Bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnianya jua kita semua telah dapat melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadhan pada tahun ini. Semoga puasa yang kita lakukan diterima oleh Allah Subhanahu Wataala dan kita akan dipertemukan lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan, Insya Allah.
Alhamdulillah, kita bersyukur juga kerana dipertemukan lagi dengan hari raya iaitu hari kemenangan bagi umat Islam, dan pada hari tersebut kita merayakan- nya dengan memuji kebesaran Allah Subhanahu Wataala dengan bertakbir dan bertahmid dan menyambutnya dengan sambutan yang bersesuaian serta tidak bercanggah atau melanggar dengan ajaran agama Islam, semoga dengan demikian segala amalan yang kita kerjakan di bulan Ramadhan yang itu tidak akan menjadi sia-sia.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Muhammad ayat 33 tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan amalan-amalan kamu".
Di samping kita bersyukur dan bergembira merayakan hari raya, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk muhasabah diri, menilai terhadap segala amal perbuatan yang telah kita lakukan di bulan Ramadhan yang dengan menjadikannya sebagai satu titik tolak untuk kita berazam mempergiatkan lagi amalan-amalan kita di setiap saat dan masa. Kerana kita yakin, jika disepanjang bulan Ramadhan kita mampu menunaikan sembahyang berjemaah baik fardhu mahupun sunat di masjid-masjid, maka sudah tentunya kita juga mampu melakukannya di bulan-bulan lain. Begitu juga dengan ibadat-ibadat lain seperti zakat, sedekah, membaca Al-Quran dan seumpamanya. Demikian juga dengan ibadat puasa. Kenapa kita tidak merebut peluang untuk berpuasa di bulan-bulan lain selain puasa bulan Ramadan seperti puasa enam di bulan syawal.
Mengenai puasa enam di bulan syawal ini, mengerjakannya dengan berturut-turut adalah yang lebih afdhal dan utama. Walau bagaimanapun tidak menjadi kesalahan jika puasa enam itu dilakukan secara berselang hari atau dibuat pada bila-bila masa asalkan di bulan syawal.
Dan ganjaran bagi orang yang mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan syawal setelah berpuasa sebulan Ramadhan adalah di ibaratkan seolah-olah berpuasa sepanjang tahun, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Dari Abi Ayyub Al-Ansari Radhiallahuanhu, ia menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian di ikuti dengan puasa enam hari pada bulan syawal, itulah puasa sepanjang masa".
Puasa enam pada bulan syawal sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan begitu juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak.
Perlulah kita fahami, para ulama ada menyatakan bahawa ganjaran yang bakal diterima bagi mereka yang menyatukan puasa qada dengan puasa sunat enam tidak sama dengan ganjaran pahala yang diterima oleh mereka yang berpuasa enam setelah berpuasa penuh satu bulan Ramadan.
Akhirnya marilah kita berazam untuk menunaikan puasa enam di bulan syawal ini, mudah-mudahan amal yang kita kerjakan mendapat ganjaran pahala dari Allah Subhanahu Wataala.
Firman Allah Subhanahu Wataala tafsirnya :
"Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya balasan sepuluh kali ganda dari kebaikan yang sama dengannya, dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan kejahatan yang sama dengan-Nya, sedang mereka tidak di aniaya sedikit pun".
No comments:
Post a Comment