SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

ISTIA’ZAH


Sesungguhnya manusia itu dijadikan Allah Subhanahu Wataala bersifat lemah dan memerlukan kepada pertolongan dalam semua perkara serta memerlukan perlindungan apabila berlaku ancaman ke atas mereka, termasuklah kejahatan musuh yang ada kalanya boleh membawa kebinasaan. Musuh-musuh itu pula sama ada daripada makhluk yang boleh dilihat seperti manusia atau yang tidak dapat dilihat seperti jin dan syaitan. Syaitan itu pula merupakan musuh yang paling nyata bagi manusia sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 53 tafsirnya :

"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia".

Allah Subhanahu Wataala telah mengingatkan bahawa syaitan akan sentiasa mengganggu anak cucu Adam hingga kehari kiamat. Gangguan syaitan itu pula tidaklah dapat ditangkis dengan senjata dan sesiapa yang terkena gangguannya tidak dapat diubat dengan perubatan moden tetapi hanya boleh dilawan dan dikalahkan dengan doa-doa dan zikir-zikir. Di antara amalan-amalan yang kita digalakkan untuk melakukannya ialah membaca Istia'zah yang bermakna memohon perlindungan yang disebut juga sebagai Ta'wwuz.

Istia'zah atau Ta'wwuz merupakan lafaz yang terkandung di dalamnya ungkapan kalimah (Au'zubillah) iaitu aku berlindung dengan Allah, (Nau'zubillah) kami berlindung dengan Allah atau ungkapan-ungkapan kalimah yang seerti dengan-Nya, iaitu bagi maksud meminta pertolongan kepada Allah Subhanahu Wataala supaya dilepaskan daripada perkara yang tidak disukai seperti minta dijauhkan daripada segala kejahatan, gangguan dan godaan syaitan.

Allah Subhanahu Wataala telah mensyariatkan kepada hamba-hambanya supaya melazimkan diri mengamalkan Istiazah ketika melakukan pekerjaan atau membuat sesuatu amalan dan melarang mereka dari meminta bantuan dan perlindungan kepada jin dan syaitan. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Jin ayat 6 tafsirnya :

"Dan bahawa sesungguhnya adalah amat salah perbuatan beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua golongan jin kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat".

Ketahuilah wahai saudara-saudara sekalian, bahawa seseorang hamba yang putus hubungan dengan Allah Subhanahu Wataala kerana tidak melakukan Istiazah atau Tawwuz, tidak berzikir dan berdoa akan menyebabkan dirinya mudah terdedah kepada gangguan dan godaan syaitan yang akhirnya syaitan akan menguasainya. Perkara ini telah diperingatkan oleh Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firman-Nya dalam Surah Az-Zukhruf ayat 36 yang tafsirnya :

"Dan siapa yang tidak mengendahkan pengajaran Al-Quran yang diturunkan oleh Allah Yang Maha Pemurah, kami akan adakan baginya syaitan yang menghasut dan menyesatkannya lalu menjadilah syaitan itu teman-Nya yang tidak renggang daripadanya".

Sememangnya syaitan itu sentiasa berusaha mengganggu dan menyesatkan anak cucu Adam pada setiap waktu sekalipun dalam waktu sembahyang dengan menimbulkan was-was, melayangkan fikiran ke tempat yang lain, menimbulkan keraguan dan bermacam-macam lagi gangguan. Perlu diketahui membaca Istia'zah atau Ta'wwuz iaitu memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu Wataala daripada gangguan syaitan di dalam sembahyang merupakan suatu perkara yang disunatkan dengan lafaz yang afdal dibaca (Au'zubillahi minasy syaitanir rajiim). Istia'zah atau Ta'wwuz itu sunat dibaca sesudah membaca Doa Iftitah dan sebelum membaca ayat Al-Quran dan membacanya pula dengan secara senyap (sirri), iaitu berdasarkan pendapat jumhur ulama Syafie.

Para ulama telah bersepakat bahawa bacaan Istia'zah "Au'zubillahi minasy syaitanir rajiim" itu bukanlah daripada ayat Al-Quran, namun sunat membacanya apabila hendak membaca Al-Quran agar tidak diganggu syaitan ketika membacanya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nahl ayat 98 tafsirnya :

"Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena reja".

Bayangkanlah jika hendak membaca Al-Quran pun kita disunatkan membaca Ta'wwuz, apatah lagi apabila hendak melakukan perbuatan-perbuatan lain seperti masuk tandas, masuk atau keluar dari masjid, ketika hendak bersuci, bahkan juga ketika sedang marah, sebagaimana yang diceritakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda daripada Sulaiman bin Surad beliau berkata : Dua lelaki saling mencaci maki di hadapan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, salah seorang dari mereka berdua biji matanya menjadi merah dan marah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya aku tahu suatu kalimah yang apabila diucapkan nescaya akan hilang daripadanya apa yang dideritainya iaitu : Au'zubillahi minasy syaitanir rajiim yang beerti : "aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam".(Riwayat Muslim)

Di antara Istia'zah yakni doa meminta perlindungan yang baik untuk dibaca pada kebanyakan waktu ialah Surah Al-Falaq dan Surah An-Naas, yang disebut juga sebagai "Al Mua'wwizataini".

Telah diriwayatkan daripada Mua'z bin Abdullah bin Khubaib daripada bapanya menceritakan, ketika aku bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di tengah perjalanan menuju ke Mekah, tiba-tiba aku rasa sunyi daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka aku mendekati Baginda, lalu Baginda bersabda : Bacalah! Aku bertanya lagi : Apa yang harus aku baca? Baginda pun bersabda : Bacalah Qul Au'zubirabbil falaq hingga akhir surah, kemudian Baginda bersabda lagi, bacalah Qul Au'zubirabbinnas hingga akhir surah. Baginda menyambung sabdanya lagi yang maksudnya :

"Tidak ada doa minta perlindungan (Ta'wwuz) yang lebih utama daripada kedua-dua surah tersebut".(Riwayat Al-Imam An-Nasaie)

Sesungguhnya tidak ada tempat berlindung dan meminta pertolongan yang lebih hebat dan lebih terjamin kecuali kepada Allah Subhanahu Wataala kerana Allah Subhanahu Wataala sahajalah Yang Maha Berkuasa bagi tiap sesuatu dan tidak ada sesuatu pun yang mampu mengatasi kekuasaan-Nya. Oleh itu, taatilah perintah Allah Subhanahu Wataala dan jauhilah larangan-Nya serta mintalah perlindungan dan pertolongan hanya kepada-Nya, Mudah-mudahan kehidupan kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 200 tafsirnya :

"Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

No comments:

Post a Comment