Pages

PERNIAGAAN DALAM ISLAM


Agama Islam adalah agama yang cukup lengkap yang menyuruh umatnya supaya beramal, berusaha dan bekerja untuk sara hidup sama ada untuk kepentingan dunia ataupun akhirat. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Qashash ayat 77 yang tafsirnya:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebaikan Hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia".

Salah satu usaha terpuji yang sangat digalak-kan oleh Islam ialah berniaga, kerana ia sangat menguntungkan serta memberi kemuliaan di dunia dan di akhirat. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menjelaskan mengenai kelebihan yang diperolehi oleh ahli-ahli perniagaan yang antaranya mereka itu boleh duduk dalam satu peringkat di Hari Akhirat dengan Nabi-nabi, para siddiqin dan para pejuang Islam yang mati syahid sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abi Syaid Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Peniaga yang benar lagi amanah itu tempatnya bersama Nabi-nabi, para siddiqin dan pejuang agama yang mati syahid".

(Riwayat At-Tarmizi).


Perlu diingat dalam usaha mengumpul kekayaan itu jangan sampai pula melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu, para peniaga yang ingin mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wataala dan ingin selamat dari api Neraka, perlulah mempelajari dan mengetahui hukum-hakam jual beli dalam Islam. Langkah ini adalah wajib tidak boleh diabaikan oleh setiap peniaga Islam kerana dengan mengetahui hukum- hakam perniagaan sahajalah yang akan dapat menghindarkan daripada berlakunya jual beli yang tidak betul dan tidak sah mengikut hukum Islam.

Para peniaga hendaklah memastikan barang-barang yang diniagakan itu halal, bukan yang haram seperti arak sekalipun pembelinya bukan orang Islam kerana setiap orang yang terlibat dalam urusan arak akan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu Wataala termasuk tukang perah, pembawanya atau penghantarnya, tukang petik buah untuk dijadikan arak, penjual dan yang menerima hasil jualannya. Para peniaga juga hendaklah memastikan barang-barang yang diniagakan itu dari sumber dan cara yang halal, bukan dengan cara yang haram seperti barang curian, barang seludupan, barang dari hasil penipuan dan sebagainya.

Marilah kita sama-sama beringat, jauhilah dan janganlah sekali-kali berjual beli secara riba, kerana riba itu suatu dosa besar dan bahayanya juga amat besar. Pengharaman riba adalah semata-mata demi melindungi kepentingan manusia, baik dari segi moral, sosial mahupun perekonomian dan pengharamannya merangkumi segala bentuk, tidak kira sama ada banyak atau sedikit, berlipat ganda atau tidak. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 130 yang tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya".

Islam juga mengharamkan segala bentuk penipuan, baik dalam setiap urus niaga mahupun segala macam muamalah atau urusan sesama manusia, tetapi malangnya masih terdapat sesetengah orang di kalangan masyarakat kita yang sanggup menipu dan memperdaya orang lain demi mengaut keuntungan. Ada yang melakukan penipuan dengan cara mengabui mata pelanggan dengan meletakkan atau mencampurkan benda yang bagus, baik, segar dan baru dengan benda yang tidak baik dan kurang elok dan akan menjualnya kepada pelanggan tanpa mempedulikan baik ataupun tidak, kerana yang penting keuntungan.

Perkara ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Ia sudah berlaku sejak zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam lagi. Di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah berlaku kejadian di mana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah berjalan di hadapan seorang lelaki yang menjual makanan (biji-bijian), Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangan Baginda ke dalam tompokan makanan tersebut. Apabila didapati oleh Baginda makanan itu basah, lalu bertanyalah Baginda kepada lelaki tersebut: "Apa ini wahai tuan punya makanan?" Lelaki itu menjawab: "Basah terkena hujan". Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Mengapa kamu tidak letakkan yang basah itu di atas sehingga dapat dilihat oleh orang lain?" Baginda seterusnya bersabda yang maksudnya:

"Barangsiapa yang menipu maka bukanlah dia daripada golonganku".

(Riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Dari Hakim bin Hizam Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Dua orang sedang berjual beli boleh membuat pilihan selagi keduanya belum berpisah, jika keduanya berlaku jujur dan menjelaskan ciri-ciri dagangan mereka, maka akan diberkati dalam jual beli mereka. Dan jika keduanya berdusta dan menyembunyikan ciri-ciri dagangan mereka, maka akan dihapuskan berkat jual beli mereka itu".

(Hadis riwayat Al-Bukhari).


Dalam perniagaan , kita juga dilarang memonopoli barang-barang dagangan, iaitu dengan tujuan menahan atau mengumpul barang-barang dagangan untuk dijual dengan harga yang lebih mahal. Misalnya membeli pada waktu harga murah untuk dijual apabila harganya naik, ataupun didapati pada suatu masa bekalan makanan sedang banyak dan berlebih-lebihan, lalu disimpan atau disorok bekalan makanan tersebut dengan tujuan untuk dijual apabila harganya meningkat naik. Perbuatan memonopoli itu adalah haram hukumnya, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Ma'mur katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Barangsiapa memonopoli maka dia adalah bersalah".

(Riwayat Muslim).

Oleh yang demikian dalam usaha kita untuk mencari keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala, sifat jujur dan amanah dalam perniagaan adalah perlu ada pada diri peniaga. Peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan menaikkan harga barang semata-mata untuk mengaut keuntungan yang berlebihan apa lagi jika harga barang tersebut telah pun ditetapkan harganya oleh kerajaan. Menaikkan harga barang dengan kadar keuntungan yang tidak munasabah dan melanggar peraturan adalah suatu penganiayaan terhadap pengguna kerana perbuatan sedemikian akan memudaratkan dan akan menyebabkan kesempitan hidup kepada pengguna-pengguna, khasnya mereka yang berpendapatan rendah.

Marilah kita sama-sama mensyukuri rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada kita dan berusaha mencarinya semata-mata untuk mendapat keredaan Allah Subhanahu wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nuur ayat 37 yang tafsirnya:

"Ibadat itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan Hari Kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan".

No comments:

Post a Comment