Menyembelih korban adalah amalan yang disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dan hukumnya Sunat Muakkad. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sabdanya yang bermaksud:
"Dari Aisyah Radiallahuanha, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah dari menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
Amalan menyembelih korban itu juga sebagai bukti keikhlasan dan ketakwaan kita ke atas perintah Allah Subhanahu Wataala. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hajj ayat 37 yang tafsirannya:
"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu."
Kita sebagai manusia sememangnya tidak luput dari melakukan kesilapan dan dosa yang kadang-kadang menyebabkan kita jauh dari Allah Subhanahu Wataala, tetapi Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Dia memberikan banyak jalan yang boleh mendekatkan diri kepada-Nya. Salah satu jalannya ialah dengan melakukan ibadat korban.
Di antara hikmat lain kenapa ibadat korban ini disyariatkan ialah:
Pertama: Untuk mengambil iktibar dan pengajaran terhadap ketaatan Nabi Ibrahim Alaihissallam dalam menjunjung perintah Allah Subhanahu Wataala yang memerintahkannya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban. Akan tetapi Allah Subhanahu Wataala Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah menggantikannya dengan seekor kibas. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda di dalam sebuah hadis Baginda yang maksudnya:
"Daripada Zaid bin Arkam Radiallahuanhu dia berkata: Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. Mereka bertanya: Apa yang kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya."
Kedua: Memupuk sikap keprihatinan terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya sebagai makanan dan meluaskan rezeki khususnya kepada para fakir miskin sempena Hari Raya Korban.
Ketiga: Melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wataala terhadap nikmat hidup yang telah diberikan-Nya.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hajj ayat 34 yang tafsirannya:
"Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka."
Keempat: Menyemai dan menanamkan sifat murni ke dalam diri dengan mencontohi kesabaran dan ketabahan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam dan sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wataala.
Waktu menyembelih korban ialah selepas naik matahari pada Hari Raya Adha sekadar berlalu sembahyang dua rakaat dan dua khutbah. Masa korban itu berkekalan sehingga terbenam matahari akhir Hari Tasyrik iaitu hari ke 13 Zulhijjah. Jika ibadat korban dilakukan sebelum dan selepas waktu tersebut, maka tidaklah dikira ibadat korban, sebagaimana sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
"Dari Al-Baraa bin Azib dia berkata: Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Bahawa yang mula-mula kami lakukan pada hari ini (Hari Raya Adha), kami sembahyang, kemudian kami balik ke rumah, selepas itu kami menyembelih korban, maka siapa yang membuat seperti yang demikian, maka dia memperolehi sunnah (ibadat) kami, dan siapa yang menyembelih sebelum sembahyang, maka yang demikian itu hanyalah daging biasa yang dibahagi-bahagikan kepada keluarga, bukanlah yang demikian itu termasuk dalam ibadat korban."
Memandangkan ibadat korban itu mempunyai kelebihan dan masa yang tertentu, maka bagi mereka yang berkemampuan dan dilimpahi rezeki oleh Allah Subhanahu Wataala agar tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan ibadat korban, kerana ibadat ini amat dituntut dan tinggi nilainya disisi Allah Subhanahu Wataala. Mudah-mudahan kita akan mendapat ganjaran pahala dan kebajikan daripada Allah Subhanahu Wataala dari ibadat korban yang kita lakukan. Amin Yarabbalalamin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Kautsar ayat 1-3 tafsirnya :
"Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur.Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang di ingininya."
No comments:
Post a Comment