Pages

MEMELIHARA LIDAH


Allah Subhanahu Wataala menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan dilengkapi dengan anggota yang mempunyai tugas masing-masing untuk memenuhi keperluan manusia. Anggota-anggota tersebut bukanlah untuk digunakan dengan sewenang-wenangnya kerana ia akan dipertanggung-jawabkan menjadi saksi di hari Kiamat kelak terhadap apa yang dilakukan oleh manusia semasa di dunia. Oleh itu anggota hendaklah dikawal dan dijaga jangan sampai salah penggunaannya sehingga melakukan perkara yang ditega oleh Allah Subhanahu Wataala.

Salah satu anggota yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada kita yang patut kita syukuri dan pelihara ialah lidah.

Lidah adalah anggota badan yang paling kecil jika dibandingkan dengan anggota-anggota yang lain. Tetapi fungsinya sangat besar ke atas manusia, dengannya manusia boleh berkata-kata dan juga boleh mendatangkan kebaikan dan kejahatan terhadap manusia. Di antara perkara-perkara kebaikan yang boleh dilakukan oleh lidah ialah seperti membaca Al-Quran, berzikir, berdoa, nasihat-menasihati, berkata benar dan banyak lagi. Manakala di antara perkara-perkara kejahatan yang boleh dilakukan oleh lidah pula ialah berkata dusta, memaki, berkata kotor, menghina, mengejek, mengumpat, mengadu-domba, memfitnah dan sebagainya. Jika digunakan ke arah kebaikan akan baiklah jadinya dan jika digunakan ke arah kejahatan maka jahatlah jadinya. Terpulanglah kepada manusia untuk membuat pertimbangan mengenainya.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu telah berkata ia, telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Barangsiapa beriman dengan Allah Subhanahu Wataala dan Hari Kiamat, hendaklah ia berkata-kata dalam perkara yang baik (kebajikan) atau hendaklah ia diam dari berkata-kata."

(Riwayat Al-Bukhari).

Dari hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa kita dituntut untuk bercakap atau berbicara hanya pada perkara yang baik lagi elok serta bermanfaat sahaja. Ini kerana melahirkan perkataan yang baik melalui ucapan yang baik adalah merupakan akhlak dan sopan santun yang tinggi serta gambaran terhadap akhlak individu itu. Selain itu, ia juga dapat menyuburkan kasih sayang sesama manusia, mengeratkan persahabatan dan persaudaraan serta menjauhkan diri dari tipu daya syaitan yang sentiasa ingin merosakkan tali perhubungan dan menimbulkan perselisihan antara manusia.

Penjagaan lidah adalah perkara yang sangat dititikberatkan dalam agama Islam. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menceritakan tentang azab bagi orang yang lalai menjaga lidahnya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Abi Daud dari Anas bin Malik Radiallahuanhu, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Ketika aku dimikrajkan aku telah melalui satu kaum, mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Maka aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka itu wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan nama baik (martabat) mereka."

Dari hadis tersebut jelas kepada kita betapa hinanya orang yang menggunakan lidahnya pada jalan yang ditegah oleh Allah Subhanahu Wataala dengan suka mengumpat dan membuat fitnah di sisi Allah Subhanahu Wataala, sehingga Allah Subhanahu Wataala menciptakan mereka itu seperti memakan daging saudaranya sendiri, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hujuurat ayat 12 yang tafsirannya:

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani."

Imam Al-Ghazali Rahimahullah ada menyebutkan dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' tentang bahaya-bahaya atau kejahatan-kejahatan lidah. Di antaranya bercakap pada perkara-perkara yang tidak perlu atau sia-sia, perkara-perkara maksiat, membantah dan bertengkar dalam perkara yang tidak berfaedah dan remeh-temeh yang boleh mengakibatkan pergaduhan sesama sendiri, memaki hamun atau mengumpat, berjanji dusta atau berbohong, mengumpat dan mengadu domba sesama Islam baik di kalangan sahabat handai, rakan setugas, jiran tetangga dan sebagainya.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hujuurat ayat 11 yang tafsirannya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka: Dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka: Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain."

Jadi marilah kita sama-sama menggunakan lidah yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala itu untuk kebaikan dan bukan menggunakannya ke arah permusuhan dan perpecahan umat Islam, akan tetapi memanfaatkannya untuk mendapat pahala dan rahmat Allah Subhanahu Wataala dengan berzikir, bertasbih, bertahmid dan bermacam-macam lagi amal ibadat yang boleh menyelamatkan kita daripada api Neraka dan membawa kita ke Syurga.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 53 yang tafsirannya:

"Dan katakanlah wahai Muhammad kepada hamba-hambaku yang beriman, supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik, sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia."

No comments:

Post a Comment