SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

NUZUL AL-QURAN DAN LAILATUL QADAR


Alhamdulillah, kita telah pun berada dipertengahan bulan Ramadhan iaitu bulan yang penuh keberkatan dan rahmat, bulan bagi kita melipatgandakan usaha dan amal ibadat yang berkebajikan.

Di dalam bulan Ramadhan ini telah berlaku banyak peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah, antara peristiwa itu ialah kitab Suci Al-Quran diturunkan yang disebut dengan nama Nuzul Al-Quran. Turunnya kitab suci Al-Quran ini telah membawa cahaya perubahan kepada kehidupan manusia, dimana kehidupan Jahiliah dan sesat berubah kepada kehidupan beriman dan mulia. Itulah dia keagungan Al-Quran, Mukjizat terbesar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjadi panduan umat Islam sehingga hari ini dan seterusnya.

Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa Al-Quran itu mengandungi pelbagai aspek pengajaran, panduan dan pedoman bagi kehidupan manusia sejagat sama ada dari sudut akidah, syariah dan sebagainya. Di dalamnya juga banyak cerita-cerita mengenai berita gembira dan peringatan (Basyir Wanazir), sama ada berupa nikmat mahupun azab seksa bagi yang ingkar perintah Allah Subhanahu Wataala dan Rasulnya.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ma'idah ayat 15-16 yang tafsirnya :

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab Al-Quran yang jelas nyata keterangannya, dengan Al-Quran itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan dengan-Nya tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinnya dan dengan-Nya juga tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus".

Islam menggalakkan umatnya supaya melazimkan diri membaca Al-Quran, kerana membaca Al-Quran adalah amalan yang sangat mulia, lebih-lebih lagi di dalam bulan yang mulia ini. Dengan amalan yang demikian ini, akan menambahkan lagi ganjaran dan rahmat Allah Subhanahu Wataala serta mendapat syafaat (pertolongan) pada hari akhirat kelak, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Muslim maksudnya :

“Dari Abu Amamah Al-Bahali berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Bacalah oleh kamu Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya”.

Membaca Al-Quran itu adalah merupakan zikrullah yang lebih afdal dan lebih utama daripada membaca zikir-zikir yang lain. Oleh sebab itulah, membaca Al-Quran itu merupakan salah satu ibadat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad yang bermaksud : Dari Abdullah bin Amru, sesungguhnya Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda : Bahawa puasa dan Al-Quran itu meminta syafaat kepada Allah Subhanahu Wataala untuk seseorang hambanya pada hari kiamat. Berkata puasa ya Allah, aku telah menahan daripada makan dan minum pada siang hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya. Dan berkata Al-Quran : Ya Allah, aku telah menahannya daripada tidur (kerana membaca Al-Quran) pada malam hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya, maka lalu Allah memberi syafaat kepadanya dengan sebab permohonan keduanya.

Jadikanlah amalan membaca Al-Quran suatu kelaziman, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala memberikan petunjuk, ilmu, rahmat dan juga berkat iaitu keberkatan yang berupa cahaya yang boleh menginsafkan, mengubati dan menjadi penawar kepada berbagai penyakit terutamanya penyakit hati.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Yunus ayat 57 yang tafsirnya :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hadiah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri, selain membaca Al-Quran, Baginda juga meningkatkan berbagai-bagai bentuk ibadat sunat yang lain, lebih-lebih lagi di sepuluh terakhir di bulan Ramadan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim maksudnya:

"Dari Aswad bin Yazid, berkata Aisyah radhiallahu anha : Adalah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersungguh-sungguh mengerjakan amal ibadat di sepuluh yang terakhir bulan Ramadhan, apa yang baginda tidak kerjakan di sepuluh terakhir (bulan-bulan) yang lain".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam meningkatkan amal ibadat Baginda di sepuluh terakhir bulan Ramadhan ini kerana hubung-kaitnya dengan satu malam iaitu Malam Lailatulqadar. Lailatulqadar adalah suatu malam yang paling utama yang terdapat di bulan Ramadhan dan ia adalah lebih baik dari seribu bulan.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bermaksud :

"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa mengerjakan ibadat di malam lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaan-Nya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu".

Untuk makluman para umat islam, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada malam-malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan itu, Baginda menghidupkannya dengan berjaga, melakukan berbagai-bagai amal ibadat melebihi daripada yang biasa Baginda lakukan di malam-malam yang lain. Di antara perkara-perkara yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di sepuluh terakhir bulan Ramadhan sebagai menyambut kedatangan malam lailatulqadar ialah dengan melakukan iktikaf. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud :

"Dari Ibnu Omar Radhiallahuanhuma : Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam beriktikaf di sepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan"

Sememangnya perkara-perkara tersebut hukumnya hanyalah sunat, tetapi kita janganlah lupa bahawa amal ibadat yang sunat itulah yang dapat menampung kekurangan yang terdapat di dalam amal ibadat yang fardhu. Sebagaimana maksud hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi yang mafhumnya :

"Jika terdapat sesuatu kekurangan daripada sembahyang fardhunya, Allah Azzawajala berfirman kepada para Malaikat : Kamu lihatlah, adakah bagi hambaku itu melakukan daripada sembahyang sunat untuk disempurnakan dengannya apa yang kurang daripada sembahyang fardhu, kemudian demikian juga berlaku kepada semua amalan fardu yang lain".

Oleh itu jadikanlah membaca Al-Quran itu sebagai amalan harian, dan rebutlah peluang yang diberikan Allah Subhanahu Wataala kepada kita dengan meningkatkan amal ibadat terutama sekali di sepuluh terakhir di bulan Ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun. Mudah-mudahan rahmat Allah Subhanahu Wataala akan sentiasa turun kepada kita, dan kita ditemukan dengan malam yang penuh dengan keberkatan iaitu Malam lailatulqadar, Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya :

"Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalan-Nya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut, sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar".

KESELAMATAN JALAN RAYA


Tidak lama lagi kita akan berada dalam suasana bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mengadakan 'rumah terbuka' dan berkunjung ke rumah-rumah saudara dan sahabat handai tidak kira dekat ataupun jauh. Dalam amalan ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjungi ini sudah tentunya akan menggunakan kenderaan yang mana masa lebih banyak dihabiskan di jalan raya untuk sampai ke tempat yang ditujui.

Dalam hal ini sama-samalah kita memohon kepada Allah Subhanahu Wataala supaya kita dilindungi dari marabahaya, di samping berdoa dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala, kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada ketika memandu dan memastikan kereta yang hendak dipandu selamat untuk digunakan dan biasakanlah diri mematuhi undang-undang jalan raya. Maka kerana itu agama Islam mengajarkan kita supaya sebelum keluar rumah hendaklah membaca Surah Al-Faatihah, Ayat Surah Al-Quraisy dan doa ketika keluar rumah iaitu yang maksudnya:

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan daya upaya dan kekuatan Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan sesat atau disesatkan atau daripada binasa atau dibinasakan atau daripada zalim atau dizalimi atau daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan".

Manakala ketika menaiki kenderaan pula amalkan membaca doa yang bermaksud:

"Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah tempat kami akan kembali".

Di negara kita, beberapa usaha telah dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengingatkan pemandu-pemandu supaya berhati-hati, dan sentiasa mengingati Allah dan memohon perlindungan ketika memandu seperti memasang papan-papan tanda yang bertulis kalimah 'Allahuakbar' dan 'Subhanallah' di jalan-jalan terutama di jalan dan kawasan yang mudah berlaku kemalangan yang mengakibatkan kematian dan kecederaan parah.

Papan-papan tanda seperti ini merupakan satu usaha yang berkebajikan yang perlu diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan yang lain sebagai ingatan kepada pemandu-pemandu agar sentiasa berzikir (mengingati Allah) serta berwaspada ketika memandu. Sikap ingat-mengingati dan nasihat-menasihati adalah dituntut oleh Islam. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah An-Nisaa' ayat 103, di mana kita diperintah supaya berzikir dalam semua keadaan dan tempat. Firman-Nya yang bermaksud:

"Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring".

Di samping melakukan usaha-usaha yang berkebajikan ini perlu juga diingat supaya papan-papan yang bertulis dengan kalimah yang suci ini dipelihara dan dijaga, jangan sampai tercemar dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kehormatannya. Bagi memenuhi kebaikannya, berkatnya dan mengelakkan daripada sebarang kesilapan sebutan atau bacaan, kalimah-kalimah suci itu eloklah ditulis dengan jelas, besar dengan barisnya sekali.

Memandangkan bilangan kemalangan yang meningkat dari tahun ke setahun, berbagai-bagai usaha telah dibuat oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Antaranya dengan mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan bagi memastikan tiada berlaku sebarang pengubahsuaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang, mengingatkan para pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya melalui kempen-kempen, iklan-iklan dan sebagainya.

Bercakap mengenai keselamatan jalan raya ini ingin kita mengingatkan kepada pengguna jalan raya terutamanya pusing keliling tiga lorong supaya menggunakannya dengan teratur dan memilih lorong yang betul, kerana penggunaan lorong yang salah akan mendatangkan bahaya kepada diri kita sendiri dan juga melibatkan orang lain. Jika sekiranya tidak memahaminya eloklah dirujuk kepada pihak berkenaan dan belajarlah melalui iklan yang sering disiarkan di media massa.

Di samping itu juga hendaklah selalu beringat-ingat dan berwaspada supaya tidak memandu melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa lebih-lebih lagi apabila membawa keluarga bersama. Apa yang kita harapkan jangan sampai suasana kegembiraan kita di Hari Raya yang mulia ini di mana kita semua bergembira meraikannya dengan kunjung-mengunjungi akan bertukar menjadi tragedi menyedihkan apabila terlibat dengan kemalangan jalan raya. Oleh yang demikian, amalkanlah sifat hormat-menghormati dan bertolak ansur di jalan raya. Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua dihindarkan dari perkara-perkara yang tidak diingini dan sentiasa berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan".

AMAL MA’RUF NAHI MUNGKAR


Allah Subhanahu Wataala memerintahkan hamba-Nya supaya menyeru ke arah kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran. Tugas ini adalah amanah dari Allah Subhanahu Wataala yang mesti dipikul dan dilaksanakan oleh umat Islam yang menjadi khalifah di muka bumi ini. Allah Subhanahu Wataala memberi pujian sebaik-baik umat di muka bumi kepada mereka yang berbuat demikian sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 110 yang tafsirannya:

"Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, buruk dan keji serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman."

Menyeru berbuat kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran adalah tugas yang sangat mulia dan penting bagi kaum Muslimin kerana perbuatan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah perintah Allah Subhanahu Wataala yang semestinya dilaksanakan oleh umat Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam ayat 110 Surah Ali 'Imran yang telah dibacakan tadi.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abi Saied Al-Bukhari Radiallahuanhu ia berkata: Saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya dan jika ia tidak berkuasa maka dengan lidahnya dan jika ia tidak berkuasa, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."

(Riwayat Muslim).


Kita sekarang hidup di zaman moden, zaman yang penuh cabaran di mana setiap orang lebih banyak menumpukan kepada masalah duniawi daripada akhirat sehingga kadang-kadang tidak menyedari atau pura-pura tidak menyedari bahawa apa yang dilakukan adalah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan berdosa. Keadaan inilah sepatutnya yang menjadi pendorong kepada kita iaitu umat Islam supaya giat melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar, menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Sebagai contoh, jika seorang suami atau bapa mendapati anak-anak dan isteri memakai pakaian yang tidak menutup aurat, suami atau bapa wajib menasihati, menegur dan menyuruh mereka untuk menutup aurat kerana membiarkannya bererti redha akan kemungkaran tersebut berlaku dalam keluarganya.

Islam mementingkan kemaslahatan umatnya, menjaga keharmonian dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat dan yang paling utama ialah untuk menjaga akidah umatnya supaya sentiasa berada di landasan yang betul mengikut ajaran Islam. Itulah yang sepatutnya kita lakukan jika kita mahu diri kita, keluarga kita, negara kita dan agama kita selamat dan dilindungi Allah Subhanahu Wataala.

Menurut Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihyaau' Ulumit Dinn, adalah wajib bagi orang Islam melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar. Pertamanya kepada diri sendiri dengan membiasakan melakukan pekerjaan yang wajib dan meninggalkan yang haram. Setelah itu perintahkan pula keluarga berbuat demikian, setelah itu saudara sendiri juga hendaklah diajak melakukannya, kemudian seluruh penduduk kampung dan daerah, seterusnya seluruh masyarakat.

Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 104 yang tafsirannya:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Tugas menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi sememangnya berat dan memerlukan kepada hikmah, perlu kepada sifat sabar dan tahan diri menerima cemuhan dan cacian. Inilah perjalanan para Nabi, para Rasul, para wali, para salihin, orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berjiwa Islam yang mahu menegakkan kebenaran di muka bumi ini.
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Luqman ayat 17 yang tafsirannya:

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya."

Oleh itu wahai wahai umat islam, jadikanlah kuasa itu tanggungjawab yang diamanahkan sebagai landasan bagi menegakkan agama Islam, bukan melanggar perintah Allah Subhanahu Wataala sehingga melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama Islam seperti menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Jangan disebabkan pangkat dan kuasa kita lupa akhirat, lupa dosa, sedangkan akhirat tempat yang kita tuju dan kekal abadi.

Ketahuilah bahawa mengabaikan dan meremehkan ajaran agama Islam itu akan mengundang kepada kesusahan, bahkan akan menghancurkan umat Islam sendiri. Ini jelas sebagaimana yang berlaku terhadap umat-umat yang terdahulu yang ingkar perintah Allah Subhanahu Wataala di mana Allah menurunkan azab, malapetaka dan bencana ke atas mereka.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 165 yang tafsirannya:

"Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka)."

PAKAIAN KE MASJID


Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Hari yang mempunyai banyak kelebihan dan kebesaran yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala. Pada hari Jumaat Allah Subhanahu Wataala telah menjadikan Nabi Adam Alaihissalam iaitu bapa segala manusia. Hari Jumaat juga adalah hari pengampunan daripada Allah Subhanahu Wataala kepada umat Islam, baik yang masih hidup mahupun telah meninggal dunia. Pada hari itu juga terdapat satu saat di mana segala doa dan permohonan kepada Allah Subhanahu Wataala akan dimakbulkan kecuali perkara-perkara haram dan maksiat dan pada hari Jumaat jugalah akan berlakunya Hari Kiamat sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abi Lubabah bin Abdil Mundzir ia berkata, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanahu Wataala iaitu hari yang lebih besar daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitrah, pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari dijadikan Adam Alaihissalam dan Baginda diturunkan ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam Alaihissalam dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dimakbulkan kecuali doa-doa yang haram dan maksiat dan pada hari Jumaat juga akan terjadinya Hari Kiamat."

(Riwayat Ibnu Majah).

Pada hari Jumaat juga diwajibkan Sembahyang Fardhu Jumaat yang hukumnya fardu ain dan diwajibkan ke atas setiap lelaki yang memenuhi syarat-syaratnya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 9 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan Sembahyang Jumaat dan tinggalkanlah berjual beli pada saat itu, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya."

Seseorang yang berwuduk pada hari Jumaat lalu pergi ke masjid untuk bersembahyang Jumaat akan memperolehi ganjaran yang besar di mana setiap langkah menuju ke masjid itu akan dikira sebagai penghapus dosa-dosanya dan meningkatkan darjatnya. Para Malaikat juga sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat bagi orang-orang yang sedemikian.

Dalam kita mengerjakan ibadat untuk mendapatkan pahala dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala, elok juga kita berhati-hati dan mengetahui perkara-perkara yang disuruh dan dilarang sebelum mengerjakan sesuatu ibadat baik perkara wajib ataupun sunat supaya perlaksanaannya sempurna dan mengikut hukum yang ditetapkan dan dapat menambah lagi pahala yang akan diperolehi. Contohnya pada hari Jumaat, sebelum pergi ke masjid, kita disunatkan mandi, membersihkan badan dan memakai pakaian yang bersih dan kemas sesuai dengan agama Islam yang diasaskan atas kebersihan sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Daripada Abdullah bin Omar Radiallahuanhuma, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Jika seseorang daripada kamu hendak pergi bersembahyang Jumaat, maka sunatlah ia mandi."

(Riwayat Al-Bukhari).

Untuk pengetahuan para umat islam, bahawa waktu yang lebih utama mandi itu ialah ketika hendak berangkat ke masjid kerana tujuannya ialah untuk menghilangkan bau busuk yang melekat di badan. Di samping kebersihan badan, pakaian juga perlu bersih dan suci. Pakaian sebaik-baiknya berwarna putih dan disunatkan pula memakai wangi-wangian. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang maksudnya:

"Dari Ibnu Abbas Radiallahuanhuma ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sebaik-baik pakaian kamu itu adalah berwarna putih, maka kapanlah mayat kamu dengan warna tersebut."

(Riwayat Ibnu Majah).

Perlu diingat bahawa Islam itu nasihat, maka perlu rasanya kita ingat-beringat sesama kita umat Islam.Oleh itu dalam hal berpakaian untuk pergi berjemaah ke masjid janganlah ada di antara para jemaah yang berpakaian tidak sempurna dan tidak bersih, sehinggalah menyebabkan jemaah lain merasa gelisah, terganggu dan tidak khusyuk mengerjakan sembahyang. Umpamanya memakai baju yang mempunyai corak atau gambar-gambar yang tidak sesuai seperti iklan-iklan dan memakai pakaian yang kurang menyenangkan kepada jemaah yang lain dan sebagainya. Perbuatan ini sudah tentunya tidak elok dan tidak sesuai apabila kita berada di Rumah Allah dan untuk menghadap Allah Subhanahu Wataala. Sedangkan apabila berhari raya, pergi ke majlis perkahwinan dan majlis-majlis lain, kita pandai menyesuaikan diri dengan memakai pakaian yang begitu indah, kemas dan bersih. Contohnya saja apabila kita ke majlis perkahwinan dan majlis-majlis keagamaan, tentunya kita orang Melayu akan memakai baju 'cara Melayu' yang lengkap yang begitu manis dipandang mata, apatah lagi dengan memakai bau-bauan dan harum-haruman.

Walau bagaimanapun memakai pakaian yang lengkap ini bukanlah sebagai syarat sah atau tidaknya sembahyang, tetapi perlu diingat masalah pakaian juga ada hubungannya dengan agama dan melambangkan identiti bangsa dan negara yang boleh mencerminkan keperibadian dan maruah seseorang. Oleh sebab itulah dalam keadaan tertentu pakaian ditetapkan, misalannya semasa mengerjakan haji dan umrah. Begitu juga majlis yang beradat istiadat dan juga majlis-majlis lain di mana pada ketika itu diminta memakai 'cara Melayu' dan berpakaian kemas sesuai dengan majlis yang kita hadiri dan kita tidak akan sanggup memakai pakaian yang tidak senonoh, kerana jika kita memakai selain daripada pakaian 'cara Melayu' kita merasa malu dan merasa terasing dari orang lain. Begitulah halnya dan lebih utama lagi jika kita berjemaah menunaikan Sembahyang Jumaat di masjid, kita digalakkan berpakaian indah dan bersih kerana kita akan berhadapan dengan Allah Azzawajalla, adalah tidak munasabah sewaktu berhadapan dengan Allah, kita memakai pakaian yang tidak sempurna sekadar untuk menutup aurat sahaja. Ingatlah juga bahawa hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan hari yang terbesar di sisi Allah Subhanahu Wataala. Maka adalah wajar sebagai tanda kita menghormati keadaan waktu kita berhadapan dengan Allah pada hari yang besar itu kita hendaklah dalam keadaan sempurna dengan pakaian yang elok dan tertib dengan memakai lengkap. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala suka kepada yang cantik, maka elokkan dan cantikkanlah diri kita jika kita mahu disukai Allah Subhanahu Wataala.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abdullah bin Masu'ut Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka kepada kecantikan."

(Riwayat Muslim).

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 31 yang tafsirannya:

"Wahai anak-anak Adam pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat atau mengerjakan sembahyang, dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas."