Pages

ZAKAT FITRAH


Agama Islam adalah agama yang lengkap dan mencakupi semua aspek kehidupan umat Islam. Di antara fokus utama dalam agama Islam ialah mewujudkan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan hidup dalam masyarakat. Bagi mencapai matlamat tersebut, agama Islam telah menyediakan strategi yang begitu teratur iaitu mewajibkan zakat kepada umatnya dengan mengeluarkan sebahagian harta atau bahan makanan yang utama menurut ketentuan dan ukuran yang ditentukan oleh hukum syarak.

Zakat adalah salah satu Rukun Islam yang wajib ditunaikan bagi mereka yang mencukupi syarat-syaratnya dan adalah berdosa jika tidak menunaikannya. Manakala barangsiapa yang ingkar akan ketetapan hukum mengeluarkan zakat itu boleh menyebabkannya terkeluar daripada agama Islam (murtad).

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 103 yang tafsirnya :

"Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka dari dosa dan menyucikan mereka dari akhlak yang buruk".

Mengikut kitab fiqh bahawa zakat itu terbahagi kepada dua bahagian, pertama zakat harta, kedua zakat fitrah. Zakat harta ialah nama bagi harta yang tertentu menurut syarat-syarat yang ditentukan dan diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya.

Zakat fitrah pula ialah mengeluarkan sebahagian dari makanan yang utama (asasi) menurut ukuran yang ditentukan oleh syarak, setiap akhir bulan Ramadan pada setiap tahun. Walau bagaimanapun tidaklah menjadi kesalahan jika zakat fitrah itu dikeluarkan dari awal bulan Ramadan.

Zakat fitrah wajib ke atas setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda, hamba atau merdeka. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Ibnu Umar Radiallahuanhuma dia berkata : Telah mewajibkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam zakat fitrah satu cupak dari tamar atau satu cupak dari syair (sejenis gandum) ke atas hamba sahya dan orang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang tua dari segenap orang Islam".

(Riwayat Al-Imam Bukhari).

Dalam kesempatan ini, elok juga diterangkan mengenai pemberian zakat fitrah bagi penuntut-penuntut yang belajar di luar negeri, anak luar nikah dan pembantu rumah. Pemberian zakat fitrah bagi penuntut-penuntut yang belajar di luar negeri, hendaklah dikeluarkan oleh penuntut itu sendiri di mana dia berada, bukan dikeluarkan oleh ibu bapanya. Ini adalah disebabkan mereka boleh menanggung dirinya sendiri iaitu dengan elaun yang diterimanya daripada kerajaan atau lain-lain agensi atau melalui peruntukan kewangan daripada ibu bapa mereka. Perlu juga diingat bahawa memindahkan zakat ke tempat lain adalah tidak diharuskan melainkan dengan syarat-syarat yang tertentu.

Zakat fitrah bagi anak luar nikah pula adalah wajib dikeluarkan oleh ibunya kerana nafkah anak berkenaan adalah di bawah tanggungan ibunya. Sementara pembantu rumah pula, zakat fitrah adalah wajib ke atas diri mereka kerana mereka mempunyai pekerjaan dan pendapatan setiap bulan yang boleh menanggung diri mereka.

Zakat fitrah diwajibkan mempunyai banyak rahsia dan hikmah, di antaranya untuk menambal kekurangan-kekurangan atau kecacatan yang tidak diketahui atau tidak sengaja semasa melakukan ibadat puasa seperti melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam, misalnya terlanjur mengeluarkan kata-kata yang keji, memaki orang dan sebagainya.

Inilah salah satu rahsia kenapa agama Islam memerintahkan umatnya supaya mengeluarkan zakat fitrah iaitu bagi menyucikan jiwa orang yang berpuasa dan membaiki kekurangan-kekurangan yang dilakukan semasa berpuasa.

Dari sudut kemasyarakatan pula, zakat fitrah boleh menimbulkan sifat bantu-membantu, tolong-menolong, melahirkan rasa kasih sayang, kegembiraan dan keharmonian di dalam masyarakat, khususnya terhadap fakir miskin dan orang yang berhajat padanya, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Ibni Abas Radiallahuanhuma, dia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang keji dan untuk memberi makan golongan yang miskin".

(Riwayat Abu Daud).

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Hari Raya adalah hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat Islam. Tetapi adakah kegembiraan tersebut dapat dirasai oleh orang-orang miskin sedangkan mereka tidak mempunyai makanan yang cukup apatah lagi yang lazat-lazat dan tidak mempunyai pakaian yang cantik-cantik. Maka dengan adanya zakat fitrah yang mereka terima itu sedikit sebanyak akan meringankan beban mereka dan sekurang-kurangnya akan memenuhi hajat yang diperlukan. Mudah-mudahan mereka juga akan sama-sama merasakan kenikmatan dan kebahagiaan berhari raya itu.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 60 yang tafsirnya:

"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanannya. Ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan yang datang dari Allah. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".

No comments:

Post a Comment