SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

"RABBANAA AATINA FIDDUNYA HASANAH
WA FIL AKHIRATI HASANAH
WA QINA ADZABANNAR...."

ya tuhanku, berikanlah kepadaku kehidupan dunia yang baik,
kehidupan akhirat yang baik dan jauhkan kami dari seksa api neraka.....

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT FOLLOW SEMUA

BARAH PAYUDARA ANCAMAN BUAT LELAKI



PERUBAHAN pada saiz dan bentuk payu dara antara gejala barah.

Amalan pemakanan, faktor genetik.

BARAH payu dara sebenarnya bukan hanya penyakit wanita walaupun fakta saintifik menjelaskan ia 100 kali lebih kerap ditemui di kalangan wanita. Lelaki juga berisiko diserang barah payu dara apatah lagi jika mereka lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah penyakit barah, dalam apa sahaja jenis barah.

Statistik Daftar Kanser Kebangsaan merekodkan 56 kes baru kanser payudara lelaki pada 2002 dan 24 kes baru pada 2003.

Pada 2002, kanser payu dara dikesan di kalangan 26 lelaki Melayu, 22 lelaki Cina dan lima lelaki India dengan sekitar 71 peratus daripada mereka yang didiagnosis adalah berumur 50 tahun atau lebih. Daripada 24 kes baru yang dilaporkan pada 2003 pula, 11 pesakit membabitkan kaum Cina dan selebihnya berbangsa Melayu.

Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payu dara, Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan Dr Nik Munirah Nik Mahdi berkata, walaupun faktor genetik dikaitkan sebagai punca utama barah payu dara di kalangan lelaki namun, tiga pesakit barah payu dara yang mendapatkan rawatan di HUSM tahun lalu tidak langsung memiliki sejarah keluarga yang menghidap barah.

“Ia menjelaskan barah payu dara boleh menyerang semua orang. Tidak kira lelaki itu lelaki tulen atau lelaki yang mengambil hormon wanita, ”katanya.

Sebelum ini, penyelidik percaya selain genetik faktor risiko lelaki yang menghidap barah payu dara kerap juga dikaitkan dengan tahap hormon estrogen yang tinggi seperti yang ditemui di kalangan pesakit sirosis atau sindrom Klinefelter.
“Amalan pemakanan juga mungkin antara penyebab. Sekarang ini terlalu banyak makanan segera di pasaran. Begitu juga kesegaran sayur-sayuran, ayam, daging atau ikan yang dijual banyak bergantung pada bahan kimia. Kita pun tidak pasti apakah penggunaan bahan kimia begini boleh menjejaskan kesihatan atau tidak,” katanya.

Jelas Dr Munirah, jika di negara Barat majoriti kes kanser payu dara lelaki membabitkan mereka yang berusia dalam lingkungan usia 50 atau 60 tahun, namun di Malaysia kebanyakan mereka yang dikesan dengan barah payu dara berusia 40 tahun ke atas. Malah, kajian mendapati kanser payu dara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih agresif berbanding sel kanser yang menyerang golongan wanita. Lebih memburukkan keadaan jika pesakit datang mendapatkan rawatan ketika penyakit sudah berada di tahap empat.

“Daripada pengalaman saya mengendalikan kes payu dara lelaki, kebanyakan pesakit datang mendapatkan rawatan pada peringkat awal. Umumnya mereka gelisah apabila melihat perubahan saiz payu dara yang besar sebelah, kelihatan bengkak selain menyedari kewujudan benjolan di belakang puting,” katanya.

Bagi negeri Kelantan saja, Majlis Kanser Nasional merekodkan dari 1999 hingga 2006, enam lelaki meninggal dunia akibat penyakit itu. Bahkan kebanyakan kanser payudara yang menyerang lelaki kesannya jauh lebih buruk kerana kanser terbabit akan menular kepada organ lain dengan cepat hingga membawa kematian.

Keadaan ini disebabkan payu dara mereka bersaiz kecil, kurang tisu dan lebih dekat dengan dada berbanding payu dara wanita.

Walaupun berlaku peningkatan kes, namun secara umumnya barah payu dara lelaki masih lagi dianggap sedikit iaitu satu peratus daripada jumlah keseluruhan kes barah payu dara. Di Amerika Syarikat misalnya, Persatuan Barah Amerika menganggarkan pada 2008, 1,990 kes baru dikesan. Daripada jumlah itu, 480 kematian dilaporkan setiap tahun berbanding 40,000 kematian membabitkan kes barah payu dara wanita.

Jelas Dr Munirah, rawatan barah payu dara lelaki dan perempuan tidak berbeza. Sebaliknya ia bergantung pada tahap kesihatan, tahap barah yang dialami dan pilihan pesakit itu sendiri. Secara umumnya, barah ditangani dengan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.

INFO
Faktor Risiko Barah Payu dara Lelaki

  • Pendedahan pada radiasi
  • Tahap hormon estrogen yang tinggi
  • Sindrom Klinefelter
  • Sejarah keluarga yang menghidap apa sahaja jenis barah
  • Obesiti
  • Usia meningkat
  • Masalah hati (misalnya sirosis)
  • Peminum arak tegar

Gejala

  • Benjolan (yang tidak sakit) pada tisu payu dara
  • Perubahan saiz payu dara atau kulit payu dara misalnya berkedut, tertarik ke dalam atau kemerah-merahan
  • Perubahan pada puting payu dara misalnya tertarik ke dalam atau kemerahan
  • Lelehan keluar daripada puting

sumber : BH

No comments:

Post a Comment