Pages

KEUTAMAAN ZIKIR


Di dalam Al-Quran Allah Subhanahu Wataala berfirman bahawa Allah Subhanahu Wataala sentiasa mengingati hamba-hamba-Nya yang mengingati-Nya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 152 yang tafsirnya:
"Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat pula kepadamu dan bersyukur kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku".
Salah satu jalan untuk mengingati Allah Subhanahu Wataala itu ialah dengan berzikir. Kerana itulah umat Islam digalakkan memperbanyakkan berzikir kepada Allah Subhanahu Wataala jika mahu hampir kepada-Nya.
Zikir adalah amalan yang sangat mulia dan sangat dituntut serta disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya. Ianya merupakan rangkaian iman yang harus disempurnakan oleh semua umat Islam dalam keadaan khusyuk dan tawaduk.
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-'Araaf ayat 205 yang bermaksud:
"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut untuk melanggar perintah-Nya dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai".
Zikir ialah menyebut dan mengingat Allah seperti membaca tasbih 'Subhanallah' bertakbir 'Allahuakbar', membaca hauqalah 'Lahaula wala Quwata Illa Billah', membaca hasballah 'Hasbiallah', membaca basmallah 'Bismillahir Rahmanir Rahim', membaca Al-Quran Al-Karim dan membaca doa-doa yang maksur iaitu doa yang diterima dari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
"Dari Jabir bin Abdillah ia berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Zikir yang paling mulia ialah Lailahaillallah dan doa yang paling baik ialah Alhamdulillah".
(Riwayat Ibnu Majah).
Ketahuilah wahai kaum Muslimin dan muslimat bahawa amalan berzikir itu sangat banyak kelebihannya. Antaranya ia boleh menjauhkan diri kita dari bersikap lalai dan lupa kepada Allah Subhanahu Wataala, boleh meluruskan fikiran dan hati untuk terus mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, memberi ketenangan batin atau ketenteraman jiwa yakni sakinah. Zikir juga boleh menyebabkan pengamalan mendapat keampunan dari Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ahzab ayat 35 yang membawa maksud:
"Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar".
Di samping itu, zikir Lailahaillallah mempunyai banyak fadhilat dan kelebihannya, antaranya ialah :
Pertama : Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas".
(Riwayat Al-Bukhari).

Kedua : Mendapat jaminan masuk Syurga.
Dari Zaid bin Arqam Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
"Barangsiapa yang mengucapkan Lailahaillallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. Lalu ditanya kepada Baginda : Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram".
(Hadis riwayat At-Tabrani).
Ketiga : Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.
Dari Umar Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
"Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu Lailahaillallah".
(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim).
Keempat : Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain.
Dari Abi Abas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
"Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada dibawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah Lailahaillallah di sebelah yang lain, maka dacing kalimah (Lailahaillallah) itulah yang lebih berat".
(Hadis riwayat At-Tabrani).
Kelima : Merupakan anak kunci Syurga.
Muaaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
Anak-anak kunci Syurga ialah mengakui kalimah Lailahaillallah.
(Hadis riwayat Ahmad).
Sesungguhnya orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahu Wataala yang ingin memperolehi kesempurnaan imannya tidak akan mempermudah dan melengah-lengahkan untuk berzikir, tiada mahu lalai dan dilalaikan oleh sesuatu dari berzikir kerana lalai dan lupa Allah Subhanahu Wataala itu adalah lantaran jiwa yang telah dipengaruhi oleh syaitan. Oleh itu pelajarilah zikir dan amalkanlah, mudah-mudahan kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir serta berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffaat ayat 143-144 yang tafsirnya:
"Maka kalaulah ia (Nabi Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dengan zikir dan tasbih, tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia di bangkitkan keluar dari kubur".

No comments:

Post a Comment