan perintah Allah serta meninggalkan dan menjauhi segala larangan dan tegahan-Nya dan kita sebagai hamba hendaklah sentiasa redha dengan Qadak dan Qadar Allah.
Amalan bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala itu hendaklah dilakukan melalui tiga perkara:
Pertama: Melalui hati, dengan cara mengiktiraf dan mengakui sepenuhnya bahawa semua nikmat-nikmat tersebut adalah pengurniaan dan pemberian Allah Subhanahu Wataala.
Kedua: Melalui lisan, iaitu menzahirkan di dalam kehidupan seharian dengan memuji-muji Allah Subhanahu Wataala serta memperbanyakkan mengucap syukur kepada-Nya.
Ketiga: Melalui perbuatan iaitu berlaku taat kepada Allah Subhanahu Wataala dan menggunakan segala nikmat-nikmat yang dikurniakan pada tempat-tempat yang diredhai-Nya.
Allah Subhanahu Wataala tidak akan mengubah segala bentuk nikmat yang telah dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya di dunia ini selagi nikmat kurnia tersebut digunakan pada jalan yang diredai-Nya. Nikmat itu akan berkekalan selagi mereka taat dan bersyukur kepada Allah, tetapi sebaliknya jika mereka kufur nikmat, menderhaka dan meninggalkan segala suruhan dan perintah-Nya dan melakukan segala larangan dan tegahan-Nya, maka buruklah balasannya di dunia dan juga di akhirat.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Anfaal ayat 53 yang tafsirnya:
"Balasan yang demikian itu ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
Di dalam Al-Quran banyak menceritakan tentang umat-umat yang terdahulu yang telah menerima segala nikmat kesenangan dan kemewahan, tetapi mereka ingkar dan tidak bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala, mereka menderhaka dan meninggalkan segala perintah-Nya serta mengerjakan segala larangan dan tegahan-Nya. Akibat perbuatan mereka itulah Allah Subhanahu Wataala menurunkan bala bencana ke atas mereka.
Di antara kisah yang diceritakan ialah:
Pertama: Kisah Bani Israel. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 59 yang maksudnya:
"Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan perintah Kami yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya, maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasiq (menderhaka)".
Kedua: Kisah Kabilah Saba'. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Saba' ayat 19 yang tafsirnya:
"Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur lalu berkata: Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami di antara sebuah bandar dengan yang lain, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, lalu Kami jadikan mereka buah mulut orang ramai, serta Kami pecah-belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang mukmin yang sentiasa bersikap sabar lagi sentiasa bersyukur".
Ketiga: Kisah sebuah negeri yang aman damai dan tenteram bertukar menjadi sebaliknya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nahl ayat 112 yang tafsirnya:
"Dan berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar, Allah memberikan satu misalan: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan".
Sesungguhnya di antara punca Allah Subhanahu Wataala menurunkan bala bencana dan malapetaka di muka bumi ini adalah disebabkan perbuatan manusia itu sendiri, di mana mereka tidak mensyukuri nikmat, sebaliknya melakukan maksiat, kemungkaran, kezaliman dan banyak lagi perkara dosa kepada Allah Subhanahu Wataala. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ar-Ruum ayat 41 yang tafsirnya:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat".
Dari ayat Al-Quran itu, jelas membuktikan bahawa bala bencana yang ditimpakan Allah di muka bumi ini adalah suatu peringatan dan pengajaran terhadap perbuatan dan kelakuan manusia yang tidak taat perintah Allah, peringatan dan pengajaran tersebut diturunkan kepada mereka agar mereka kembali ke pangkal jalan, insaf dan bertaubat. Jadikanlah kejadian-kejadian yang berlaku di muka bumi ini sebagai iktibar untuk muhasabah diri kita agar menambahkan lagi ketaatan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dan sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan.
Perlu diingat, pepatah ada mengatakan 'sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna'. Begitulah kebiasaan manusia hanya akan menyedari betapa berharga dan bernilainya nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepadanya apabila nikmat itu sudah hilang dan ditarik balik. Oleh itu peliharalah nikmat yang dikurniakan dan bersyukurlah kepada Allah Subhanahu Wataala. Dengan berbuat demikian sahajalah nikmat-nikmat tersebut akan bertambah dan mendapat berkat. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang mana ertinya:
"Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".
Allah Subhanahu Wataala memerintahkan manusia supaya bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya dan jangan mengufurinya, kesyukuran itu adalah semata-mata untuk faedah manusia itu sendiri. Oleh itu, bersyukurlah terhadap segala nikmat yang dikurniakan dengan taat mengerjakan segala perintah Allah Subhanahu Wataala dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita terhindar dari kemurkaan Allah Subhanahu Wataala dan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbalalamin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nahl ayat 78 yang tafsirannya:
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur".
No comments:
Post a Comment