SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

BERSALAM-SALAMAN


Agama Islam menganjurkan supaya umatnya membina hubungan baik sesama manusia, dan khususnya hubungan dengan Allah Subhanahu Wataala. Hubungan kepada Allah Subhanahu Wataala ialah dengan cara kita beribadat dan mentaati suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Manakala hubungan dengan manusia pula ialah kita melaksanakan kewajipan-kewajipan dan hak-hak mereka.

Di antara cara yang boleh membina hubungan baik sesama manusia ialah dengan bersalam-salaman, firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisaa' ayat 86 yang tafsirannya:

"Apabila kamu diberi hormat (salam) maka balaslah hormat itu dengan cara yang lebih baik lagi, atau menjawab sepertinya. Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu."

Dalam Islam memberi salam atau mengucapkan salam dengan perkataan 'Assalamualaikum' atau lebih afdhalnya 'Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh' kepada seseorang Islam yang lain, adalah hukumnya sunat, sementara menjawab salam itu adalah hukumnya wajib. Ini kerana, memberi salam itu adalah merupakan hak seorang Islam kepada seorang Islam yang lain, perlulah diingat ketika bersalaman atau berjabat tangan hendaklah ia itu di antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan, ataupun di antara lelaki dengan mahramnya dan perempuan dengan mahramnya. Perlulah difahami adalah haram bagi seseorang lelaki bersalaman dengan adik ipar atau kakak iparnya, kerana ipar hanyalah merupakan mahram mu'akat (sementara), kerana maksud mahram yang dibolehkan bersalaman di sini ialah seseorang yang haram dinikahi atau sudah menjadi pasangannya(suami isteri) selama-lamanya.

Bersalaman adalah perkara yang mudah dan ringan dilakukan. Meskipun ianya mudah dilakukan janganlah amalan bersalaman itu dilakukan secara acuh tak acuh sahaja, bahkan hendaklah dibuat dengan menghadapkan muka ke arah orang yang diajak bersalaman, dengan diiringi senyuman dan muka manis, di samping mendoakannya agar mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu Wataala. Ini jelas sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

Daripada Abi Zar Radiallahuanhu katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepadaku:

“Janganlah engkau pandang ringan perbuatan baik, sekalipun kecil, walaupun hanya dengan menunjukkan muka manis ketika engkau bertemu dengan saudaramu."

Oleh itu ucapkanlah salam dan berjabat tanganlah dengan sempurna kerana kita akan mendapat pahala kebajikan, seperti yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Imran bin Al-Hussin Radiallahuanhu, katanya:

"Ada seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam lalu ia mengucapkan: Assalamualaikum...

kemudian Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam membalas salam orang tadi lalu duduk terus bersabda:

'Sepuluh'. Maksudnya pahalanya dilipatkan sepuluh kali

selanjutnya datang pula orang lain lalu ia mengucapkan: Assalamualaikum Warahmatullah.

kemudian Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam membalas salam orang itu lalu duduk lagi dan bersabda:

'Dua puluh' maksudnya pahalanya dilipatkan menjadi dua puluh kali

seterusnya ada pula orang lain datang, lalu mengucapkan: Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam membalas salam tersebut, lalu terus duduk bersabda:

'Tiga puluh' maksudnya pahalanya dilipat gandakan menjadi tiga puluh kali."

Adapun orang yang bakhil untuk mengucapkan salam boleh dianggap sebagai orang yang cuai dan rugi dalam menunaikan hak tersebut. Ini jelas sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud,
Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“Demi diriku di tangan-Nya, kamu tidak akan masuk Syurga hinggalah kamu beriman dan kamu tidak akan beriman hinggalah kamu ada sifat kasih sayang, sesungguhnya ingatlah, aku tunjukkan kepada kamu satu perkara jika kamu lakukannya nescaya kamu akan ada sifat kasih sayang, iaitu hendaklah kamu memperbanyakkan memberi salam di antara sesama kamu."

Bersalaman ini boleh mengeratkan silaturahim di antara satu dengan yang lain. Apatah lagi bersalaman dengan berjabat tangan adalah amalan yang amat-amat dituntut oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana hadis Baginda Rasululllah Sallallahu Alaihi Wasallam yang berbunyi:

"Sesungguhnya seorang mukmin apabila berjumpa seorang mukmin, lalu dia memberi salam kepadanya serta berjabat tangan dengannya maka gugurlah dosa-dosa seperti gugurnya daun yang kering."

(Hadis diriwayatkan oleh Iman At-Tabarani).

Begitulah cantiknya dan indahnya ajaran Islam itu apabila konsep persaudaraan seperti yang diajarkan itu kita amalkan. Insya-Allah, kita akan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan, maka bertambah kuatlah perpaduan umat Islam sehingga boleh menggerunkan musuh-musuh Islam.

Oleh itu, jalinlah perhubungan sesama Islam dengan membudayakan bersalam-salaman dan elakkanlah dari melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan memecahkan perpaduan umat Islam. Mudah-mudahan kita menjadi sebaik-baik umat di muka bumi ini. Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ahzab ayat 44 yang tafsirannya:

"Sambutan penghormatan yang akan diberikan Tuhan kepada mereka semasa menemuinya ialah ucapan salam (selamat sejahtera) dan Ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia."

Jadi marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment