“Dan jika penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu Kami bertindak ke atas mereka dengan sebab yang mereka telah usahakan.”
(Surah al-A’raf, ayat 96)
Kebaikan yang sentiasa menjadi perhiasan diri mukmin bukan sekadar untuk kepentingan peribadi dan keuntungan pahala bersifat individu semata-mata, tetapi kesannya turut dirasai mereka dalam persekitarannya juga. Hakikat yang perlu diakui setiap individu Muslim, mempunyai sahabat yang baik, hidup dalam persekitaran baik adalah jaminan daripada Allah SWT bagi penghasilan sebuah kejayaan. Hayati hadis Nabi SAW mengenai sejarah pembukaan Kota Constantinople. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:
“Kota Constantinople (Istambul sekarang) akan jatuh ke tangan orang Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Hanya selepas 800 tahun ia menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan dan membuka kota itu daripada tangan kerajaan Rom. Pengkaji sejarah mendapati antara faktor penting yang membawa kepada kejayaan pembukaan kota itu ialah kebaikan akhlak dan perilaku bukan setakat pemimpin saja, malah rakyat secara keseluruhannya.
Bayangkan dalam puluhan ribu tentera, tidak seorang pun pernah meninggalkan solat fardu sejak usia baligh, sebahagian saja yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib dan dalam kalangan yang ramai itu, hanya Sultan Muhammad tidak pernah meninggalkan solat malam sejak baligh. Fenomena ini seharusnya membuka mata kita bahawa kebaikan mesti menjadi syarat utama yang membebaskan diri manusia daripada kezaliman dan kejahatan yang melingkungi persekitaran hidup manusia pada masa kini.
Sesungguhnya persekitaran baik dicorakkan oleh ahli masyarakat yang baik, begitu juga sebaliknya. Rosak akhlak masyarakat kerana tidak wujud suasana sekeliling yang membantu untuk kebaikan dijelmakan dalam bentuk lebih meluas. Bagaimana mungkin seorang gadis muslimah memastikan maruahnya terlindung dan terpelihara jika di sekelilingnya penuh dengan remaja mendedahkan aurat, menjunjung hedonisme sebagai budaya serta tontonan media massa yang merosakkan akal dan minda.
Membentuk suasana sekeliling yang baik adalah satu cabaran besar dalam dunia semakin maju dan membangun ini. Amalan mulia ini perlu disokong dan didukung kerana Allah SWT menggalakkan supaya manusia sentiasa mendampingkan diri dengan golongan baik serta berakhlak mulia.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata.”
(Surah al-Kahfi, ayat 28)
Dalam kisah taubat, seorang lelaki telah membunuh 99 orang dan akhirnya seorang mangsa lagi sehingga menggenapkan kepada 100 orang semuanya, beliau dinasihatkan seorang ilmuwan keluar dari negeri didiaminya untuk mencari tempat lain yang lebih soleh dan baik persekitarannya. Lelaki itu akhirnya meninggal dunia dan rohnya diambil Malaikat Rahmat menandakan keazamannya untuk menjadi baik dan mencari tempat baik juga adalah suatu yang diredai Allah SWT.
Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: “Hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang melazimi kehidupannya dengan kebenaran, nescaya kamu akan hidup aman di sisinya, berwaspadalah terhadap sahabat kecuali mereka yang amanah kerana amanah tidak wujud kecuali bagi mereka yang takutkan Allah SWT, jangan bersahabat dengan mereka yang jahat kerana kamu nescaya akan belajar daripada kejahatannya.”
No comments:
Post a Comment