Pages

PENYALAHGUNAAN DADAH


Allah Subhanahu Wataala mengharamkan sesuatu itu kerana tentunya mempunyai hikmahnya tersendiri. Seperti pengharaman riba, rasuah, judi dan penyalah-gunaan dadah. Para ulama telah bersetuju bahawa dadah itu termasuk di dalam pengertian arak kerana arak boleh mengganggu dan menghilangkan fikiran, akan tetapi kesan dadah adalah lebih buruk lagi daripada arak. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 90 - 91 yang maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang, oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil."

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Daripada Ibnu Umar Radiallahuanhuma, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Semua yang memabukkan itu adalah termasuk dalam erti kata arak dan semua yang memabukkan itu adalah haram."

(Riwayat Muslim).

Ketahuilah bahawa penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan orang yang melakukannya itu lupa diri, lupa agama dan lupa dunia kerana ia memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan tenaga berfikir dan kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat sarap serta boleh mengganggu kesihatan mental dan fizikal.

Bagi penagih yang sudah berkeluarga, dadah boleh meruntuhkan kebahagiaan rumah tangga, boleh menyebabkan berlakunya perceraian dan memporak-perandakan kebahagiaan keluarga, mereka lupa tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka. Rumah tangga yang sempurna dan bahagia akan musnah di mana anak-anak yang belum mengerti apa-apa akan turut menderita. Mereka akan disingkirkan dan disisihkan oleh keluarga dan orang yang disayangi.

Dadah juga boleh menghabiskan wang dan harta. Penagihan dadah boleh menyebabkan penagih kehilangan pekerjaan dan akhirnya sanggup melakukan apa saja jenis jenayah seperti mencuri dan membunuh asalkan ketagihannya dapat dipenuhi.

Memandangkan masalah-masalah tersebut, maka sehingga kini begitu banyak perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan bagi membanteras penyalahgunaan dadah ini. Berbagai-bagai usaha telah dibuat untuk memantau permasalahan ini dari terus berleluasa dan membawa kerosakan kepada negara dan isi di dalamnya. Usaha-usaha murni pihak kerajaan ini amat memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak di negara ini. Akan tetapi, apa yang amat menyedihkan ialah masih ada segelintir masyarakat yang kurang perhatian dan beranggapan bahawa pembanterasan penyalahgunaan dadah adalah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Mereka lupa bahawa setiap kita sebenarnya adalah bertanggungjawab dalam sama-sama membasmi dan menyokong usaha murni ini, baik secara individu mahupun berkumpulan. Ibu bapa misalnya perlu memainkan peranan mereka dengan mengawasi anak-anak jangan sampai terjebak dengan najis dadah. Ibu bapa hendaklah memberikan contoh tauladan yang baik untuk menjadi ikutan anak-anak terutamanya dalam soal agama dan pergaulan seharian.

Para ibu bapa dan setiap anggota masyarakat perlu mengetahui tanda-tanda orang yang terlibat dengan dadah supaya dapat membantu mengenal pasti dan seterusnya untuk mengatasinya antaranya:

1. Selalu ponteng sekolah, tidak hadir bekerja, mutu kerja menurun dan hasil kerja merosot.

2. Kebersihan dan kesihatan diri tidak terurus.

3. Tidak bermaya, selalu menguap dan mengantuk, mudah marah dan melenting tanpa sebab.

4. Lari dari tanggungjawab sehingga keluarga terbiar.

5. Sembunyi-sembunyi melakukan sesuatu.

6. Hilang selera makan.

7. Menjauhkan diri dari keluarga dan kawan rapat dan meninggalkan kegemaran sebelumnya.

8. Minta wang berlebihan atau mengambil wang tanpa izin.

Dalam perkara ini, ibu bapa atau penjaga yang mendapati tanda-tanda tersebut ada pada anak-anak mereka, maka eloklah disiasat dan ditangani dari awal-awal lagi sebelum merebak lebih jauh dan bahaya. Jika tidak berdaya, maka hubungilah dan berundinglah dengan pihak-pihak berkenaan yang bertanggungjawab mengenainya. Janganlah dibiarkan kerana setiap penyakit ada ubatnya. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Dari Jabir Radiallahuanhu, daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah Azzawajalla."

(Riwayat Muslim).

Jika diselidiki, di antara sebab-sebab yang boleh mendorong kepada penyalahgunaan dadah ialah kurangnya penghayatan ajaran agama Islam, tunduk mengikut hawa nafsu, ingin mencuba walaupun ia telah mengetahui akibat buruk dari penyalahgunaan dadah itu, Ditambah pula dengan sikap tiada pendirian, mudah dipengaruhi oleh kawan-kawan, ingin untuk mencari keseronokan dan menganggap dadah boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

Sesungguhnya penyalahgunaan dadah itu tidak lain hanya membawa kepada kesengsaraan dan kebinasaan. Bagi penagih yang telah insaf dan telah berjaya mengikuti rawatan dan pemulihan, maka hendaklah berusaha untuk menjauhinya dan bertekad untuk melupakannya dan tidak mendekatinya lagi.

Tetapi apa yang mendukacitakan, masih terdapat sebilangan mereka yang mengulangi perbuatan penyalahgunaan dadah itu walaupun telah dipulihkan beberapa kali. Jika kita renung kepada maksud hadis Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam yang bermaksud setiap penyakit ada ubatnya, ini bermakna penyakit penyalahgunaan dadah juga mempunyai ubatnya, tetapi memerlukan usaha yang gigih daripada semua pihak dalam mempelbagaikan kaedah dan aktiviti yang serasi dengan penyakit ini, sebagai contoh memberikan bimbingan yang baik, iaitu sentiasa mengerjakan segala suruhan Allah Subhanahu Wataala dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberikan sokongan yang padu dalam membina kehidupan baru yang baik, sempurna dan mendampingkan diri dengan masjid.

Sempena Sambutan Hari Antarabangsa menentang Penyalahgunaan Dadah dan Penghindaran Dadah Haram yang disambut pada 26 Jun 2011 yang beberapa bulan lalu, marilah kita sama-sama mengambil langkah-langkah yang rasional dan menilai sejauh mana kita telah menghargai diri kita.

Menghargai diri ialah mengambil langkah positif bukan mencampakkan diri ke lembah kebinasaan seperti melakukan aktiviti yang kurang sihat dan menyalahi undang-undang. Apabila seseorang itu menghargai dirinya, insya-Allah dia akan berkemampuan untuk menangkis setiap pengaruh negatif yang mendatanginya. Mereka juga memiliki keyakinan diri yang tinggi untuk mengatakan tidak kepada aktiviti negatif, sebaliknya akan mengisi masa yang terluang dengan membuat perkara yang lebih berfaedah untuk kesejahteraan diri.

Dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini, sesungguhnya kita mempunyai hak untuk membuat pilihan. Namun janganlah hendaknya pilihan yang kita buat itu menyalahi undang-undang negara dan hukum-hakam agama sehingga menghancurkan masa hadapan dan kehidupan kita sendiri.

Oleh itu jika kita ingin kehidupan yang aman damai dan bahagia, kita mestilah menghindarkan diri dari terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah. Jika ditanya kepada penagih-penagih dadah atau bekas-bekas penagih, tidak ada seorang pun daripada mereka mengatakan yang mereka hidup sihat dan tenang di bawah pengaruh dadah. Mereka berasa menyesal dan mengakui bahawa kehidupan mereka menuju kehancuran setelah melibatkan diri dengan penyalahgunaan dadah. Insya-Allah, perkara seumpama ini akan dapat dielakkan daripada berlaku andainya kita menghargai diri kita. Dengan menghargai diri akan menerbitkan daya tahan dan jati diri yang kental yang merupakan asas dan tunggak yang penting yang perlu ada dalam diri setiap individu untuk dijadikan benteng bagi mengelakkan diri dari terjebak ke kancah penyalahgunaan dadah.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 yang maksudnya:

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah dengan sebaik-baiknya segala usaha dan perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."

No comments:

Post a Comment