Pages

NUZUL AL-QURAN DAN LAILATUL QADAR


Alhamdulillah, kita telah pun berada dipertengahan bulan Ramadhan iaitu bulan yang penuh keberkatan dan rahmat, bulan bagi kita melipatgandakan usaha dan amal ibadat yang berkebajikan.

Di dalam bulan Ramadhan ini telah berlaku banyak peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah, antara peristiwa itu ialah kitab Suci Al-Quran diturunkan yang disebut dengan nama Nuzul Al-Quran. Turunnya kitab suci Al-Quran ini telah membawa cahaya perubahan kepada kehidupan manusia, dimana kehidupan Jahiliah dan sesat berubah kepada kehidupan beriman dan mulia. Itulah dia keagungan Al-Quran, Mukjizat terbesar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjadi panduan umat Islam sehingga hari ini dan seterusnya.

Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa Al-Quran itu mengandungi pelbagai aspek pengajaran, panduan dan pedoman bagi kehidupan manusia sejagat sama ada dari sudut akidah, syariah dan sebagainya. Di dalamnya juga banyak cerita-cerita mengenai berita gembira dan peringatan (Basyir Wanazir), sama ada berupa nikmat mahupun azab seksa bagi yang ingkar perintah Allah Subhanahu Wataala dan Rasulnya.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ma'idah ayat 15-16 yang tafsirnya :

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab Al-Quran yang jelas nyata keterangannya, dengan Al-Quran itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan dengan-Nya tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinnya dan dengan-Nya juga tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus".

Islam menggalakkan umatnya supaya melazimkan diri membaca Al-Quran, kerana membaca Al-Quran adalah amalan yang sangat mulia, lebih-lebih lagi di dalam bulan yang mulia ini. Dengan amalan yang demikian ini, akan menambahkan lagi ganjaran dan rahmat Allah Subhanahu Wataala serta mendapat syafaat (pertolongan) pada hari akhirat kelak, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Muslim maksudnya :

“Dari Abu Amamah Al-Bahali berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Bacalah oleh kamu Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya”.

Membaca Al-Quran itu adalah merupakan zikrullah yang lebih afdal dan lebih utama daripada membaca zikir-zikir yang lain. Oleh sebab itulah, membaca Al-Quran itu merupakan salah satu ibadat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad yang bermaksud : Dari Abdullah bin Amru, sesungguhnya Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda : Bahawa puasa dan Al-Quran itu meminta syafaat kepada Allah Subhanahu Wataala untuk seseorang hambanya pada hari kiamat. Berkata puasa ya Allah, aku telah menahan daripada makan dan minum pada siang hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya. Dan berkata Al-Quran : Ya Allah, aku telah menahannya daripada tidur (kerana membaca Al-Quran) pada malam hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya, maka lalu Allah memberi syafaat kepadanya dengan sebab permohonan keduanya.

Jadikanlah amalan membaca Al-Quran suatu kelaziman, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala memberikan petunjuk, ilmu, rahmat dan juga berkat iaitu keberkatan yang berupa cahaya yang boleh menginsafkan, mengubati dan menjadi penawar kepada berbagai penyakit terutamanya penyakit hati.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Yunus ayat 57 yang tafsirnya :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hadiah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri, selain membaca Al-Quran, Baginda juga meningkatkan berbagai-bagai bentuk ibadat sunat yang lain, lebih-lebih lagi di sepuluh terakhir di bulan Ramadan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim maksudnya:

"Dari Aswad bin Yazid, berkata Aisyah radhiallahu anha : Adalah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersungguh-sungguh mengerjakan amal ibadat di sepuluh yang terakhir bulan Ramadhan, apa yang baginda tidak kerjakan di sepuluh terakhir (bulan-bulan) yang lain".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam meningkatkan amal ibadat Baginda di sepuluh terakhir bulan Ramadhan ini kerana hubung-kaitnya dengan satu malam iaitu Malam Lailatulqadar. Lailatulqadar adalah suatu malam yang paling utama yang terdapat di bulan Ramadhan dan ia adalah lebih baik dari seribu bulan.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bermaksud :

"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa mengerjakan ibadat di malam lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaan-Nya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu".

Untuk makluman para umat islam, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada malam-malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan itu, Baginda menghidupkannya dengan berjaga, melakukan berbagai-bagai amal ibadat melebihi daripada yang biasa Baginda lakukan di malam-malam yang lain. Di antara perkara-perkara yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di sepuluh terakhir bulan Ramadhan sebagai menyambut kedatangan malam lailatulqadar ialah dengan melakukan iktikaf. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud :

"Dari Ibnu Omar Radhiallahuanhuma : Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam beriktikaf di sepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan"

Sememangnya perkara-perkara tersebut hukumnya hanyalah sunat, tetapi kita janganlah lupa bahawa amal ibadat yang sunat itulah yang dapat menampung kekurangan yang terdapat di dalam amal ibadat yang fardhu. Sebagaimana maksud hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi yang mafhumnya :

"Jika terdapat sesuatu kekurangan daripada sembahyang fardhunya, Allah Azzawajala berfirman kepada para Malaikat : Kamu lihatlah, adakah bagi hambaku itu melakukan daripada sembahyang sunat untuk disempurnakan dengannya apa yang kurang daripada sembahyang fardhu, kemudian demikian juga berlaku kepada semua amalan fardu yang lain".

Oleh itu jadikanlah membaca Al-Quran itu sebagai amalan harian, dan rebutlah peluang yang diberikan Allah Subhanahu Wataala kepada kita dengan meningkatkan amal ibadat terutama sekali di sepuluh terakhir di bulan Ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun. Mudah-mudahan rahmat Allah Subhanahu Wataala akan sentiasa turun kepada kita, dan kita ditemukan dengan malam yang penuh dengan keberkatan iaitu Malam lailatulqadar, Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya :

"Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalan-Nya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut, sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar".

No comments:

Post a Comment