SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

KHUTBAH KHAS HARI RAYA AIDILFITRI


[KHUTBAH PERTAMA]

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

Alhamdulillah, puji dan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat kebahagiaan dan kegembiraan di pagi hari raya yang penuh dengan keberkatan ini. Kegembiraan yang kita rasakan pada hari ini adalah disebabkan oleh dua perkara:

Pertama:

Gembira kerana pada hari ini kita telah berjaya menyelesaikan suatu tugas yang diamanahkan kepada kita untuk melaksanakannya dengan sempurna iaitu berpuasa di bulan Ramadan dan seterusnya dapat meningkatkan amal ibadat dan takwa kepada Allah Subhanahu Wataala seperti mengerjakan sembahyang terawih, tadarus Al-Quran, memberi sedekah, beriktikaf di waktu malam untuk mendapatkan lailatul qadar, membanyakkan doa dan zikir dan sebagainya.

Kedua:

Gembira kerana kita mendapat jaminan pengampunan dari Allah Subhanahu Wataala kerana telah berjaya melaksanakan puasa di bulan Ramadan.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

Dengan kembalinya kita kepada keadaan fitrah iaitu dalam keadaan suci disebabkan mendapat pengampunan Allah Subhanahu Wataala, maka sewajarnya kita mempertingkatkan ketaatan dalam melaksanakan perintah-perintah Allah Subhanahu Wataala serta menjauhi larangan-larangannya dengan niat ikhlas dan berharap benar akan keredaannya. Di samping itu kita juga hendaklah meningkatkan amal bakti kepada masyarakat dengan bekerjasama, bantu-membantu dan sebagainya. Kerana dengan demikian sahajalah, keharmonian hidup bermasyarakat dapat dikecapi dan dinikmati, yang akhirnya membawa kepada kegembiraan dan kebahagiaan.

Sebenarnya peningkatan diri kearah kebaikan dan perubahan sikap dari negatif kepada positif boleh berlaku daripada penghayatan berpuasa di bulan Ramadhan. Kerana itu puasa memainkan peranan dalam proses pemulihan akhlak atau tarbiah bagi setiap muslim kepada berakhlak mulia.


Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

Dalam kita menyambut hari raya yang penuh kegembiraan ini, kita sebagai umat Islam hendaklah menyambutnya mengikut ajaran-ajaran agama Islam seperti amalan berziarah kerana perbuatan tersebut digemari dan disyariatkan dalam Islam.

Telah menjadi kelaziman orang islam di Negara ini, apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri, kita akan mengadakan rumah terbuka dengan tujuan menjamu tetamu yang datang. Amalan tersebut sememangnya amat baik dan berpahala jika disertai dengan niat ikhlas.

Oleh itu, perlu di ingat dalam kita beramal ibadat seperti memberikan jamuan dan menghulurkan sedekah atau apa jua pemberian itu janganlah disertai di dalam hati niat untuk menunjuk-nunjuk dan membangga diri kerana perbuatan sedemikian hukumnya berdosa dan boleh menyebabkan amalan yang kita lakukan menjadi sia-sia. Dan Allah subhanahu wataala benci kepada orang-orang yang bersifat sombong dan membangga diri.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Luqman ayat 18 tafsirnya:

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membanggakan diri".

Ingatlah wahai para jemaah, bahawa sifat sombong, angkuh, bongkak, dan suka membangga diri itu adalah sifat orang yang takabbur dan orang yang membesarkan diri, dan balasannya ialah neraka.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abdullah bin Mas’ud Radhiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak masuk syurga orang yang terdapat di hatinya seberat zarrah dari sifat sombong".

"Dari Harithah bin Wahhab Al-Juzahi dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Mahukah aku beritahu kamu tentang penghuni neraka? Iaitu setiap orang yang kasar, kikir lagi menyombongkan diri".

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

Ketahuilah bahawa sifat sombong itu sifat iblis, iblis telah ingkar kepada perintah Allah Subhanahu Wataala yang memerintahkannya sujud kepada Nabi Adam Alaihissalam tetapi ia enggan dengan berkata bahawa Adam itu dijadikan Allah daripada tanah, sedangkan dirinya dijadikan Allah daripada api. Iblis laknatullah berpendapat bahawa api itu lebih mulia daripada tanah. Perbuatan iblis mengingkari perintah Allah Subhanahu Wataala itu menyebabkannya dikutuk oleh Allah hingga ke hari kiamat. Oleh itu, iblis sentiasa mencuba membalas dendam terhadap anak cucu Adam, dengan menghasut supaya bersifat sombong dan takabbur agar kutukan itu juga menimpa anak cucu Adam, sebagaimana kutukan keatasnya.

Oleh itu elakkanlah diri kita dari mengikut jejak langkah iblis laknatullah yang menyombongkan diri itu. Dan tanamkanlah sifat redha dan merendah diri, mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala, Allah berfirman yang tafsirnya:

"Tuhan kamu yang berhak disembah ialah tuhan yang satu Maha Esa, oleh itu orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat hati mereka engkar dan sikap zahir mereka sombong takabbur menentang kebenaran".


(KHUTBAH KEDUA)

Setiap mukmin itu adalah bersaudara. Kekukuhan tali persaudaraan itu perlu dijaga dan salah satu cara yang boleh dilakukan bagi memperkukuhkan tali persaudaraan itu ialah dengan amalan ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain sebagaimana yang dilakukan semasa menyambut hari raya Aidilfitri. Melalui ziarah-menziarahi dan saling bermaaf-maafan akan melahirkan sifat hormat-menghormati dan sayang-menyayangi sesama kita.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hujuraat ayat 10 yang tafsirnya:

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang maksudnya:

Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menghormati tetamunya, dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

Islam adalah agama yang serba lengkap dan sempurna yang menganjurkan umatnya supaya bersifat hormat-menghormati, berperibahasa dan memberikan layanan kepada tetamu dengan baik. Kerana meraikan tetamu itu boleh membawa rahmat dan Allah Subhanahu Wataala akan memberikan ganjaran yang besar dan banyak untuk mereka.

Menghormati tetamu adalah suatu kewajipan keatas setiap muslim, oleh itu kita hendaklah melayan mereka mengikut yang sepatutnya selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam, di antaranya menyambut kedatangan tetamu dengan perasaan gembira serta wajah yang manis berseri sambil bertanya khabar berita dan menyajikan hidangan yang termampu oleh kita, bukan dengan membazir dan berbangga-bangga. Dan apabila tetamu hendak pulang, eloklah mereka dihantar hingga kepintu rumah serta mengiringinya dengan doa. Begitulah diantara adab-adab melayan tetamu yang sepatutnya dilakukan mengikut apa yang digariskan oleh agama Islam.

Jika menyambut tetamu ada dengan adab-adabnya, maka sebagai pengunjung pula, ada juga adab-adabnya, antaranya memberi salam terlebih dahulu dan bersalaman dengan orang yang dibolehkan oleh syarak sahaja kerana adalah haram bersalaman dengan yang bukan muhrim. Waktu berziarah pula biarlah sesuai dan jangan duduk terlalu lama, pandangan juga hendaklah dikawal dan dijaga serta menggembirakan tuan rumah dengan kata-kata yang manis dan baik.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

Demi menjaga keharmonian dan kerukunan hidup ini berterusan, maka kita hendaklah menjaga adab-adab yang telah diajarkan oleh agama Islam, kerana tanpa adanya adab-adab seumpama ini boleh menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan kucar-kacir, kacau-bilau dan tidak bersistem, yang akhirnya mengundang kepada perpecahan dan permusuhan.

Oleh itu bagi menjaga dan memelihara supaya adab-adab itu terpelihara dan di ikuti, memerlukan kerjasama semua pihak khususnya para ibubapa mengajarkan kepada anak-anak mereka adab-adab tersebut supaya mereka tidak melakukan perkara yang tidak baik seperti merosakkan harta benda tuan rumah, mencabut tanaman-tanaman, merosakkan pintu rumah, membuang sampah di merata tempat dan bermacam-macam lagi karenah yang mereka lakukan sehingga menyusahkan tuan rumah.

Jelas disini khususnya dalam suasana hari raya, kedua-dua pihak iaitu pengunjung dan orang yang dikunjungi hendaklah saling faham memahami dan mengamalkan ajaran dan adab-adab tersebut. Sesungguhnya konsep ziarah-menziarahi itu adalah merupakan salah satu cara mengeratkan tali persaudaraan yang boleh mengukuhkan kesatuan umat islam. Keadaan ini tidak mustahil boleh mempesonakan pengikut agama lain dan menjadi ikutan mereka.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

Di samping kesibukan dan keseronokan berziarah dan merayakan hari raya yang berbahagia ini, kita juga perlu ingat jangan sampai lalai sehingga kita meninggalkan kewajipan kita sebagai umat islam dan melakukan perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan hari raya ini seperti meninggalkan sembahyang fardhu lima waktu, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, mengumpat, memakai pakaian yang mendedahkan aurat, menghidangkan hidangan yang haram dan bermacam-macam lagi kemungkaran. Demikianlah sebahagian dari perkara-perkara yang perlu kita hindari. Semoga hari raya yang kita rayakan benar-benar akan membawa berkat dan kesejahteraan kepada kita semua.

Bersempena Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini, marilah kita saling bermaaf-maafan, kunjung-mengunjungi bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan, buang yang keruh ambil yang jernih, lupakanlah sebarang persengketaan. Ingatlah bahawa ikatan persaudaraan yang dijalin berlandaskan agama Islam akan melahirkan perpaduan yang kukuh dan akan melahirkan keluarga dan masyarakat bahagia, penyayang dan harmoni dan seterusnya akan wujudkan umat yang kuat dan negara yang aman makmur, penuh dengan rahmat dan pengampunan serta lindungan Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala Surah Saba' ayat 15 tafsirnya:

"Negeri kamu ini adalah negeri yang baik (aman dan makmur) dan tuhan kamu adalah tuhan yang maha pengampun".

No comments:

Post a Comment