SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

AMALAN BERZIARAH KE TANAH PERKUBURAN


Agama Islam adalah agama yang sangat indah, menggalakkan umatnya berbuat baik kepada sesiapa sahaja baik yang masih hidup mahupun yang sudah tiada yakni meninggal dunia. Tetapi bagaimanakah cara berbuat baik dengan orang yang sudah meninggal dunia itu?. Di antara cara yang diajarkan oleh Islam ialah melakukan ziarah ke tanah perkuburan.

Dalam masyarakat di negara kita, amalan berziarah ke tanah perkuburan telah sekian lama dilakukan bahkan sudah menjadi adat khususnya apabila menjelang bulan Ramadan dan lebih ketara lagi apabila di bulan Syawal yakni Hari Raya dan tidak terkecuali amalan ini juga dilakukan di bulan-bulan yang lain. Amalan berziarah perlulah dikekalkan kerana dengan berbuat demikian kita akan memperolehi banyak pengajaran dan manfaat daripadanya kerana dengan menziarahi kubur akan mengingatkan kita asal usul kejadian kita daripada tanah dan kepada tanah pula kita dikembalikan, menyedarkan kita bahawa setiap yang hidup pasti akan mati bila tiba masa dan ketikanya dan supaya kita bersifat zuhud iaitu tidak rakus dan tamak akan harta dunia kerana harta benda itu tidak dapat dibawa mati. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka ziarahilah perkuburan kerana perbuatan demikian akan mengingatkan kamu kepada kematian".

(Riwayat Muslim).

Di Negara kita, amalan melakukan siarah ke tanah perkuburan dilakukan tidak mengira lelaki atau perempuan, dewasa atau kanak-kanak. Apa yang perlu kita ketahui ialah dalam Islam terdapat adab-adab ziarah kubur yang elok diikuti dan diamalkan. Antaranya orang yang hendak melakukan ziarah kubur itu disunatkan berwuduk terlebih dahulu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, bagi lelaki ataupun perempuan. Dan apabila kita sampai ke tanah perkuburan, kita disunatkan memberi salam kepada ahli kubur terlebih dahulu yang berbunyi:

Ini dijelaskan oleh hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Sulaiman bin Buraidah dari ayahnya : Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengajarkan mereka sekiranya menziarahi kubur supaya mengucapkan yang bererti :

“Mudah-mudahan Allah melimpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian wahai penghuni kampung-kampung (kubur-kubur) orang-orang mukmin dan Muslimin, dan sesungguhnya kami insya-Allah akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah afiat untuk kami dan untuk kamu sekalian".

(Riwayat Muslim).

Perbuatan memberi salam itu afdalnya dilakukan dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi. Kemudian kita disunatkan membaca Al-Quran seperti Surah Al-Ikhlas sebanyak sebelas kali atau membaca Surah Yaasiin dan pahala bacaan itu dihadiahkan kepada ahli kubur.

Selain itu, kita juga disunatkan untuk berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan, keafiatan dan sebagainya. Setelah itu barulah merenjiskan air ke kubur berkenaan. Inilah yang dilakukan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke atas kubur anaknya Ibrahim. Dan kita juga disunatkan bersedekah dan pahala sedekah itu dihadiahkan kepada ahli kubur yang berkenaan.

Dalam kita melakukan amalan ziarah kubur, kita juga perlu mengetahui larangan-larangannya, antaranya ialah dilarang untuk meratap ataupun memekik serta memukul pipi disebabkan oleh perasaan yang amat berdukacita di atas pemergian orang yang disayangi. Kita juga dilarang untuk bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah dan adalah makruh hukumnya jika kita duduk di atas kubur yakni bertepatan dengan kedudukan mayat di dalam kubur. Tetapi tidaklah dilarang jika duduk di sekitar atau di sekeliling kubur tersebut. Larangan duduk di atas kubur adalah berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur".

(Riwayat Muslim).

Selain itu, kita juga dilarang memijak kubur dengan sengaja tanpa keperluan atau hajat, tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika tiada jalan lain dan terpaksa.

Perlu diingat bahawa melakukan perkara-perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram. Dan sebagai orang Islam, janganlah kita melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan akidah hanya semata-mata kerana menurut adat kebiasaan atau menurut rasa hati yang sedang bersedih.

Sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya supaya saling hormat-menghormati sesama manusia dan tidak terkecuali dengan orang yang telah meninggal dunia. Kerana itulah Islam menganjurkan umatnya supaya menghormati ahli kubur serta menjaga kehormatan persekitaran kubur. Oleh itu marilah kita sama-sama menjaga adab-adab ziarah kubur dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang apatah lagi yang boleh merosakkan akidah dan keimanan kita. Mudah-mudahan kesan dari amalan ziarah yang kita lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita dengan sentiasa mengingati mati dan segera bertaubat kepada Allah.

Mudah-mudahan juga ahli kubur yang kita ziarahi itu turut juga gembira dan memperolehi rahmat dari Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Mulk ayat 2 yang tafsirnya:

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan Ia Maha Berkuasa membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat".

No comments:

Post a Comment