Kecintaan kepada Islam adalah wajib, sebagaimana mempertahankannya juga adalah wajib. Perlu difahami bahawa setiap langkah hendaklah berlandaskan mesej yang istiqamah. Bukan sahaja berjaya mempertahankan Islam dan memelihara iman yang ada dalam diri dan penganutnya, dalam masa yang sama berjaya menyampaikan dakwah kepada bukan Islam yang menjadi sasaran dakwah Islamiyyah.
Perlu diambil iktibar, mengapa generasi awal Islam yang menghukum dengan keras terhadap orang Islam yang murtad, dalam masa yang sama menarik orang lain masuk Islam beribu kali ganda tanpa paksaan. Ini kerana Islam mengharamkan paksaan terhadap penganut agama lain. Mengapa pula dizaman ini semakin ramai yang murtad sehingga membimbangkan dan diberitakan terlalu berkurangan orang yang berminat kepada Islam. Kalau ada sekalipun kelihatan berkeliaran menunjukkan lesen mengemis daripada Jabatan Agama. Sedangkan dizaman keemasan pemerintahan Islam, orang yang baru menganut Islam boleh memegang jawatan tinggi dalam negara dan ada yang menjadi ketua negara. Malah ada yang menjadi ulama dan ilmuan terbilang yang membina Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam).
Kini, Media Islam antarabangsa melaporkan perkembangan pesat Islam di Eropah, Amerika, Asia Tengah dan Afrika. Di England sahaja mereka yang baru masuk Islam mencecah setengah juta orang dalam masa terdekat yang kebanyakannya kalangan terpelajar. Tiba-tiba masyarakat Islam di-Malaysia dilanda taufan murtad.
Kesalahan Murtad dimasukkan dalam perundangan Islam, dalam bahagian hukum jenayah berat. Adapun pendekatannya ditujukan kepada penganut Islam sahaja, tanpa disasarkan kepada penganut agama lain yang berada dalam masyarakat majmuk bersama masyarakat Islam. Orang Islam sendiri yang disalahkan sekiranya berlaku murtad, sama ada individu yang murtad atau kerajaan yang lemah dengan pegangan Islamnya dan tidak adil terhadap rakyatnya kerana tidak beramal dengan hukum-hukum Islam dan akhlaknya yang mulia. Ada pun kalangan bukan Islam diajak berdialog secara ilmiah dan dibuktikan beramal dengan akhlak Islam dan hukumnya yang adil. Inilah nas Al Quran dan Hadith.
Para ulama sqidah dan Syariat menyatakan kepada umat Islam secara fardu Ain, bahawa batas-batas Iman dan Kufur, serta menegaskan takrif murtad apabila seseorang itu melakukan apa sahaja yang boleh membatalkan Iman dan Islamnya atau membatalkan dua kalimah Syahadah secara ilmu dan yakin tanpa paksaan. Murtad itu bukan sahaja menganut agama yang lain daripada Islam, tetapi murtad juga berlaku walaupun tidak menganut apa-apa agama, atau menganut sebahagian ajaran Islam sahaja, iaitu dengan tidak percaya kepada mana-mana ajaran Islam atau menghinanya, sama ada perkara rukun atau wajib dan sunat atau halal dan haram, atau harus. Murtad juga boleh berlaku dengan mempersenda-sendakannya secara ucapan, tulisan, kartun, lakonan drama dan sebagainya.
Adakah umat Islam hari ini diajar batas-batas Iman dan kufur dan perkara –perkara yang membatalkan dua kalimah syahadah? Atau sekadar mempelajari batal sembahayang puasa sahaja. Ini menunjukkan kejahilan boleh menempah murtad walau pun boleh dimaafkan kerana kejahilannya.
Rasulullah S.A.W. mengajar bangsa dan keluarganya batas sempadan diantara iman dan kufur, dan sempadan kasih kepada Islam, bangsa dan keluarga. Walaupun semuanya wajib dicintai. Tetapi aqidah Islam asas kepada selamatnya keluarga dan bangsa. Sehingga kaumnya menyedari bahawa selamatnya arab dengan Islam, bukan selamat Islam dengan arab, sehingga melahirkan bangsa arab yang berpegang dengan Islam yang tidak berlaku zalim terhadap kaum lain.
Seluruh kajian orientalis yang dicatatkan menegaskan terlalu sedikit mereka mencapai kejayaan memurtadkan orang Islam sepanjang zaman penjajah, hanya segelintir sahaja penganut Islam yang berjaya dimurtad meninggalkan agama Islam. Maka dirancang melalui serangan pemikiran untuk memurtadkan umat Islam daripada mana-mana ajaran Islam melalui pendidikan, media dan budaya nafsu yang melalaikan. Bukan melalui cara meninggalkan agama Islam dan masuk agama lain, tetapi melakukan kesalahan murtad dalam keadaan masih merasakan dirinya menganut Islam.
Apabila munculnya Kamal Atarturk yang dianggap bapa Turki Moden, dengan melaksanakan sekulerisme yang memisahkan politik daripada agama Islam saperti yang dimaktubkan dalam kitab Injil Mathew, tampil dengan gagah berani seorang tokoh besar Ulama Turki Shaikh Mustafa Sobri, yang pernah menjadi Shaikhul Islam kepada kerajaan Othmaniyyah. Beliau menegaskan dalam buku yang dikarangnya : “Bahawa teori sekulerisme yang memisahkan politik (urusan pemerintahan negara daripada agama Islam) adalah jalan pintas paling terdekat menuju kearah murtad. Fatwa ini dikuatkan oleh Al Marhum Mufti Arab Saudi Shaikh Abdul Aziz bin Baz dan Pengerusi Persatuan Ulama Antarabangsa Dr Yusuf Al Qardawi yang diberi tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia.
sumber : HD
No comments:
Post a Comment