MARILAH kita meningkatkan
ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan
keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta
selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Firman Allah Subhanahu Wataala
dalam Surah Ali 'Imran ayat 19 yang tafsirannya:
"Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah ialah Islam".
"Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah ialah Islam".
Agama Islam adalah agama yang
memimpin umatnya ke jalan kebenaran, kebaikan dan menunjukkan jalan selamat,
menyelamatkan daripada kehidupan yang gelap- gelita kepada cahaya kebenaran.
Kebenaran Islam tidak boleh dipertikai, bahkan Islam itu sesuai menjadi
pegangan pada bila-bila masa dari dahulu hingga sekarang dan akan datang. Oleh
itu, kita amat bersyukur kerana agama yang menjadi pegangan kita ialah agama
Islam dan menjadi agama rasmi bagi Negara kita. Adalah menjadi kerugian besar
kepada sesiapa yang menolak Islam sebagai agamanya sebagaimana firman Allah
Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 85 yang tafsirannya:
"Dan
sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima
daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi".
Ini jelas menunjukkan bahawa
Islam itu adalah agama yang sempurna, agama yang diredai dan merupakan
sebesar-besar nikmat dari Allah Subhanahu Wataala. Firman Allah Subhanahu
Wataala dalam Surah Al Maa-idah ayat 3 yang bermaksud:
"Pada hari
ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan
nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk
kamu."
Walaupun telah jelas terbukti
bahawa agama Islam itu adalah agama yang benar dan lurus dan disampaikan kepada
umat manusia, namun masih ada juga golongan manusia yang ingkar dan tidak
senang dengan kewujudan Islam, bahkan merasakannya seperti duri dalam daging
yang sepatutnya dihapuskan. Inilah dia niat musuh-musuh Allah, Rasul dan agama
Islam, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat
120 yang maksudnya:
"Orang-orang
Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu wahai
Muhammad sehingga engkau menurut agama mereka yang telah terpesong itu.
Katakanlah kepada mereka: Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah
petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa
nafsu mereka sesudah datangnya wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu tentang
kebenaran, maka tiadalah engkau akan perolehi dari Allah sesuatu pun yang dapat
mengawal dan memberi pertolongan kepadamu."
Oleh itu berhati-hati dan
berwaspadalah, jangan sampai kita kalah dan tunduk kepada pengaruh musuh-musuh
Islam, apatah lagi untuk menukar agama Islam kepada agama lain yang tidak
diredai Allah Subhanahu Wataala.
Perlu disedari bahawa musuh
Islam tidak kenal jemu untuk menghapuskan agama Islam dan umatnya dari muka
bumi ini, mereka menggunakan banyak taktik, antaranya mereka akan mendampingi
orang dalam kesusahan, seperti tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai
tempat tinggal, di mana mereka akan membantu mereka yang dalam kesusahan itu
dengan memberi sara hidup, pekerjaan, tempat tinggal, pendidikan dan
bermacam-macam lagi. Dalam keadaan manis inilah berlakunya udang di sebalik
batu di mana mereka akan memulakan gerakan dakwah mereka dengan memberikan
risalah-risalah, kitab-kitab, kaset dan cd yang berunsur dakwah agama mereka,
setelah itu, akan mengajak melakukan sembahyang cara mereka dan akan diberi
minum sejenis air hitam yang boleh menyebabkan lidah menjadi hitam dan tidak
dapat mengucap dua kalimah syahadah dan tidak dapat mendengar azan. Apa yang
anehnya air hitam itu hanya khusus untuk diberi minum kepada orang-orang Islam
sahaja.
Berdasarkan pengakuan mereka yang
pernah terpedaya dan keluar daripada agama Islam, adalah kebanyakannya berpunca
daripada desakan hidup, kurang pengetahuan agama dan lemah iman, di sinilah
bahayanya jika tiada didikan agama. Dalam hal ini kita hendaklah sentiasa
berwaspada dan para ibu bapa hendaklah memainkan peranan mereka sebagai orang
yang dipertanggungjawabkan memelihara dan menjaga anak mereka supaya memberi
didikan yang sempurna untuk dunia dan akhirat. Mengabaikan mereka bererti akan
merosakkan masa hadapan mereka.
Sesungguhnya Muslim yang sejati
dan hakiki tidak akan menggadai agamanya, tetapi sebaliknya rela berkorban apa
sahaja demi mempertahankan kesucian agama Islam dari dicemari dan dipersendakan
walaupun menghadapi apa jua rintangan dan halangan dari pihak musuh. Firman Allah
Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 83 yang tafsiranya:
"Patutkah
sesudah mengakui dan menerima perjanjian itu, mereka mencari lain dari agama
Allah? Pada hal kepada-Nya tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan
di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa dan kepada-Nyalah mereka
dikembalikan."
Peganglah agama Islam itu dengan
penuh yakin kerana agama Islam itulah agama yang benar, dan Allah Subhanahu
Wataala tidak akan menerima agama lain selain agama Islam. Dan kerjakanlah
segala perintah Allah Subhanahu Wataala, kerana melalaikannya bererti
mendedahkan diri kepada kebinasaan dan seksaan Allah Subhanahu Wataala. Marilah
kita menguatkan keimanan kita dan mengukuhkan perpaduan umat Islam, jangan
mudah terpedaya dengan kemewahan dan kesenangan dunia sehingga sanggup
menggadai agama sendiri demi mencapai maksud peribadi. Nau'zubillahi Minzalik.
Firman Allah Subhanahu Wataala
dalam Surah Al-Baqarah ayat 127 yang tafsirannya:
"Dan
mereka orang-orang kafir itu sentiasa memerangi kamu hingga mereka mahu
memalingkan kamu dari agama kamu. Kalau mereka sanggup melakukan yang demikian
dan sesiapa di antara kamu yang murtad berpaling tadah dari agamanya (agama
Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak
binasalah amal usahanya yang baik di dunia dan di akhirat dan mereka itulah
ahli Neraka, kekal mereka di dalamnya selama-lamanya."
No comments:
Post a Comment