Pages

RASUAH

Sesungguhnya agama Islam melarang umatnya dari memakan sesuatu yang tidak baik dan tidak halal serta dari sumber pendapatan yang haram.

Ini jelas sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 172, ertinya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik, yang halal, yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah".

Di antara sumber pendapatan yang tidak halal itu ialah melakukan rasuah. Rasuah ialah suatu pemberian berupa sogokan yang diberikan kepada seseorang dengan sebab tertentu bagi membolehlah perkara yang dihajati dapat diperolehi atau diselesaikan atau disegerakan dan sebagainya. Rasuah dikatakan juga 'sogokan' atau 'makan suap' atau 'wang kopi' dan ia merupakan perbuatan yang keji dan dilarang oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang tafsirnya :

"Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya".

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abdillah bin Amru Radiallahuanhuma ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah".

(Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).


Dalam kita menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan, sifat amanah adalah memainkan peranan yang amat penting. Tanpa sifat amanah, akan mudahlah berlakunya sebarang penyelewengan seperti perbuatan rasuah dan bermacam-macam lagi yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Pengertian rasuah itu sebenarnya amat luas, ia bukan hanya tertumpu kepada masalah kewangan sahaja, tetapi juga termasuk penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan. Sebagai contoh, jika sekiranya diberikan kuasa membuat pemilihan dan meluluskan tender-tender, maka ia akan memilih dan meluluskan mana-mana orang yang memberikannya sogokan dan suapan tanpa menghiraukan orang yang lebih layak untuk dipilih. Begitu juga jika diamanahkan untuk mengambil pekerja, ia akan mengenepikan orang yang lebih layak dan berhak untuk menjawat pekerjaan itu malahan akan mementingkan saudara-maranya, kawan atau pihak yang menjanjikannya sesuatu imbuhan kepada perbuatan tersebut. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat. Maka bertanya seorang lelaki : Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Iaitu apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan".

(Riwayat Al-Bukhari).


Perbuatan melakukan rasuah ini bukanlah suatu perkara yang baru, ia telah berlaku sejak zaman-berzaman. Dan Allah Subhanahu Wataala telah melarang umatnya dari melakukan rasuah kerana rasuah boleh menutup mulut manusia dari berkata-kata benar, rasuah boleh menghalang senjata dari menentang musuh, di samping itu rasuah juga boleh menggali lubang-lubang bahaya. Rasuah boleh membenarkan sesuatu yang salah dan menyalahkan sesuatu yang benar. Rasuah boleh mengotorkan jiwa yang bersih, rasuah boleh membuka pintu-pintu rahsia, rasuah boleh menjadikan orang ikhlas menjadi khianat, rasuah boleh menukar pahlawan menjadi penakut dan akhirnya rasuah boleh menyebabkan benteng-benteng kukuh menjadi tidak berguna dan tidak bererti.

Sesungguhnya Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri pernah cuba ditawarkan oleh orang-orang bukan Islam dengan beberapa tawaran kerana mereka mahu Baginda memberhentikan usaha menyebarkan ajaran agama Islam. Orang-orang kafir Quraisy merasa takut disebabkan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berkembang dengan pesat dan pengikut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam semakin hari semakin bertambah sehingga menyebabkan orang-orang kafir Quraisy mengutus Ukhbah bin Rabi'ah berjumpa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan menawarkan beberapa tawaran agar Baginda dapat bekerjasama dengan mereka.

Namun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan pendiriannya yang tegas tetap menolak tawaran tersebut dan tidak akan meninggalkan perjuangan Baginda dalam berdakwah demi menegakkan syiar agama Islam semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala. Baginda langsung tidak menerima tawaran-tawaran itu sekalipun Baginda ditawarkan dengan kekayaan, pangkat dan kuasa. Itulah bukti bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak menerima tawaran-tawaran tersebut dan tetap dengan kekuatan keimanan Baginda.

Ketahuilah dan takutlah bahawa balasan bagi perbuatan rasuah itu tidak lain ialah Neraka Jahanam. Itulah seksaan dan azab pemberi rasuah dan penerima rasuah. Kemudian kita bayangkan pula bagaimana halnya dengan ahli keluarga yang diberi nakan minum dari hasil tersebut, tentulah mereka juga terlibat memakan sesuatu yang haram. Sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menyebutkan dalam hadis Baginda akan balasan orang yang memakan makanan yang haram dan tidak halal.

Dari Saad bin Abi Waqas Radiallahuanhu ia berkata :

Wahai Rasulullah serulah kepada Allah untuk menjadikan aku orang yang mustajab dengannya,

bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dikabulkan doanya. Demi jiwa Muhammad dalam gengeman-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebajikannya selama empat puluh hari. Dan barangsiapa yang daging dalam badannya tumbuh dari yang haram dan dari hasil riba, maka api Neraka lebih layak baginya.

(Riwayat At-Tabarani).


Sememangnya rasuah itu amat berbahaya dan bahayanya amat besar melibatkan seluruh bangsa dan negara. Oleh itu hindarkanlah bangsa dan negara dari penyakit yang berbahaya ini, timbulkanlah rasa insaf dan amalkanlah sifat jujur dan amanah, jadikanlah diri kita orang yang tahu mana yang hak, mana yang batil dan jadikanlah diri kita orang yang bertaqwa, mudah-mudahan kita mendapat keredaan, keberkatan, perlindungan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wataala, Amin Yarabbal Alamin.


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud :

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

Jadi marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment