Pages

KESELAMATAN JALAN RAYA


Tidak lama lagi kita akan berada dalam suasana bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mengadakan 'rumah terbuka' dan berkunjung ke rumah-rumah saudara dan sahabat handai tidak kira dekat ataupun jauh. Dalam amalan ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjungi ini sudah tentunya akan menggunakan kenderaan yang mana masa lebih banyak dihabiskan di jalan raya untuk sampai ke tempat yang ditujui.

Dalam hal ini sama-samalah kita memohon kepada Allah Subhanahu Wataala supaya kita dilindungi dari marabahaya, di samping berdoa dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala, kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada ketika memandu dan memastikan kereta yang hendak dipandu selamat untuk digunakan dan biasakanlah diri mematuhi undang-undang jalan raya. Maka kerana itu agama Islam mengajarkan kita supaya sebelum keluar rumah hendaklah membaca Surah Al-Faatihah, Ayat Surah Al-Quraisy dan doa ketika keluar rumah iaitu yang maksudnya:

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan daya upaya dan kekuatan Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan sesat atau disesatkan atau daripada binasa atau dibinasakan atau daripada zalim atau dizalimi atau daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan".

Manakala ketika menaiki kenderaan pula amalkan membaca doa yang bermaksud:

"Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah tempat kami akan kembali".

Di negara kita, beberapa usaha telah dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengingatkan pemandu-pemandu supaya berhati-hati, dan sentiasa mengingati Allah dan memohon perlindungan ketika memandu seperti memasang papan-papan tanda yang bertulis kalimah 'Allahuakbar' dan 'Subhanallah' di jalan-jalan terutama di jalan dan kawasan yang mudah berlaku kemalangan yang mengakibatkan kematian dan kecederaan parah.

Papan-papan tanda seperti ini merupakan satu usaha yang berkebajikan yang perlu diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan yang lain sebagai ingatan kepada pemandu-pemandu agar sentiasa berzikir (mengingati Allah) serta berwaspada ketika memandu. Sikap ingat-mengingati dan nasihat-menasihati adalah dituntut oleh Islam. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah An-Nisaa' ayat 103, di mana kita diperintah supaya berzikir dalam semua keadaan dan tempat. Firman-Nya yang bermaksud:

"Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring".

Di samping melakukan usaha-usaha yang berkebajikan ini perlu juga diingat supaya papan-papan yang bertulis dengan kalimah yang suci ini dipelihara dan dijaga, jangan sampai tercemar dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kehormatannya. Bagi memenuhi kebaikannya, berkatnya dan mengelakkan daripada sebarang kesilapan sebutan atau bacaan, kalimah-kalimah suci itu eloklah ditulis dengan jelas, besar dengan barisnya sekali.

Memandangkan bilangan kemalangan yang meningkat dari tahun ke setahun, berbagai-bagai usaha telah dibuat oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Antaranya dengan mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan bagi memastikan tiada berlaku sebarang pengubahsuaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang, mengingatkan para pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya melalui kempen-kempen, iklan-iklan dan sebagainya.

Bercakap mengenai keselamatan jalan raya ini ingin kita mengingatkan kepada pengguna jalan raya terutamanya pusing keliling tiga lorong supaya menggunakannya dengan teratur dan memilih lorong yang betul, kerana penggunaan lorong yang salah akan mendatangkan bahaya kepada diri kita sendiri dan juga melibatkan orang lain. Jika sekiranya tidak memahaminya eloklah dirujuk kepada pihak berkenaan dan belajarlah melalui iklan yang sering disiarkan di media massa.

Di samping itu juga hendaklah selalu beringat-ingat dan berwaspada supaya tidak memandu melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa lebih-lebih lagi apabila membawa keluarga bersama. Apa yang kita harapkan jangan sampai suasana kegembiraan kita di Hari Raya yang mulia ini di mana kita semua bergembira meraikannya dengan kunjung-mengunjungi akan bertukar menjadi tragedi menyedihkan apabila terlibat dengan kemalangan jalan raya. Oleh yang demikian, amalkanlah sifat hormat-menghormati dan bertolak ansur di jalan raya. Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua dihindarkan dari perkara-perkara yang tidak diingini dan sentiasa berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan".

No comments:

Post a Comment