Pages

SIFAT SABAR DAN TABAH DALAM MENGHADAPI MUSIBAH


Manusia yang hidup di dunia ini tidak akan dapat lari daripada menerima qadak dan qadar Allah seperti musibah-musibah yang menyebabkan penderitaan dan kesusahan sebagai cabaran dan ujian dari Allah dan harus dihadapi dengan penuh kesabaran. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar".

Sesungguhnya sifat sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah seperti sakit amat perlu kepada seorang hamba Allah. Kerana dengan sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang reda terhadap qadak dan qadar Allah Subhanahu Wataala, bahkan ia boleh mengelakkan diri kita dari bersikap marah, kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi kesakitan yang dialami. Ketahuilah sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali 'Imran ayat 146 yang tafsirnya:

"Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".

Sebagai contoh kita renung dan ambil iktibar betapa tingginya kesabaran Nabi Ayub Alaihi Wasallam ketika menerima ujian dari Allah swt yang mana ditimpa sakit yang amat berat di mana kulit tubuhnya hancur dimakan oleh ulat-ulat. Sungguhpun demikian keadaannya, Nabi Ayub Alaihi Wasallam tetap sabar menerima segala ujian Allah itu, bahkan tetap tekun beribadat kepada Allah. Sedangkan sebelum itu pun Nabi Ayub Alaihi Wasallam telah menerima ujian dengan kematian semua anak-anaknya dan semua hartanya habis hangus terbakar.

Allah swt telah mengingatkan di dalam Al-Quran sebagaimana Firman-Nya dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 yang maksudnya:

"Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu".

Oleh itu jika kita menerima ujian seperti sakit, maka bersabarlah dan berdoa dan bermohonlah kepada Allah kerana kepada Allah sahajalah sebaik-baik tempat memohon pertolongan. Di samping berdoa dan memohon kepada Allah, kita juga seharusnya berikhtiar dan berusaha mengubati penyakit tersebut seperti berjumpa doktor. Dan bagi meringankan bebanan kesakitan yang ditanggung, kita bolehlah mengadu kepada keluarga dan sahabat tetapi bukan dengan perasaan marah dan rasa tidak puas hati dan kecewa seolah-olah tidak redha dengan qadak dan qadar Allah.

Perlu juga diingat bahawa apabila menghadapi kesengsaraan atau kesakitan yang amat sangat, janganlah mudah kecewa dan putus asa sehingga mahu mati cepat agar terlepas dari menanggung seksa dan kesakitan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyatakan dalam hadis Baginda yang maksudnya:

"Dari Anas bin Malik Radiallahuanhu, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sekali-kali kamu tidak boleh mengharapkan kedatangan mati kerana sesuatu kesukaran yang menimpa. Dan jika terpaksa mengharapkan kematian, maka hendaklah ia berkata : Ya Tuhanku, berikanlah aku kehidupan jika ia lebih baik bagiku dan wafatkanlah aku jika ia lebih baik bagiku".

(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Sesungguhnya sakit yang ditimpakan ke atas kita bukanlah bertujuan untuk menyusahkan kita tetapi disebaliknya mempunyai hikmah yang tersirat, ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak satu musibah pun yang menimpa diri seorang Muslim, sama ada yang berupa kesusahan dan penderitaan, kesedihan dan kedukaan ataupun penyakit, bahkan kerana sepotong duri yang mencucuk kakinya (anggotanya), melainkan dihapuskan oleh Allah dengan itu sebahagian dari kesalahannya".

(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Kita perlu akur bahawa sebagai manusia, kita sememangnya pelupa dan mudah lupa diri terutama di kala senang dan mewah, tetapi sebaliknya mudah ingat Allah Subhanahu Wataala, saudara mara, sahabat dan kawan-kawan apabila berada dalam kesusahan, penderitaan dan kesakitan. Oleh yang demikian semasa sakit, kita digalakkan supaya bertaubat, membanyakkan berzikir, berdoa dan beristighfar meminta ampun kepada Allah Subhanahu Wataala atas apa yang telah berlaku dari kesilapan dan kelalaian yang telah dilakukan. Selain itu kita juga digalakkan untuk mengingati mati, sentiasa berbaik sangka kepada Allah dan sentiasa mengerjakan sembahyang lima waktu walaupun ketika sakit selagi tiada uzur syarie.

Manakala apabila kita sakit, kita hendaklah berikhtiar untuk berubat asalkan bukan dari benda-benda haram kerana setiap penyakit itu ada ubatnya. Perkara ini ada dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang maksudnya:

"Dari Tariq bin Syuwaidi Al-Jukfiee, bahawasanya ia bertanya kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tentang khamar. Lalu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarangnya atau Baginda benci membuatnya (khamar itu). Maka berkata Tariq : Aku membuat khamar itu semata-mata untuk ubat. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab : Sesungguhnya itu bukan ubat, tetapi adalah penyakit".

(Riwayat Al-Imam Muslim).

Sebagai hamba Allah yang beriman, kita hendaklah bersabar dan tabah menghadapi ujian yang menimpa ke atas kita kerana semua itu adalah kuasa dan qadak dan qadar Allah Subhanahu Wataala sebagai peringatan kepada hamba-hamba-Nya supaya tidak terus lalai dan leka dalam kesenangan dan kemewahan hidup di dunia. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa bersama kita sebagaimana yang dijanjikan Allah untuk sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayah serta memberikan perlindungan kepada kita semoga selamat di dunia dan di akhirat, Amin Yarabbal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 177 yang tafsirnya:

"Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan fi sabilillah. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa".


No comments:

Post a Comment