Dunia perbomohan sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat Melayu kerana ia dianggap dapat membantu masyarakat menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan seperti merawat penyakit, mendapatkan barang hilang, inginkan pangkat, kedudukan, digeruni dan nampak hebat, ilmu penunduk isteri atau suami, ilmu pendinding, ilmu kebal, ilmu pembenci, ilmu pengasih untuk mencari jodoh, mendapatkan nombor ekor dan bermacam-macam lagi.
Apa yang menjadi masalah ialah wujudnya amalan yang bertentangan dengan akidah dalam amalan perbomohan atau perdukunan yang dilakukan. Amalan perbomohan di kalangan masyarakat berlaku sejak dahulu hinggalah sekarang ini di mana ada yang sanggup berkorban wang ringgit dengan jumlah yang besar asalkan hajat yang dikehendaki tercapai meskipun apa yang diperintahkan dan dilakukan oleh bomoh bercanggah dengan akidah, syariat mahupun undang-undang sehingga ada pesakit yang tertipu dan dipukau oleh kelicikan tipu daya bomoh yang meyakinkan para pelanggannya.
Terdapat banyak bukti adanya penyelewengan akidah dalam amalan perbomohan di negara ini, contohnya dalam satu kes, seorang yang menggunakan rawatan secara Islam pernah merawat seorang pesakit di negara ini. Sebelum memulakan rawatan, bomoh tersebut meminta pesakit menanggalkan azimat yang terdapat di lengannya. Pesakit itu enggan menanggalkan kerana azimat itu sangat mahal dan berharga iaitu bernilai $9,999.00 kerana keengganannya menanggalkan, bomoh berkenaan tidak mahu merawatnya yang akhirnya memaksanya membuka azimat tersebut dan mendapati azimat itu hanyalah berupa biji buah rambutan.
Satu kes lagi seorang pengamal perubatan yang mengamalkan rawatan secara Islam mendapati pesakit diberikan dua biji benda bulat seperti tumbung kelapa yang bersaiz kecil oleh bomoh sebelumnya. Sebiji berwarna hitam mengandungi 40 ekor jin kafir dan sebiji berwarna putih mengandungi 10 jin Islam. Kononnya untuk menjaga diri dan rumah. Ternyata pesakit kedua-dua kes tadi telah diperdaya oleh bomoh untuk bergantung harap penjagaan diri dan rumah kepada benda-benda yang tidak mempunyai kuasa apa-apa.
Islam menegah penggunaan tangkal yang diiktikadkan boleh memberikan kesan dan boleh menolak bala. Walau bagaimanapun tangkal yang ditulis dengan ayat-ayat Al-Quran atau zikir-zikir adalah harus di dalam Islam, tetapi perlu diingat jabganlah mempercayai bahawa tangkal itu yang mempunyai kuasa kerana tiada sesuatu pun yang boleh memberikan manfaat dan mudarat melainkan Allah Subhanahu Wataala.
Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya :
"Dari Abdullah bin Mas'ud Radiallahuanhu katanya : Saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya jampi, tangkal dan ilmu pengasih itu adalah syirik".
(Riwayat Abu Majah).
Perbomohan adalah diharuskan dalam Islam dengan syarat amalan perbomohan itu mengikut cara yang telah ditetapkan dalam Islam dan tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah. Di negara kita memang terdapat bomoh yang mengikut landasan Islam dan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai penawar tetapi dalam masa yang sama terdapat juga sebilangan bomoh mengamalkan perbomohan yang salah dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti menilik, menggunakan jampi-jampi, berturun dan sebagainya yang boleh membawa kepada syirik.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Thaaha ayat 69 yang bermaksud:
"Ahli sihir itu tidak beroleh kejayaan di mana sahaja ia berada".
Kita telah diberikan pendedahan tentang berlakunya kes-kes penyelewengan akidah dalam amalan perbomohan melalui media massa, seminar, ceramah dan lain-lain lagi. Tetapi yang menghairankan bahkan mendukacitakan masih terdapat sebilangan yang mempercayai bomoh-bomoh tersebut walaupun sudah jelas penyelewengan yang mereka lakukan.
Sebagai peringatan dan pengetahuan orang ramai agar jangan sampai terpengaruh dan tertipu oleh bomoh-bomoh seumpama ini, maka di sini disebutkan di antara penyelewengan yang sering dilakukan oleh mereka seperti:
· Pemujaan terhadap satu-satu objek yang dianggap mempunyai kuasa luar biasa untuk bantuan dan pertolongan yang dihajati.
· Penggunaan jampi-jampi yang menyebutkan nama-nama selain daripada Allah dan tidak difahami maksudnya. Walaupun sesetengah jampi berkenaan ada diselitkan beberapa ayat Al-Quran, namun ia tidaklah boleh diterima kerana ayat-ayat yang diselitkan itu tidak tepat sebutannya.
· Menggunakan bahan-bahan terlarang dan najis seperti menggunakan darah haiwan untuk diminum.
· Terdapat unsur-unsur penipuan seperti meminta bayaran yang ditetapkan harga dan nilainya serta permintaan pengeras yang ditentukan. Jika tidak ditunaikan kononnya pesakit akan mendapat bala.
· Melakukan perkara-perkara maksiat dan terkutuk seperti mencabuli pesakit-pesakit wanita. Terdapat dukun yang mengajak pesakitnya bernikah batin dan mendakwa bahawa dengan cara ini sahaja yang dapat menyembuhkan pesakitnya.
· Memohon kepada kuasa-kuasa ghaib yang dianggap boleh menyembuhkan dan memberi pertolongan kepadanya.
· Larangan membaca ayat-ayat Al-Quran seperti Surah Yaasiin ketika upacara pengubatan sedang dijalankan oleh bomoh berkenaan dan melarang dari menunaikan fardu haji.
· Mendakwa pandai menarik roh ke dalam badannya.
· Meminta pesakit supaya menjunjung atau menyembah gambar-gambar yang didakwa gambar orang kayangan yang dianggap boleh menolong serta dapat menunaikan hajat seseorang dan akan dapat membawa ke Syurga.
· Mendakwa boleh mengetahui perkara-perkara ghaib seperti mengetahui bahawa pesakit itu dibuat orang (disihir) dan dapat pula diketahui pembuatnya atau barang-barang tersebut dengan terperinci.
Semua bentuk ajaran dan amalan yang dinyatakan tadi jelas menyeleweng dari segi akidah dan boleh menyesatkan pengamalnya serta menimbulkan fitnah dan ramalan-ramalan yang dilakukan boleh memecahbelahkan rumahtangga, keluarga dan masyarakat.
Demi menjaga akidah umat Islam, khususnya bomoh yang mengamalkan perbomohan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta mereka yang meminta khidmat bomoh tersebut, maka adalah menjadi kewajipan bagi kita umat Islam yang mengetahuinya memandu, membimbing dan memberikan kefahaman yang betul kepada diri kita dan mereka supaya menjauhi dan meninggalkannya.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Yunus ayat 106 yang tafsirnya:
"Dan janganlah engkau wahai Muhammad menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu, oleh itu sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu".
No comments:
Post a Comment