Pages

MENGHORMATI DAN MEMULIAKAN AL-QURAN


Ramadhan adalah bulan yang mulia, bulan yang penuh dengan keberkatan. Sesiapa yang beramal ibadat di dalamnya akan mendapat pahala yang berlipat ganda. Di bulan ini berlaku berbagai-bagai peristiwa penting dan bersejarah, antaranya Kitab Suci Al-Quran diturunkan yang juga dikenali sebagai Nuzul Al-Quran. Al-Quran kitab yang agung lagi mulia sebagai panduan kepada umat Islam yang memimpin dan membawa petunjuk dan kebenaran kepada umat manusia.

Di dalam Al-Quran termaktub wahyu Allah SWT sebagai panduan dan pedoman kepada manusia kerana itulah umat Islam digalakkan supaya membaca Al-Quran, baik di kala senang ataupun susah, di kala gembira ataupun berduka kerana ia amalan yang sangat mulia dan akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda, dan di akhirat nanti orang yang membaca al-Quran itu akan mendapat syafaat (pertolongan) daripada bacaannya.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Faathir ayat 29 yang tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Al-Quran dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka dengan amalan yang demikian mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian".

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abi Ummah Al-Bahiliyu berkata : Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Bacalah oleh kamu Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran itu akan datang pada Hari Kiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya".

(Riwayat Muslim).

Untuk pengetahuan para umat islam, pahala dan berkat bukan hanya akan diperolehi oleh mereka yang membaca Al-Quran, tetapi juga akan diperolehi oleh orang yang mendengar bacaan Al-Quran. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-'Araaf ayat 204 yang bermaksud:

"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat".

Dalam hal ini, perlu diingat apabila Al-Quran dibacakan terutamanya di Majlis-majlis seperti tilawah Al-Quran, Tadarus Al-Quran, Khatam Al-Quran dan sebagainya adalah elok kita diam dan mendengar bacaan Al-Quraan agar kita dapat menghayati dan memahami maksud yang terkandung di dalamnya. Perbuatan sedemikian adalah dikira ibadat dan akan mendapat pahala dari Allah Subhanahu Wataala.

Orang yang membaca Al-Quran itu terbahagi kepada dua :

Pertama: membaca Al-Quran tanpa mengetahui makna dan ertinya.

Kedua: membacanya dan sekali gus memahami isinya.

Namun demikian keistimewaan Al-Quran itu, sama ada kita baca dengan memahami ataupun tidak, ia tetap menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Akan tetapi, membaca Al-Quran dengan memahami isinya sudah tentulah lebih berfaedah dan mendatangkan kesan kerana dapat menghayati nilai-nilai dan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran itu.
Al-Quran kitab yang cukup lengkap, mengajak manusia mentauhidkan Allah Subhanahu Wataala dan berakhlak mulia. Di dalamnya juga terdapat hukum-hakam dan peraturan melarang manusia berbuat perkara buruk dan keji. Oleh itu sesiapa yang berpegang dengannya akan selamat di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah perlembagaan hidup bagi umat Islam.

Memandangkan kedudukan Al-Quran semulia-mulia kitab, maka wajiblah dihormati dan dimuliakan menurut apa yang telah diajarkan :

1. Apabila menyentuh, memegang atau membawa (mengangkat) Al-Quran hendaklah dalam keadaan suci dan berwuduk.

2. Tidak meletakkan Al-Quran di tempat yang tidak sepatutnya seperti berselerak di merata tempat sehingga terdedah kepada najis burung dan cicak.

3. Al-Quran hendaklah diletakkan di tempat yang terhormat dan jangan diletakkan sesuatu apa pun di atasnya.

4. Ketika membacanya diletakkan di atas sesuatu seperti rihal, bukan di atas lantai.

5. Jangan dijadikan Al-Quran sebagai bantal dan alat bersandar dan apabila memberikannya kepada seseorang janganlah dilemparkan.

6. Tidak meletakkan atau menyelitkan apa-apa benda di dalam Al-Quran.

7. Hendaklah menulis ayat Al-Quran dengan tulisan yang cantik dan dilarang menulisnya di permukaan tanah.

Dalam kehidupan hari ini, pelajar sekolah adalah terdedah kepada kitab-kitab agama termasuk Al-Quran. Oleh itu, para guru dan ibu bapa hendaklah mengambil perhatian dan memahamkan anak-anak atau pelajar cara menghormati dan memuliakan Al-Quran. Jangan sampai Al-Quran yang dimuatkan di dalam beg mereka diletakkan di atas lantai dan kusyen kereta sehingga menjadi tempat bersandar dan lebih buruk lagi sehingga terpijak dan dilangkahi.

Demi menjaga kesucian Al-Quran dan agama Islam, maka adalah menjadi kewajipan kita umat Islam supaya menjaga dan menghormati ayat-ayat Al-Quran yang ditulis pada surat-surat khabar, kad-kad jemputan atau seumpamanya. Janganlah dibuang atau dicampakkan di merata tempat dan dijadikan pembungkus barang, alas kaki, alas duduk dan sebagainya yang boleh menghina kemuliaan ayat Al-Quran.

Di samping kita memperkatakan tentang kesucian dan kelebihan Al-Quran, elok juga kita mengambil ingatan bahawa di bulan Ramadhan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatulqadar. Sebahagian besar ulama mengatakan bahawa Lailatulqadar itu berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Di antara sepuluh malam terakhir inilah dijangkakan berlakunya Lailatulqadar dan kemungkinan besar ia berlaku pada malam-malam ganjil iaitu sama ada pada malam ke 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau 29, ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abi Salamah ia berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Carilah Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan".

(Riwayat Bukhari)

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Qadr ayat 1-5 yang tafsirnya:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran Lailatulqadar itu?. Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar".

Jadi sempena bulan ramadhan yang baru tiba ini, marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

SIFAT MARAH


Sememangnya hidup ini banyak cabaran, banyak dugaan dan penuh dengan liku-liku dan ranjau yang harus dilalui dan dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Cabaran dan dugaan itu bermacam-macam bentuk, ada berbentuk kesusahan, kesengsaraan dan ada pula berbentuk kesenangan dan kegembiraan. Jika kesenangan yang diperolehi, gembiralah hati kita dan jika kesusahan yang menimpa, maka akan kecewalah dan marahlah kita. Sifat marah adalah suatu sifat yang tetap ada pada diri seseorang, tinggal lagi hendaklah kena pada tempatnya, bukan mengikut perasaan dan hawa nafsu.

Bagi orang Islam yang beriman, sifat sabar adalah menjadi perisai dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan dan sentiasa reda dengan takdir Allah Subhanahu Wataala, bahkan insaf terhadap-Nya kerana mereka sedar sifat marah itu amat dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya sehingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam banyak berpesan supaya jangan bersifat marah sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya:

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawasanya ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam : Berpesanlah kepadaku, lalu Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka Baginda masih tetap bersabda : Jangan marah".

(Riwayat Al-Bukhari).

Memanglah benar bahawa perkara-perkara yang menyebabkan timbulnya kemarahan itu amat banyak khususnya cabaran-cabaran masa kini yang ditambah pula dengan kerenah-kerenah manusia itu sendiri. Contohnya jika kemahuan kita tidak dipenuhi atau ditunaikan, kita akan marah dan begitu pula jika gagal dan kalah dalam sesuatu yang kita ceburi, kita juga akan marah dan yang lebih buruk lagi terdapat segelintir orang yang marah jika perbuatan salahnya terhalang dan dihalang.

Sebenarnya sifat marah itu tidak menjadi kesalahan jika kena pada tempatnya dan dengan tujuan yang baik iaitu untuk menyedarkan orang yang melanggar perintah Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya. Tetapi yang sebaik-baiknya, elakkanlah dari berlaku perkara sedemikian, kerana marah boleh menimbulkan keburukan dan permusuhan, bukan saja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri. Oleh itu agama Islam telah mengajar kita bahawa jika kita marah, maka lekas-lekaslah kita mengambil wuduk supaya kita merasa tenang dan tenteram. Di samping itu, kita hendaklah bersifat sabar dan mudah memberi maaf kepada orang yang melakukan kesalahan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Asy Syuura ayat 37 yang tafsirnya:

"Dan juga lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji dan apabila mereka marah disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka, mereka memaafkannya".

Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari 'Atiah Radiallahuanhu ia berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air, maka apabila salah seorang dari kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk".

(Riwayat Al-Imam Abu Daud).

Menjauhkan diri dari bersifat marah itu mempunyai banyak hikmah antaranya:

Pertama : Boleh mengelakkan berlakunya sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang tidak baik.

Kedua : Supaya kita akan dapat mencontohi akhlak mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seperti bersopan santun dan bersedia memaafkan orang yang bersalah. Sikap sedemikian boleh menimbulkan perasaan kasih sayang dan kemesraan.

Wahai umat islam, ketahuilah bahawa orang yang dapat mengawal dirinya dari bersifat marah akan mendapat balasan Syurga. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang maksudnya:

"Dari Abi Ad-darda ia berkata, wahai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tunjukkanlah saya sesuatu amalan yang boleh menyebabkan saya dapat masuk Syurga. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Jangan marah nescaya engkau akan dapat masuk Syurga".

(Riwayat At-Tabarani).

Islam mahukan umatnya bersatu padu, hidup bersaudara, berkasih sayang, mengelakkan perpecahan dan permusuhan yang boleh membawa kepada kehancuran umat Islam. Maka bagi mengelakkan semua itu, Islam menganjurkan kita supaya jangan bersifat marah. Mudah-mudahan dengan demikian umat Islam akan bersatu padu dan menjadi umat yang kuat dan berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 133-134 yang tafsirnya:

"Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amalan-amalan yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".

SYIRIK


Kepercayaan yang bersih dan suci adalah asas bagi masyarakat Islam dan tauhid (mengesakan Allah) pula adalah nilai kepercayaan iaitu umpama jiwa bagi Islam seluruhnya. Dengan demikian mentauhidkan Allah Subhanahu Wataala dengan beriman kepada-Nya adalah merupakan rukun yang pertama dari seluruh Rukun Iman yang enam serta menjadi perkara utama yang wajib diyakini. Maka jika keimanan tidak wujud dalam diri seseorang, bererti dia telah terjerumus ke lembah kekufuran dan kesyirikan, kekotoran dan kebohongan, melakukan kezaliman yang besar serta berada dalam kesesatan yang nyata.

Tauhid adalah dasar utama dalam akidah yang dibawa oleh para Rasul sejak zaman Nabi Adam Alaihissalam sehingga kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Dan syirik pula adalah dasar perjuangan iblis dan anak cucunya serta pengikut-pengikutnya sejak diciptakan Nabi Adam Alaihissalam sehingga hari Kiamat.

Justeru itu iblis laknatullah sangat benci dan tidak senang bila manusia mengucapkan kalimah Tauhid atau 'Kalimatut Taibah' iaitu ucapan 'Lailaahaillallah'. Dan tiada racun yang amat berbisa yang boleh menghancurkan akidah (kepercayaan) melainkan syirik iaitu menyekutukan Allah Subhanahu Wataala. Apabila seseorang berlaku syirik terhadap Allah Subhanahu Wataala nescaya seluruh amalan yang telah dikerjakan menjadi sia-sia (terbatal) dan bila amalan terbatal segala pahala dan ganjarannya hilang dan kosong seperti belum pernah membuat kebajikan sedikit pun.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisaa' ayat 48, ertinya:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan siapa yang mempersekutukan Allah dengan suatu yang lain maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar".

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 72 tafsirnya:

"Sesungguhnya siapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka. Dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim".

Syirik bermaksud menyekutukan Allah swt, kerana Allah itu bersifat esa (tunggal) tiada sekutu baginya. Tiada sesuatu yang menyamai atau menyerupai Allah SWT, bahkan jauh sekali untuk menandingi kuasa Allah SWT. Oleh itu umat Islam hendaklah memelihara dirinya dan akidah kepercayaannya serta menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara menyekutukan Allah Subhanahu Wataala seperti menyamai dengan makhluk atau sesuatu yang lain.

Dalam masyarakat kita hari ini, sungguhpun ajaran agama Islam sudah tersebar luas dan telah dianuti sekian lama, namun masih terdapat sebilangan kecil umat Islam yang mengamalkan perbuatan-perbuatan karut yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti pemujaan terhadap benda-benda atau makhluk lain yang ternyata tiada mempunyai kuasa sedikit pun dan berdoa meminta pertolongan melalui kubur, keris, cincin, batu, dan sebagainya serta percaya kepada benda-benda tersebut mempunyai 'keramat' atau kuasa yang boleh membawa tuah, menambah rezeki, kejayaan dan lain-lain lagi.

Ingatlah bahawa setiap permohonan dan permintaan bagi sesuatu perkara itu hanyalah dari Allah sahaja, jika dilakukan kepada benda-benda lain, bukan kepada Allah bererti meletakkan Allah sejajar dengan makhluk ciptaan-Nya. Maka dengan perbuatan sedemikian berlakulah syirik.

Kita umat Islam hanya dituntut supaya bermohon daripada Allah. Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

"Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah, dan apabila engkau memohon pertolongan maka pohonlah pertolongan itu kepada Allah".

(Riwayat At-Tarmizi).

Meminta atau memohon kepada Allah merupakan doa dan doa itu suatu ibadat. Ibadat hanya dilakukan kepada Allah, bukan kepada yang lain yang terdiri daripada makhluk-makhluk Allah Subhanahu Wataala.

Adalah menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam supaya sentiasa berhati-hati menjaga diri, anak-anak dan keluarga daripada terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada syirik, lebih-lebih lagi untuk mendapat kesenangan, kejayaan, keuntungan harta atau kemewahan dunia berbanding dengan akibat yang akan ditanggung berpunca daripada menyekutukan Allah.



Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Luqman ayat 13 tafsirnya:

"Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayangan- ku, janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

Maka, marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah swt dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.. amin…

TAUBAT


Sesungguhnya kehidupan di dunia ini penuh dengan bermacam-macam dugaan dan cabaran di mana manusia boleh dilalaikan oleh permainan dunia khususnya maksiat dan kemungkaran. Memang tepat sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-An'aam ayat 32 yang bermaksud:

"Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya Negeri Akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?".

Sememangnya diakui bahawa manusia ini tidak terlepas dari berbuat kesalahan dan bersifat lupa tetapi kita pula jangan lupa yang Allah Subhanahu Wataala telah memberikan kita akal untuk berfikir, maka seharuslah digunakan dengan sebaik-baiknya. Dengan akal, kita boleh membezakan mana yang hak dan mana yang batil, mana yang baik dan mana yang buruk. Agama Islam telah menetapkan hukum bagi sesuatu perkara itu mana yang wajib dilaksanakan dan mana yang haram ditinggalkan. Dalam hal ini manusialah yang selalu lupa diri dan lupa Tuhan. Oleh itu sebelum terlambat maka segeralah bertaubat dan lakukanlah amal ibadat jika mahu selamat di dunia dan di akhirat.

Menyebut perkataan taubat memanglah sesuatu yang mudah dan senang. Tetapi adakah ia mencukupi dengan hanya menyebutnya tanpa mempraktikkannya. Persoalannya sekarang apakah kita telah memahami maksud taubat yang sebenarnya? Oleh itu kita perlu tahu dan mengerti apa erti taubat mengikut hukum Islam. Bertaubat ialah menyesali akan dosa yang telah dilakukan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Dan supaya taubat lebih berkesan maka kita hendaklah mengenang kembali dan menyesali segala amalan-amalan yang terlanjur yang dilakukan di masa lalu.

Taubat bukan perkara remeh-temeh kerana bukanlah taubat namanya jika masih melakukan dan berbuat sifat-sifat buruk, maksiat dan bermacam-macam kemungkaran tetapi sebaliknya perbuatan sedemikian seolah-olah mempermainkan perkara taubat itu sendiri. Oleh itu jika bertaubat, bertaubatlah dengan sepenuh hati sehingga mencapai taubat yang sebenar-benarnya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Tahriim ayat 8 yang tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai".

Para ulama telah menentukan beberapa syarat taubat yang harus dipatuhi dan tiada sesuatu taubat dianggap sempurna kecuali dengan empat syarat yang berikut :-

Pertama : Menyesali diri atas dosa-dosa yang telah lalu.

Kedua : Menyucikan diri dari dosa yakni tidak ada ertinya ia bertaubat pada hal ia terus melakukan dosa yang sama dan tidak memberhentikannya.

Ketiga : Berazam tidak akan melakukan dosa lagi selagi hayat dikandung badan.

Keempat : Jika sekiranya seseorang itu menyakiti atau menganiaya seseorang yang lain seperti mencederakannya, menghina ataupun ia merampas harta benda mereka maka hendaklah ia memohon kemaafan daripada mereka serta menggembalikan hak yang telah diambil secara penganiayaan itu ataupun meminta dihalalkan dari empunya.

Tidak dapat disangkalkan bahawa manusia itu pasti ada membuat kesilapan dan kesalahan. Oleh yang demikian jika kita menyedari akan kesilapan yang telah dilakukan maka bersegeralah kita bertaubat kepada Allah Subhanahu Wataala. Janganlah kita melengah-lengahkannya kerana ajal boleh datang pada bila-bila masa dan sudah tentunya kita tidak mahu mati dalam keadaan berdosa. Jangan bila ajal hampir tiba baru kita hendak bertaubat sedangkan diri dipenuhi dengan dosa-dosa dan maksiat. Perkara ini ada diingatkan dalam firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisaa' ayat 18 yang ertinya:

"Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia : Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya".

Ingatlah bahawa hidup ini hanyalah sementara. Umur yang diberikan itu hanyalah pinjaman dari Allah Subhanahu Wataala, bila-bila masa boleh dicabutnya. Oleh itu sedarlah akan kesilapan yang dilakukan, pohonlah keampunan kepada Allah Subhanahu Wataala sebelum terlambat. Jangan malu, takut atau sombong untuk mengakui kesilapan. Bertaubatlah kepada Allah Subhanahu Wataala kerana Allah Maha Pengampun terhadap hamba-hamba-Nya, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisaa' ayat 110 yang tafsirnya :



"Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri dengan melakukan maksiat kemudian ia memohon ampun kepada Allah nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani".

Dalam memohon keampunan hendaklah dengan sepenuh hati dan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala. Yakinlah bahawa Allah Subhanahu Wataala Maha Pengampun akan dosa hamba-hamba-Nya yang mahu bertaubat dan janganlah ada sifat putus asa dalam memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wataala.

Seorang Muslim yang sebenar-benarnya tetap inginkan rahmat dan pengampunan Allah Subhanahu Wataala, sentiasa berpegang teguh dengan agama, taat perintah Allah Subhanahu Wataala dan meninggalkan segala larangan-Nya, tidak mudah dikuasai oleh hawa nafsu dan tidak mudah mengikut ajakan syaitan kerana syaitan itu sentiasa mahu anak Adam terjerumus ke lembah kehinaan dan kebinasaan. Ingatlah bahawa Allah Subhanahu Wataala itu sentiasa bersama hamba-Nya yang soleh dan bertaubat.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Asy Syuura ayat 25, ertinya:

"Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan-kejahatan yang mereka lakukan dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan".

solat sunat taubat

SEDEKAH


Manusia yang hidup di dunia ini tidak semuanya bernasib baik dan memiliki kekayaan serta kemewahan, ada di antaranya yang hidup miskin, susah, melarat dan serba kekurangan yang memerlukan simpati dan pertolongan orang lain. Dalam menangani keadaan seumpama ini ia memerlukan kepada sifat tolong-menolong, bantu-membantu dan bekerjasama antara satu dengan yang lain. Inilah yang diajarkan oleh agama Islam sebagaimana yang difirmankan oleh Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah ayat 2 yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa maksiat dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya".


Salah satu cara ke arah merealisasikan konsep tolong-menolong dan bantu-membantu ini ialah bersedekah. Sedekah bermaksud pemberian semasa hidup kepada seseorang tanpa ada tukar ganti atas dasar semata-mata kerana mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala. Dan hukum bersedekah itu adalah sunat. Dalam masyarakat kita, bersedekah itu juga diertikan atau disebut sebagai derma atau sumbangan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 272 tafsirnya:

"Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan pada jalan Allah, maka faedahnya dan pahalanya adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan balasan pahalanya pada kamu dan balasan baik kamu itu pula tidak dikurangkan".

Amalan bersedekah adalah sifat yang mulia dan terpuji dalam agama kita, kerana dengan berbuat demikian kita dapat menolong orang yang susah dan memerlukan pertolongan. Islam melarang umatnya meminta-minta dan tiada bermaruah seperti mendapatkan rezeki secara tidak halal sehingga men-jerumuskan mereka ke dalam berbagai-bagai keruntuhan moral.

Dalam mengerjakan amalan bersedekah, kita perlulah melakukannya dengan hati yang ikhlas dan jujur, bukan kerana sesuatu tetapi kerana Allah Subhanahu Wataala dengan harapan amalan tersebut diterima dan mendapat keredaan-Nya. Agama Islam telah mengajarkan umatnya bahawa ketika bersedekah, biarlah menepati erti sedekah itu sebenarnya, agar amalan kita itu tidak sia-sia. Ke arah itu terdapat tiga perkara yang perlu diikuti bagi kesempurnaan amalan bersedekah itu.

Pertama:

Barang yang disedekahkan itu hendaklah baik dan elok.

Kedua:

Sesuatu yang disedekahkan itu hendaklah daripada yang halal, bukan haram atau subahat.

Ketiga:

Adalah sunat bagi pemberi sedekah atau derma itu daripada benda yang disukai dan disayanginya.



Wahai kaum Muslimin elok juga kita ingat-beringat bahawa barang yang disedekahkan ini sebaiknya adalah diambil daripada lebihan keperluan kita dan keperluan tanggungjawab kita kerana adalah berdosa jika kita bersedekah dengan mengurangkan nafkah tanggungan kita. Oleh itu, perlulah juga disedari, bahawa bersedekah dengan benda yang sedikit yang disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala itu adalah lebih baik dan boleh menyelamatkan daripada api Neraka, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Addiyi Ibni Khatim Radiallahuanhu berkata:

Dari Hadiyi bin Hatim Radhiallahu Anha berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Takutlah kamu akan api Neraka walaupun dengan separuh buah kurma".

Dalam amalan bersedekah ini, kita dilarang menyebut-nyebut atau mengungkit-ungkit sedekah itu kerana perbuatan yang sedemikian boleh merosakkan amalan bersedekah kerana perbuatan tersebut diumpamakan batu licin yang bertanah yang kemudiannya ditimpa hujan lebat lalu hilanglah tanah tersebut. Maka itulah perbandingan bagi mereka yang mendapat sesuatu pahala hasil perbuatan sedekah mereka, tetapi pahala tersebut hilang disebabkan perbuatan yang mereka lakukan. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 262 tafsirnya:

"Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan agama Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit pemberiannya dan tidak pula menyinggung atau menyakiti pihak yang diberi, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka. Dan tidak ada kebimbangan dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita".

Bersedekah bukanlah amalan yang sia-sia dan mendatangkan kerugian, tetapi sebaliknya ia akan menambahkan rezeki kerana sesuatu yang kita dermakan atau sedekahkan dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala akan Allah Subhanahu Wataala gantikan dengan rezeki yang berlipat ganda, bahkan bukan itu saja, malah akan dijauhkan dari kesempitan dan dihindarkan dari sifat takbur dan bangga diri.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al -Hadiid ayat 18 tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia".

Ketahuilah, bahawa bersedekah itu salah satu tanda bersyukur terhadap nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala yang boleh mengelakkan diri seseorang dari bersifat kedekut, bakhil dan tamak. Yakinlah bahawa setiap sedekah yang dihulurkan itu akan mendapat balasan daripada Allah Subhanahu Wataala. Ingatlah, harta yang banyak itu belum tentu dapat membahagiakan pemiliknya, kerana kebahagiaan yang sebenarnya hanya akan dirasai oleh hamba-Nya yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah Subhanahu Wataala, semata-mata untuk mendapat keredaan Allah Subhanahu Wataala jua.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 245 tafsirnya:

"Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik ikhlas supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan ingatlah Allah jualah yang menyempit dan meluaskan pemberian rezeki dan kepada-Nya lah kamu semua dikembalikan".

Jadi marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

SIFAT PEMAAF


Islam adalah agama yang cukup sempurna, agama yang mementingkan perdamaian dan kesejahteraan bagi mewujudkan suasana sedemikian, amalan-amalan mulia memainkan peranan yang penting kerana itulah Islam menitikberatkan amalan tersebut. Kerana dengan demikian akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama umatnya. Di antara sifat mulia yang sangat dituntut dalam Islam ialah sifat pemaaf. Salah satu sifat Allah Subhanahu Wataala ialah Al-Ghafuur yakni pengampun.

Inilah juga sifat yang utama pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang juga sepatutnya ada dalam diri kita selaku umatnya. Kerana dengan adanya sifat pengampun dan pemaaf ini sahajalah yang boleh mengelakkan diri kita dari bersifat keji seperti dendam, benci, dengki dan sebagainya. Sifat keji itulah yang selalunya menimbulkan persengketaan dan perpecahan. Sebagai contoh jika ada sifat dendam orang akan sanggup membunuh dan tidak terkecuali sanggup memecahbelahkan ahli keluarga dan sahabat. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Asy-Syuura ayat 43 yang bermaksud:

"Dalam pada itu ingatlah orang yang bersabar dan memaafkan kesalahan orang terhadapnya, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya".

Maka di sinilah pentingnya sifat pemaaf dalam diri individu kerana sifat pemaaf boleh menerbitkan rasa kasih sayang, belas kasihan, hormat-menghormati dan sebagainya. Berkembangnya agama Islam ke pelusuk dunia adalah di atas konsep kemaafan. Konsep ini telah dibuktikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di mana Baginda Rasulullah telah memaafkan Hubur bin Aswad, seorang yang terkenal memusuhi Islam dan banyak menyakiti hati kaum Muslimin. Bahkan dia juga pernah menyakiti puteri Rasulullah yang bernama Zainab dimana unta yang dinaiki oleh Zainab dalam perjalanan ke Madinah telah dipanah oleh Hubur sehingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati, Zainab yang pada ketika itu sedang mengandung terhumban dari atas unta menyebabkan kandungannya keguguran. Namun demikian setelah pembukaan Mekah, Hubur menemui Rasulullah SAW untuk memohon maaf daripada baginda dan seterusnya menjadi pengikut agama Islam.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dari Jabir bin Abdullah bahawa seorang perempuan Yahudi telah menghadiahkan kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam daging kambing yang sudah masak. Hadiah tersebut diterima oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tanpa menyedari daging kambing tersebut telah dibubuh racun. Namun sebaik sahaja Baginda mengunyahkan untuk memakan daging tersebut, Baginda terus memuntahkannya kerana Baginda mengetahui bahawa daging tersebut mengandungi racun. Walaupun perbuatan perempuan Yahudi itu membahayakan Baginda, tetapi Baginda tidaklah menjatuhkan hukuman kepadanya, sebaliknya memberi kemaafan kepadanya.

Tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan ini kita tidak akan terlepas dari menerima dugaan yang kadang kalanya menyebabkan timbul rasa marah dan sifat dendam akibat dari angkara perbuatan orang lain yang tidak menyenangkan hati kita kerana difitnah, dihina, dizalimi dan sebagainya. Tetapi walaupun dugaan yang menimpa ke atas kita namun Islam telah memerintahkan umatnya supaya bersifat sabar dan tidak bertindak balas terhadap perbuatan jahat yang dilakukan ke atas kita, sebaliknya di balas dengan kebaikan dan kemaafan. Kerana jika jahat dibalas jahat akan lebih menambah kejahatan dan akan bertambah parahlah luka di hati dan akan bersarang sifat dendam, sifat dengki dan bermacam-macam lagi sifat keji yang boleh menimbulkan permusuhan dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam. Orang Islam yang benar-benar beriman tidak akan bersifat keji dan busuk hati tetapi sebaliknya bersifat mulia dan murni. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Fush Shilat ayat 34 yang tafsirnya :

"Dan tidaklah sama kesannya dan hukumnya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan yang ditunjukkan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah sahabat karibmu".

Ingatlah, walaupun amalan bermaaf-maafan itu dituntut dalam Islam, ini bukan bererti kita dibolehkan sesuka hati berbuat kejahatan dan kesalahan apatah lagi jika disengajakan. Perlu diingat bahawa dosa sesama manusia itu tidak akan diampunkan oleh Allah Subhanahu Wataala kecuali setelah mendapat kemaafan dari manusia itu sendiri. Oleh itu bermaaf-maafan sebelum terlambat, jangan hanya menunggu tibanya Hari Raya.

Akhirnya, jadikanlah sifat bermaaf-maafan itu sebagai amalan hidup kita kerana dengan demikian rumahtangga hidup bahagia, keluarga dan jiran hidup aman damai dan akhirnya masyarakat dan negara menjadi teguh dan sentosa.


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 133-134 yang bermaksud:

"Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".

MENGHARGAI MASA


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-'Ashr ayat 1-3 tafsirnya:

"Demi masa ! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".

Dari ayat tersebut jelas menunjukkan betapa masa itu sangat berharga dan penting dalam kehidupan manusia. Orang yang tahu mengurus dan menggunakan masanya akan beruntung dan berjaya dalam kehidupan, sebaliknya siapa yang lalai dan membuang masa, membiarkannya berlalu begitu saja akan rugi dan menyesal. Kerana itu kita hendaklah sentiasa ingat supaya sentiasa memanfaatkan masa yang ada dengan sebaik-baiknya seperti beramal kepada Allah, melakukan perkara-perkara yang bermanfaat dan berkebajikan untuk masa hadapan dan bekalan menuju akhirat nanti.

Semua orang sedar bahawa perjalanan masa itu amat pantas dan masa yang berlalu itu tidak akan kembali lagi. Oleh itu kejarlah masa, elakkan dari tercicir dan tertinggal. Kita perlu bijak menguasai dan menggunakannya. Orang yang bijak tidak sekali-kali akan lalai dan mensia-siakan masa, tetapi penuh hati-hati dan tidak rela masa itu meninggalkannya walau sedikitpun melainkan mengisinya dengan pekerjaan yang berfaedah dan menguntungkan, baik semasa di dunia apatah lagi untuk di akhirat kelak.

Perlu diingat bahawa masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Masa itu di ibaratkan sebagai pedang, kalau kita tidak memotongnya, maka dia akan memotong kita. Kerana itu perbuatan menangguh-nangguhkan pekerjaan hari ini, menunggu hari esok adalah kerja yang merugikan dan boleh mendatangkan penyesalan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengingatkan dalam hadis Baginda yang bermaksud:

"Dari Ibni Abbas Radhiallahuanhuma ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada seorang lelaki dan Baginda menasihatinya : Rebutlah lima perkara sebelum kamu di datangi oleh lima perkara yang lain. Masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum fakirmu, masa lapangmu sebelum kesibukanmu dan masa hidupmu sebelum matimu".

Sememangnya menjadi kenyataan dan tidak boleh dinafikan bahawa terdapat di kalangan segelintir masyarakat yang hanyut di bawa arus globalisasi dan kemajuan sains dan teknologi kearah pembawaan yang tidak betul dan tidak tepat pada maksud sebenarnya kerana tidak ada kesedaran untuk menghargai masa sehingga berlakulah tabiat-tabiat merugikan dan membuang masa seperti melepak, berbual-bual kosong, bersuka ria dan bersukan sehingga tinggal kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wataala dan bermacam-macam lagi perbuatan yang merugikan.

Cuba kita buat perkiraan diri kita berapa jam, berapa hari dan berapa tahunkah yang hilang dalam hidup kita ini, kerana berada di dalam kelalaian melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah, dalam tidur dan malas serta kesibukan-kesibukan, sedangkan setiap saat dan minit dalam umur kita ada perkiraan dan timbangannya. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Anbiyaa' ayat 47 tafsirnya:

"Dan ingatlah kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk menimbang amal makluk-makluk pada Hari Kiamat. Maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun dan jika amalan itu seberat biji sawi sekalipun nescaya kami akan mendatangkannya untuk ditimbang dan di- hitung dan cukuplah kami sebagai penghitung".

Kita umat islam diperintahkan supaya menjaga waktu dan membuat perhitungan untuk masa hadapan. Oleh itu kita sebagai manusia yang menjadi khalifah di muka bumi ini yang di anugerahkan akal oleh Allah Subhanahu Wataala sepatutnya berfikir dan menggunakan akal fikiran itu kearah yang lebih baik dan membina serta melahirkan idea-idea yang bernas untuk generasi akan datang.

Semua ini boleh di lakukan yang penting kita mahu, contohnya mengadakan lawatan-lawatan ke tempat-tempat bersejarah, membaca buku-buku yang berfaedah yang boleh menambah pengetahuan, melakukan amal kebajikan, beribadat dan bermacam-macam lagi aktiviti yang berguna. Inilah satu langkah bijak kearah melahirkan manusia yang berakhlak mulia, mentaati ibu bapa dan taat kepada Allah Subhanahu Wataala.

Akhirnya sama-samalah kita bertekad dan berazam menggunakan umur yang di pinjamkan Allah Subhanahu Wataala itu kearah melakukan ketaatan kepada-Nya bukan untuk kemaksiatan. Kerana berlaku taat kepada Allah Subhanahu Wataala itu membawa keuntungan dan mendapat berkat, sebaliknya berlaku ingkar dan derhaka itu mendatangkan kerugian dan mengundang kemurkaan Allah Subhanahu Wataala.

Ingatlah bahawa hidup ini hanya sementara, bila-bila masa dikehendaki Allah Subhanahu Wataala akan kembalilah kita kepada-Nya. Maka pada ketika itu penyesalan sudah tiada ertinya lagi. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Munaafiquun ayat 11 tafsirnya:

"Dan ingatlah Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang atau sesuatu yang bernyawa apabila sampal ajalnya. Dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan".

Oleh itu beramallah sebelum terlambat, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Munaafiquun ayat 9-10 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu dilalaikan oleh urusan harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah dengan menjalankan perintah-Nya. Dan ingatlah sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya. Kalau tidak maka ia pada saat itu akan merayu dengan katanya : Wahai Tuhanku ! Alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang salih".

PANGGILAN DISAAT MAYAT DIKAFANKAN


Dikala mayat diletakkan di tempat kafan, maka mayat akan dipanggil pula dengan tiga kali jeritan.

panggilan pertama:

"wahai anak adam, wahai mayat!!!! pergilah kamu ke tempat yang jauh tanpa membawa bekal."

disaat ini barulah mayat menyedari dan kelang kabut, barulah dia mengetahui yang dia tidak membuat persiapan, sedangkan dia akan berjalan jauh yang mana akan menempuhi beberapa alam lagi, iaitu alam barzah dan alam akhirat. kata Ali r.a. , "wahai sahabatku sekalian, perjalanan kita terlalu jauh, sedangkan bekalan kita terlalu sedikit."

panggilan kedua:

"wahai anak adam, wahai mayat!! keluarlah kamu daripada rumah ini dan kamu tidak akan kembali lagi."

mayat pun sedar yang dia tidak akan kembali lagi, dan lalu berkata: "ya aku pun tahu aku tidak akan kembali lagi."

panggilan ketiga:

"wahai anak adam, wahai mayat!!!! naiklah kuda!.."

ini bermaksud orang yang mati itu seorang yang mulia. "naiklah kuda dan kamu tidak akan naik seperti ini lagi selama-lamanya". tapi ingat wahai mayat, setelah kamu tiba di kubur, kamu akan di lanyak pula."

maka jawab si mayat, "ya aku pun tahu."

itu lah tiga panggilan kepada mayat sewaktu mayat dikafankan.


next: panggilan disaat mayat di atas usungan




MENEPATI JANJI

Akhlak yang mulia adalah merupakan buah keimanan dan puncak akhlak itu ialah berlaku amanah dan menepati janji, manakala pecah amanah dan tidak menepati janji pula merupakan tanda merosotnya iman dan jauh dirinya dari ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wataala.

Menepati janji itu adalah tuntutan syarak, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 34 tafsirnya :

"Dan sempurnakanlah perjanjian dengan Allah dan dengan manusia, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya".

Agama Islam tidaklah melarang kita membuat janji dengan sesiapa pun atau mana-mana pihak asalkan janji-janji itu disempurnakan dan ditepati, kerana orang yang menyempurnakan janji itu adalah salah satu tanda orang yang bertakwa. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud:

"Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian, dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan Perang Sabil. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa".

Perjanjian adalah suatu amanah yang wajib ditunaikan dan tidak dapat diambil ringan dan diambil remeh, kerana perbuatan meringan-ringankan perjanjian apatah lagi tidak menepatinya adalah dibenci dan dimurkai oleh Allah Subhanahu Wataala, malah tergolong ke dalam golongan orang munafik. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaff ayat 2-3 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berbohong dan apabila berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianat".

(Riwayat Al-Bukhari)



Perlu di ingat dan ketahui bahawa sifat munafik itu adalah sifat yang sangat keji dan balasannya pula amat berat sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisaa' ayat 145, ertinya:

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari lapisan-lapisan dalam neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka".

Sebenarnya agama Islam telah banyak menunjuk ajar dan melatih kita bagaimana cara supaya kita boleh menepati janji tetapi mungkin saja kita tidak menyedarinya. Cuba kita lihat ibadat sembahyang lima waktu yang diwajibkan ke atas umat Islam, dengan ditentukan waktunya sekali. Bukankah kita dikehendaki melakukan ibadat sembahyang tersebut dalam waktunya? Ini bermakna ia merupakan suatu perjanjian hamba dengan Allah Subhanahu Wataala dan hamba tersebut wajib mentaati perintahnya. Jika sekiranya perintah ini dapat kita lakukan, tentunya kita boleh mendisiplinkan diri ke arah menepati janji.

Memandangkan janji itu suatu amanah dan mungkir janji itu pula perbuatan orang munafik dan berdosa besar, maka kerana itu agama Islam telah menentukan adab-adab yang perlu diikuti apabila membuat janji seperti mengucapkan lafaz Insya Allah apabila berjanji, suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam Al-Quran sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Kahfi ayat 23-24 yang tafsirnya :

"Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata Insya Allah. Dan ingatlah serta sebutlah akan tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah : Mudah-mudahan tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini".



Tetapi apa yang berlaku sekarang, perkataan Insya Allah itu telah di salahguna pakai oleh segelintr orang, sebenarnya lafaz Insya Allah adalah untuk tujuan menunaikan janji tetapi sekarang lafaz Insya Allah itu digunakan sebagai alasan tidak memenuhi janji.

Perlu diingat bahawa janji adalah wajib ditepati, manakala ucapan Insya Allah itu adalah suruhan Allah dan Rasulnya ketika berjanji. Ini bererti ucapan, Insya Allah itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah semata-mata. Tetapi perkataan Insya Allah yang dilafazkan itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang munafik.

Wahai kaum muslimin dan muslimat, ibu bapa adalah contoh terbaik untuk diikuti oleh anak-anak, akhlak ibu bapa banyak mempengaruhi watak anak-anak mereka. Sebagaimana yang berlaku terhadap masyarakat kita, ada antara ibu bapa yang berjanji kepada anak-anak mereka tetapi sukar untuk menunaikannya. Perbuatan demikian itu boleh menjadi pelajaran kepada anak-anak yang berkemungkinan menganggap bahawa janji itu tinggal janji dan tidak ada apa-apa erti. Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku dan ibu bapa merupakan model dan pencorak keperibadian anak-anak. Jangan sampai anak hilang kepercayaan kepada ibu bapa mereka kerana pada kelazimannya orang yang mungkir janji itu tidak lagi akan dipercayai oleh orang lain.

Akhirnya, ingatlah wahai kaum muslimin dan muslimat betapa Islam sangat mengambil berat dalam soal janji, oleh itu berhati-hatilah sebelum berjanji. Dan jadikanlah perkataan Insya Allah itu sebagai azam yang kuat kearah menyempurnakan dan menunaikan janji yang dijanjikan. Jadikanlah diri kita orang-orang yang bertakwa dan penuh amanah, bukan daripada orang-orang yang mungkir janji yang tergolong dalam golongan orang-orang munafik. Nau'zubillahiminzalik.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Mu'minuun ayat 8-11 tafsirnya:

"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus mereka kekal di dalamnya".

Maka, marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

KEMATIAN



Allah berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 185 yang tafsirnya:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Setiap yang hidup pasti akan mati, tiada siapa pun yang dapat lari daripadanya. Mati bererti bercerai nyawa dari badan ataupun berpisahnya roh dari jasad. Inilah perpindahan pertama manusia dari alam dunia, seterusnya manusia akan berpindah pula ke alam barzakh (alam kubur) iaitu tempat roh-roh orang mati menunggu hari dibangkitkan semula di Padang Mahsyar.

Apabila sesebuah keluarga ditimpa kesusahan atau musibah seperti kematian, maka kita yang hidup ini perlulah bersimpati dan membantu meringankan beban kesusahan yang menimpa mereka. Agama Islam telah mengajarkan adab-adab yang sunat dilakukan apabila berlaku kematian, seperti mengucapkan takziah kepada keluarga si mati dengan ucapan yang maksudnya:

"Mudah-mudahan Allah Taala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu."

Apabila keluarga si mati diberikan ucapan takziah maka adalah elok membalasnya dengan jawapan yang maksudnya:

"Semoga Allah Taala akan mengurniakan kepadamu sebaik-baik ganjaran."



Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"Dari Abdullah Radiallahuanhu katanya”:

“Siapa yang mengucapkan takziah (penyataan turut bersedih dan berdukacita) kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperolehi pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah."

(Riwayat Ibnu Majah).


Apabila berlaku kematian sudah tentunya ahli keluarga akan merasa sedih dan menangis. Keadaan seumpama ini sememangnya tidak dapat dielakkan. Menangis kerana kehilangan orang yang dikasihi dan disayangi adalah diharuskan dalam Islam. Tetapi adalah menjadi kesalahan dan haram hukumnya jika menangis yang keterlaluan sehingga menjerit-jerit, menarik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-ngoyak baju sebagaimana perbuatan yang dilakukan orang zaman jahiliah. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang maksudnya:

"Dari Abdullah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah."

(Riwayat Al Bukhari).

Ketahuilah bahawa menangisi mayat dan meratapinya dengan cara keterlaluan akan menyebabkan mayat tersebut terseksa, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Sesungguhnya mayat itu diseksa dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarga ke atasnya."

(Riwayat Al Bukhari).

Oleh itu apa yang sepatutnya dilakukan apabila ditimpa kesusahan atau musibah seperti kematian ialah bersabar menghadapinya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 156 - 157 tafsirnya:

"Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya. Dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya."

Pada kelazimannya, apabila ada kematian, majlis tahlil atau kenduri arwah akan diadakan oleh keluarga berkenaan dengan menjemput sanak- saudara, jiran tetangga dan sahabat handai hadir ke rumah si mati bagi membacakan ayat-ayat Al-Quran seperti Surah Yaasiin dan bertahlil untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Dan seterusnya membaca doa, mendoakan si mati semoga Allah Subhanahu Wataala memberikannya rahmat dan keampunan serta memasukkannya ke dalam golongan orang-orang soleh dan dimasukkan ke dalam Syurga. Setelah selesai berdoa para jemputan yang hadir akan menikmati jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah.

Menyentuh tentang majlis kenduri arwah ini, pada lazimnya orang kita mengadakan majlis tersebut dengan tujuan untuk memohonkan rahmat dan keampunan kepada Allah Subhanahu Wataala bagi si mati. Selain itu ia boleh mengeratkan lagi hubungan persaudaraan (silaturrahim) di kalangan sanak-saudara, sahabat handai dan jiran tetangga. Jika majlis tersebut diadakan untuk tujuan demikian, maka mengadakan majlis kenduri arwah itu adalah suatu perbuatan yang baik dan digalakkan oleh Islam. Tetapi perlu diingat, supaya tujuan kenduri tersebut selaras dengan kehendak agama, maka janganlah ia dianggap sebagai suatu perkara hak bagi si mati yang mesti ditunaikan oleh keluarga kerana perbuatan tersebut bukanlah perkara yang disyariatkan oleh agama Islam. Akan tetapi yang lebih elok dan sunat dilakukan ialah kaum kerabat dan jiran menghantar makanan kepada ahli si mati sebagai tanda simpati untuk meringankan beban yang mereka tanggung kerana ahli si mati ketika itu dalam keadaan sibuk menguruskan perkara-perkara si mati. Inilah perbuatan yang sebenarnya yang wajar dilakukan dan digalakkan oleh Islam. Perkara inilah yang disuruh oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila Baginda menerima berita kematian Ja'afar Ibnu Abi Talib, sebagaimana sabdanya yang maksudnya:

"Dari Abdullah ibnu Ja'afar katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Buatkanlah makanan oleh kamu untuk ahli keluarga Ja'afar yang telah meninggal, kerana telah datang kepada mereka perkara yang membuat mereka sibuk disebabkan ditimpa kematian itu."

(Riwayat Ibnu Majah).

Dari maksud hadis tersebut adalah jelas menunjukkan bahawa menyediakan makanan oleh jiran atau keluarga bagi orang yang ditimpa kesusahan seperti kematian adalah perbuatan yang terpuji kerana ia menandakan rasa simpati, kasih sayang yang mengeratkan silaturahim terhadap keluarga si mati.

Islam sangat menggalakkan orang yang masih hidup terutama kepada anak-anak dan keluarga terdekat yang lain supaya sentiasa membaca Al-Quran, berdoa dan berzikir dan menghadiahkan pahalanya kepada yang telah meninggal dunia. Pada hakikatnya pembacaan Al-Quran, bertahlil dan seumpamanya itu tidak hanya terhad kepada tujuh hari, empat puluh hari atau seratus hari sahaja. Bahkan amalan tersebut sepatutnya sentiasa diamalkan sepanjang masa supaya ibu bapa dan keluarga yang telah meninggal itu mendapat rahmat, ketenangan dan kebahagiaan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dari Abi Hurairah Radiallahuanhu yang bermaksud:

"Apabila seorang manusia itu mati, maka putuslah segala amal ibadatnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang salih yang mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapanya."

Bagi kita yang masih hidup ini sama-samalah kita mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan amal ibadat sebelum terlambat untuk bekalan kita di akhirat nanti. Bagi mereka yang telah meninggal dunia lebih awal daripada kita, sama-samalah kita mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan mendapat keampunan Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarabbalalamin.


Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Hasyr ayat 10 yang bermaksud:

"Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatmu."


(al-fatihah kepada semua umat islam yang telah meninggal dunia)

RASUAH

Sesungguhnya agama Islam melarang umatnya dari memakan sesuatu yang tidak baik dan tidak halal serta dari sumber pendapatan yang haram.

Ini jelas sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 172, ertinya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik, yang halal, yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah".

Di antara sumber pendapatan yang tidak halal itu ialah melakukan rasuah. Rasuah ialah suatu pemberian berupa sogokan yang diberikan kepada seseorang dengan sebab tertentu bagi membolehlah perkara yang dihajati dapat diperolehi atau diselesaikan atau disegerakan dan sebagainya. Rasuah dikatakan juga 'sogokan' atau 'makan suap' atau 'wang kopi' dan ia merupakan perbuatan yang keji dan dilarang oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang tafsirnya :

"Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya".

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Dari Abdillah bin Amru Radiallahuanhuma ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah".

(Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).


Dalam kita menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan, sifat amanah adalah memainkan peranan yang amat penting. Tanpa sifat amanah, akan mudahlah berlakunya sebarang penyelewengan seperti perbuatan rasuah dan bermacam-macam lagi yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Pengertian rasuah itu sebenarnya amat luas, ia bukan hanya tertumpu kepada masalah kewangan sahaja, tetapi juga termasuk penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan. Sebagai contoh, jika sekiranya diberikan kuasa membuat pemilihan dan meluluskan tender-tender, maka ia akan memilih dan meluluskan mana-mana orang yang memberikannya sogokan dan suapan tanpa menghiraukan orang yang lebih layak untuk dipilih. Begitu juga jika diamanahkan untuk mengambil pekerja, ia akan mengenepikan orang yang lebih layak dan berhak untuk menjawat pekerjaan itu malahan akan mementingkan saudara-maranya, kawan atau pihak yang menjanjikannya sesuatu imbuhan kepada perbuatan tersebut. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat. Maka bertanya seorang lelaki : Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Iaitu apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan".

(Riwayat Al-Bukhari).


Perbuatan melakukan rasuah ini bukanlah suatu perkara yang baru, ia telah berlaku sejak zaman-berzaman. Dan Allah Subhanahu Wataala telah melarang umatnya dari melakukan rasuah kerana rasuah boleh menutup mulut manusia dari berkata-kata benar, rasuah boleh menghalang senjata dari menentang musuh, di samping itu rasuah juga boleh menggali lubang-lubang bahaya. Rasuah boleh membenarkan sesuatu yang salah dan menyalahkan sesuatu yang benar. Rasuah boleh mengotorkan jiwa yang bersih, rasuah boleh membuka pintu-pintu rahsia, rasuah boleh menjadikan orang ikhlas menjadi khianat, rasuah boleh menukar pahlawan menjadi penakut dan akhirnya rasuah boleh menyebabkan benteng-benteng kukuh menjadi tidak berguna dan tidak bererti.

Sesungguhnya Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri pernah cuba ditawarkan oleh orang-orang bukan Islam dengan beberapa tawaran kerana mereka mahu Baginda memberhentikan usaha menyebarkan ajaran agama Islam. Orang-orang kafir Quraisy merasa takut disebabkan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berkembang dengan pesat dan pengikut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam semakin hari semakin bertambah sehingga menyebabkan orang-orang kafir Quraisy mengutus Ukhbah bin Rabi'ah berjumpa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan menawarkan beberapa tawaran agar Baginda dapat bekerjasama dengan mereka.

Namun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan pendiriannya yang tegas tetap menolak tawaran tersebut dan tidak akan meninggalkan perjuangan Baginda dalam berdakwah demi menegakkan syiar agama Islam semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala. Baginda langsung tidak menerima tawaran-tawaran itu sekalipun Baginda ditawarkan dengan kekayaan, pangkat dan kuasa. Itulah bukti bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak menerima tawaran-tawaran tersebut dan tetap dengan kekuatan keimanan Baginda.

Ketahuilah dan takutlah bahawa balasan bagi perbuatan rasuah itu tidak lain ialah Neraka Jahanam. Itulah seksaan dan azab pemberi rasuah dan penerima rasuah. Kemudian kita bayangkan pula bagaimana halnya dengan ahli keluarga yang diberi nakan minum dari hasil tersebut, tentulah mereka juga terlibat memakan sesuatu yang haram. Sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menyebutkan dalam hadis Baginda akan balasan orang yang memakan makanan yang haram dan tidak halal.

Dari Saad bin Abi Waqas Radiallahuanhu ia berkata :

Wahai Rasulullah serulah kepada Allah untuk menjadikan aku orang yang mustajab dengannya,

bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dikabulkan doanya. Demi jiwa Muhammad dalam gengeman-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebajikannya selama empat puluh hari. Dan barangsiapa yang daging dalam badannya tumbuh dari yang haram dan dari hasil riba, maka api Neraka lebih layak baginya.

(Riwayat At-Tabarani).


Sememangnya rasuah itu amat berbahaya dan bahayanya amat besar melibatkan seluruh bangsa dan negara. Oleh itu hindarkanlah bangsa dan negara dari penyakit yang berbahaya ini, timbulkanlah rasa insaf dan amalkanlah sifat jujur dan amanah, jadikanlah diri kita orang yang tahu mana yang hak, mana yang batil dan jadikanlah diri kita orang yang bertaqwa, mudah-mudahan kita mendapat keredaan, keberkatan, perlindungan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wataala, Amin Yarabbal Alamin.


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud :

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

Jadi marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

ADAB DAN TATATERTIB BERDOA

Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 yang tafsirannya:

"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohanan kamu."

Doa itu ialah ibadat dan doa itu juga adalah senjata orang mukmin. Allah Subhanahu Wataala memerintahkan hamba-hambanya supaya berdoa dan memohon kepada-Nya. Di samping itu pula, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri berpesan supaya kita berdoa bersungguh-sungguh. Berdoa itu adalah merupakan pengakuan seseorang hamba terhadap kekuasaan Allah Subhanahu Wataala dan suatu tanda keyakinan bahawa tiada tempat meminta tolong melainkan kepada Allah Subhanahu Wataala.

Oleh kerana itu di dalam Islam setiap perbuatan yang diperintahkan kepada kita untuk melakukannya ada doa-doanya, apabila hendak masuk ke tandas pun ada doanya, begitu juga apabila hendak keluar daripadanya. Berdoa adalah salah satu daripada keperluan bagi mendapat kekuatan, keyakinan, harapan, keberkatan, keredaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala dalam segala apa yang dilakukan. Orang yang tidak berdoa bererti menutup bagi dirinya berbagai-bagai kebaikan dan mendedahkan dirinya akan kemurkaan Allah Subhanahu Wataala.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya."

(Riwayat At-Tirmizi).

Merujuk kepada hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mengatakan doa itu senjata orang mukmin, ini bermakna doa itu mempunyai kelebihan dan fadilat yang amat besar dan amat banyak, di mana melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar kerana jika Allah Subhanahu Wataala menghendaki dan memperkenankan doa hamba-Nya, tidak ada satu pun yang dapat menghalang kerana Allah Subhanahu Wataala tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya yang penuh dengan keikhlasan. Ingatlah berdoa juga boleh menghindarkan sesuatu bala, walaupun bala itu sudah merupakan Qadak (ketentuan Allah Subhanahu Wataala).

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam hadis Baginda yang bermaksud:

"Dari Sulaiman Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada yang boleh menolak Qadak Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan."

(Riwayat At-Tirmizi).


Adalah menjadi adat dan kelaziman jika kita berkehendakkan sesuatu daripada seseorang, kita akan bersopan santun dan bertatatertib. Maka apatah lagi jika kita memohon dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala tentulah lebih dari itu. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 55 yang tafsirannya:

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan suara perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas."

Oleh itu kita dituntut menjaga adab dan tatatertib berdoa agar doa itu dimakbulkan. Di antaranya ialah:

Pertama: Berwuduk dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah Subhanahu Wataala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kedua: Berdoa mengadap kiblat dan mengangkat dua tangan dan menyapukan kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa.

Ketiga: Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.

Keempat: Berdoa disertai dengan kerendahan hati, khusyuk dengan jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara serta diiringi dengan perasaan takut akan azab Allah Subhanahu Wataala dan penuh harapan dengan limpah kurnia-Nya.

Kelima: Memastikan sumber rezeki seperti makanan, minuman dan pakaian adalah daripada yang halal.

Keenam: Apabila berdoa adalah afdal mengulang-ulang doa tiga kali dan tidak berputus asa serta jangan cepat menganggap doa tidak dimakbulkan.

Ketujuh: Janganlah berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya seperti perkara yang tidak munasabah dan mustahil. Adalah lebih utama berdoa dengan doa-doa yang masyhur yang datang daripada Al-Quran, sunnah dan para sahabat.

Kelapan: Doa-doa tersebut juga hendaklah bersifat umum, menyeluruh dan padat. Doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ialah yang bermaksud:

"Ya Allah ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada api Neraka."

Elok juga diketahui bahawa barang siapa yang berdoa memohon kepada Allah Subhanahu Wataala pada satu per tiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardu, Allah Subhanahu Wataala menjanjikan akan memakbulkan doa dan permintaannya. Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bermaksud:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tuhan kami Tabaraka Wataala turun tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu per tiga akhir waktu malam, Dia berfirman, barangsiapa yang berdoa kepada-Ku maka Aku akan mengabulkan baginya, barangsiapa meminta kepada-Ku maka Aku akan memberinya, barangsiapa memohon keampunan-Ku maka Aku mengampuninya."

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi yang maksudnya:

"Daripada Abi Umamah Radiallahuanha katanya: Telah ditanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Bilakah masanya doa yang lebih didengar (dimakbulkan)? Nabi menjawab: Doa tatkala satu per tiga terakhir malam dan sesudah sembahyang fardu."


Sebenarnya terdapat banyak lagi waktu-waktu dan tempat jika kita berdoa pada-Nya, doa akan mudah dan cepat dimakbulkan, di antaranya ialah malam Jumaat dan hari Jumaat, waktu di antara azan dan iqamah, ketika khatib duduk di antara dua khutbah, ketika sujud di dalam sembahyang, bulan Ramadan, pada Malam Qadar, Hari Arafah. Begitu juga ketika minum air zamzam, ketika membaca Al-Quran terutama apabila khatam. Mengikut para ulama bahawa berdoa di tempat-tempat yang mulia seperti di Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjidilaqsa adalah mustajab memandangkan keberkatan dan kemuliaannya, di samping rahmat Allah Subhanahu Wataala yang luas di masjid berkenaan.

Berdoa bukanlah hanya untuk diri sendiri sahaja, tetapi kita juga dituntut mendoakan orang lain terutamanya ibu bapa, anak-anak, ahli keluarga, saudara mara, Muslimin dan Muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ibu bapa adalah orang yang paling utama didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa kerana memelihara dan mendidik di waktu kecil. Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapanya adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Begitulah pula halnya dengan ibu bapa, digalakkan supaya mendoakan anak-anak mereka seperti mana Nabi Ibrahim Alaihissalam mendoakan anaknya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffat ayat 100 yang tafsirannya:

"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang yang salih."

Hindarkanlah diri kita daripada berbuat zalim dan menganiaya orang lain, kerana doa orang yang dizalimi itu sangat mustajab, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari maksudnya:

"Dari Ibnu Abbas Radiallahuanhuma katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya doa orang yang dizalimi itu tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding."

Sebagai orang Islam, marilah sama-sama kita memperbanyakkan doa, kerana doa itu menunjukkan kita taat dan ingat kepada Allah Subhanahu Wataala. Ingat di setiap masa baik di kala senang mahupun susah, di kala kaya ataupun miskin. Percayalah janji Allah Subhanahu Wataala sebagaimana maksud firman-Nya:

"Berdoalah kamu kepada- Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 186 yang tafsirannya:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."

Maka, marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.